GE2025: SDP mahu wujudkan stor masyarakat, ruang kolaborasi - antara rancangan untuk GRC Sembawang
Para calon SDP GRC Sembawang di sesi lawatan bertemu penduduk di Kampung Admiralty pada Sabtu (26 Apr). (Gambar: Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Sistem pengurusan basikal lebih baik, kemudahan stor masyarakat di bawah flat HDB, serta ruang kerja bersama untuk masyarakat.
Inilah antara kemudahan yang boleh dijangkakan penduduk daripada Rancangan Perbandaran bagi GRC Sembawang yang akan diumumkan Parti Demokratik Singapura (SDP) malam ini (26 Apr).
Demikian dikongsikan oleh calon SDP bagi GRC Sembawang, Dr James Gomez kepada pihak media, di luar sesi lawatan bertemu penduduk di Kampung Admiralty siang tadi (26 Apr).
"Kita ingin memperkenalkan sistem pengurusan basikal kerana ada banyak semak di koridor dan tangga dan GRC Sembawang secara umumnya adalah tempat yang sangat mesra basikal," kongsi Dr Gomez.
"Terdapat banyak basikal juga diletakkan di bawah blok. Jadi kita ingin memperkenalkan sistem pengurusan basikal yang membolehkan orang menjaga basikal mereka dengan lebih baik," tambahnya.
Bagi menggalak keluarga untuk 'declutter' atau buang barang-barang yang tidak diperlukan, SDP juga ingin memperkenalkan kemudahan stor masyarakat di bawah flat HDB pada yuran yang "mesra penduduk".
Ini selain ruang kerja bersama bagi masyarakat untuk mereka "kerja, hidup dan berkolaborasi bersama".
"Kami mendapati cara bekerja dan perusahaan sudah berubah dan orang ramai kerja secara kolaboratif. Buat masa ini, perpustakaan tidak berfungsi. Ada banyak buku dan kerusi yang sedikit dan anda tidak boleh berbual. Bilik tertutup juga tiada dan sumber tenaga juga tiada jika anda ingin menggunakan komputer riba untuk masa yang lama. Jadi kita ingin menyediakan ruang kerja bersama masyarakat yang sesuai supaya orang ramai boleh kerja, hidup dan berkolaborasi bersama," ujar Dr Gomez.
"SDP TIDAK PERNAH TINGGALKAN SEMBAWANG"
Dalam pada itu, Dr Gomez sekali lagi menekankan bahawa SDP "tidak pernah tinggalkan Sembawang".
Ini susuli kenyataan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam rapat pilihan raya Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (24 Apr) bahawa SDP menubuhkan pasukan untuk bersaing "selepas 10 tahun tidak menunjukkan minat dalam GRC Sembawang."
SDP sebelum ini pernah bertanding di GRC itu pada 2006 dan 2011.
"Saya ingin menjelaskan bahawa kami tidak pernah meninggalkan Sembawang. Kami telah berada di sini selama 20 tahun. Pada 2006 dan 2011, kami bersaing di kawasan undi Marsiling-Yew Tee dan kami memilih untuk kekal di daerah Sembawang yang lebih besar di Marsiling-Yew Tee dan kami sudah berada di sini selama 20 tahun," jelas Dr Gomez.
"Jadi sebabnya mengapa kami melibatkan diri masuk (ke sini) ialah kerana para penduduk. Mereka inginkan pembangkang yang kuat dan mereka menyuruh kami campur tangan kerana mereka inginkan perubahan yang berkesan untuk masalah-masalah yang mereka hadapi dalam Majlis Bandaran," tambahnya.
PENDUDUK SAMBUT BAIK RAPAT PILIHAN RAYA SELEPAS 10 TAHUN
Mengulas pula tentang sambutan para penduduk terhadap isu-isu yang diketengahkan parti itu memasuki hari keempat mereka berkempen, Encik Damanhuri Abas yang juga merupakan calon SDP bagi kawasan undi tersebut berkata penduduk sambut baik dan prihatin dengan isu-isu itu yang "dekat dengan hati mereka" itu.
Sejauh ini, SDP sudah adakan dua rapat pilihan raya dan menjadi satu-satunya parti yang mengadakan rapat pilihan raya pada Jumaat (25 Apr) di Sekolah Rendah Beacon bagi SMC Bukit Panjang.
"Melalui rapat pilihan raya yang kita sudah lakukan buat dua malam, Alhamdulillah kita dapat lihat bahawa minat sangat besar mungkin kerana sudah 10 tahun rakyat tunggu untuk adakan rapat pilihan raya dan bila kita berinteraksi dengan mereka, penduduk-penduduk yang datang, mereka juga sangat prihatin dengan isu-isu yang kita timbulkan seperti kos sara hidup, imigrasi di mana banyak daripada mereka juga terjejas dengan pertandingan untuk mendapatkan tempat kerja," kongsi Encik Damanhuri kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi isu-isu itu semua sangat dekat dengan hati mereka dan apabila kita timbulkan dalam ucapan-ucapan kita, kita dapat lihat bahawa mereka sangat responsif dengan begitu ghairah untuk menerima ucapan-ucapannya ini, Alhamdulillah," tambahnya.
GRC Sembawang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara PAP, SDP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam GE2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.