GE2025: SDP mahu bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee
Profesor Paul Tambyah (kiri) dan Dr Chee Soon Juan bergambar dengan maskot di acara Parti Demokratik Singapura (SDP) di 888 Plaza pada 30 Mac 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Ketua parti itu, Chee Soon Juan mengesahkan demikian pada Ahad (30 Mac).
Apabila ditanya Mediacorp sama ada parti itu mahu bertanding di GRC tersebut, Dr Chee mengangguk sambil mengesahkan hal demikian.
Buat masa ini, Perdana Menteri Lawrence Wong merupakan Anggota Parlimen (AP) yang memimpin GRC Marsiling-Yew Tee.
Surayah Akbar, bendahari parti SDP, dilihat menerusi wadah media sosial, giat mendampingi para penduduk di kawasan undi itu.
Apabila ditanya jika beliau akan dicalonkan di kawasan undi tersebut, Dr Chee berkata: "Kami akan mengumumkan itu."
SDP bertanding di GRC itu semasa Pilihan Raya Umum 2015 dan 2020 tetapi kalah kedua-dua kalinya di tangan PAP. Parti itu memperolehi 31.27 peratus undi semasa Pilihan Raya Umum pada 2015, dan meraih 36.82 peratus pada 2020.
Kawasan undi itu mempunyai seramai 119,352 pengundi bagi pilihan raya akan datang.
Minggu lalu, Dr Chee mengumumkan bahawa beliau mahu bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Sembawang West yang baharu bagi Pilihan Raya Umum akan datang.
Sembawang West adalah antara enam SMC baharu yang dibentuk. Ia dijangka mempunyai seramai 24,153 pengundi.
GRC Sembawang kini diterajui pasukan lima anggota daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) - Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Encik Vikram Nair, Dr Lim Wee Kiak, Cik Mariam Jaafar dan Cik Poh Li San.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.