Skip to main content

Singapura

GE2025: SDP perkenal calon bakal bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee

Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Ahad (13 Apr) mengumumkan calonnya untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee untuk Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Apr 2025 01:35PM Dikemas Kini : 13 Apr 2025 11:09PM
SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Ahad (13 Apr) mengumumkan calonnya untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee untuk Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Mereka ialah setiausaha penganjur parti Jufri Salim, pengasas laman berita alternatif Wake Up Singapore, Ariffin Sha, pengarah teater Alec Tok dan Dr Gigene Wong.

Setiausaha Agung SDP Chee Soon Juan memperkenalkan calon-calon itu pada Ahad (13 Apr) selepas melakukan lawatan bertemu rakyat di Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane.

Beliau berkata parti itu "berasa sangat selesa di sini", selepas bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dan 2015 (GE2015).

Mereka tewas kedua-dua kali kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), masing-masing memperoleh 31.27 peratus undi dan 36.82 peratus.

Tahun ini, mereka akan menentang PAP di kawasan itu, yang sekali lagi akan diterajui oleh Perdana Menteri Lawrence Wong.
Related article image
Encik Jufri Salim dari Parti Demokratik Singapura (SDP) semasa lawatan bertemu rakyat di Marsiling Lane pada 13 April 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Dr Chee menyifatkan Encik Jufri sebagai "salah seorang penyokong" SDP. Beliau telah dilihat di Marsiling-Yew Tee sejak beberapa bulan lalu dan belum pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Menurut profil LinkedInnya, Encik Jufri adalah seorang pengurus di sebuah syarikat penerbitan muzik.

Baki tiga calon adalah bekas ahli parti pembangkang lain.

Encik Tok bertanding di bawah SDP di Bukit Panjang pada Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011), tetapi menjadi sebahagian daripada pasukan Parti Titik Merah Bersatu (RDU) di Jurong pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Beliau seorang pengarah teater dan pembuat filem.

Menurut profil sebelum ini, beliau menghasilkan dan mengarahkan muzikal Cina pertama di Singapura, December Rains. Beliau juga mengarahkan Twelve Storeys - penyertaan pertama Singapura ke Pesta Filem Antarabangsa Cannes.

Dr Wong pula bukan muka baharu dalam politik. Beliau adalah calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) di SMC Hong Kah North pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), dan tewas kepada Dr Amy Khor dari PAP.

Beliau berkata pada Julai 2022 bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ahli PSP untuk menjaga bapanya, yang menghidap demensia, dan untuk menyambung pengajiannya.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau menghabiskan 20 tahun bekerja dan menetap di China, dengan peranan dalam syarikat berbilang negara.

Encik Ariffin ialah penolong setiausaha agung Parti Rakyat Singapura (SPP) (sebelum meletak jawatan pada 2020. Seorang eksekutif undang-undang, beliau juga merupakan pengasas dan pentadbir Wake Up Singapore.

Pada Ogos tahun lalu, beliau didenda S$8,000 atas penerbitan kenyataan palsu mengenai keguguran di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Beliau belum pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum tahun ini.

Kempat-empat calon itu bersalaman dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Marsiling Lane di Blok 20/21, dengan diapit oleh para sukarelawan SDP.

Mantan Pengerusi SPP Jose Raymond telah dilihat dalam lawatan bertemu rakyat itu dan dilihat bercakap dengan Encik Ariffin dan ahli SDP yang lain.
Related article image
Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan bercakap kepada media di Marsiling Lane pada 13 April 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Sejak penubuhan GRC Marsiling-Yew Tee pada 2015, ia menjadi medan pertarungan antara SDP dan PAP – tiada parti lain bertanding di kawasan undi itu.

Bulan lalu, Dr Chee mengumumkan bahawa SDP akan sekali lagi bertanding dalam GRC. Sejak itu, tiada parti pembangkang lain yang mengumumkan rancangan untuk bertanding di sana.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita