Skip to main content

Singapura

GE2025: SDP lancar manifesto; usul perubahan pada dasar ekonomi, jagaan kesihatan, perumahan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Apr 2025 01:56PM Dikemas Kini : 21 Apr 2025 12:47AM
SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) melancarkan manifesto partinya bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Ahad (20 Apr), di mana ia mendedahkan usulan terhadap dasar kos sara hidup, penjagaan kesihatan, jagaan kesihatan, perumahan, pendidikan dan imigrasi.

Semasa melancarkan slogannya "Berkembang Maju, Bukan Sekadar Bertahan" pada Sabtu (19 Apr), parti itu menyeru supaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan bagi barang keperluan harian dan kos-kos perubatan diturunkan, antara saranan lain.

Manifesto parti itu dibahagikan kepada enam bahagian merangkumi ekonomi, penjagaan kesihatan, perumahan, pendidikan, imigresen dan perubahan iklim.

Salah satu saranannya adalah supaya diwujudkan "sistem insurans kesihatan kebangsaan asas" bagi menggantikan MediSave, MediShield dan CareShield yang dianggap rumit.

Pengerusi SDP Paul Tambyah melancarkan manifesto itu pada Ahad bersama dengan naib pengerusi SDP Bryan Lim dan calon GRC Marsiling-Yew Tee Jufri Salim dan Gigene Wong.

Semasa bercakap kepada wartawan di Yew Tee Square, Profesor Tambyah berkata: "Manifesto kempen ini adalah satu janji, ia adalah janji yang kami mahu anda semua mempertanggungjawabkan kami."

Berikut adalah dasar-dasar utama dalam manifesto SDP:

EKONOMI

SDP mengulangi seruannya supaya diturunkan GST dan memansuhkan cukai terhadap barang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

Parti itu menyatakan "sangat sukar untuk difahami" kenaikan GST dari 7 peratus kepada 9 peratus pada waktu berlaku inflasi global. Ia menambah di sesetengah negara, keperluan makanan dan khidmat jagaan kesihatan asas dikecualikan daripada GST.

Ia juga mengusulkan supaya dikurangkan sewa, sambil menambah "ia berada dalam kemampuan pemerintah" kerana ia memiliki kebanyakan daripada tanah di Singapura.

Ia menambah bahawa pendekatan pemerintah terhadap pengagihan bantuan dan baucar hanya memberikan "bantuan sementara".

SDP juga memohon Pemerintah supaya menimbangkan pelaksanaan gaji minimum.

Menurutnya, walaupun Model Gaji Progresif adalah satu "permulaan yang baik", ia tidak "mencerminkan hakikat sebenar di luar sana".

Mengenai usaha membantu warga emas, SDP menyatakan ia "mengiktiraf nilai" Skim Ihsan Senja, namun mahu diadakan "skim yang lebih luas" bagi membantu 80 peratus warga emas berpendapatan rendah dengan bantuan S$500 sebulan bagi menokok CPF mereka.

SDP menyatakan usaha itu boleh dibiayai "daripada sebahagian kecil" pendapatan faedah atas pelaburan rizab.

SDP juga menyatakan skim jumlah minimum CPF harus dihapuskan, kerana ia "bukan sahaja tidak praktikal tetapi juga tidak bermoral".

Menurut parti itu, orang ramai harus diberi pilihan sama ada untuk menyimpan wang dalam akaun CPF mereka untuk mengumpul faedah.

PENJAGAAN KESIHATAN

SDP menyarankan agar khidmat-khidmat penjagaan ibu dan pediatrik harus "sebahagian besar dijadikan percuma" dan dibiayai oleh Pemerintah menggunakan dana cukai.

Ini akan mengurangkan kos melahirkan dan membesarkan anak-anak dan "berpotensi dapat mengatasi" isu kadar kelahiran yang menurun di Singapura.

Khidmat jagaan kesihatan utama bagi penyakit kronik juga harus dibenarkan untuk dibayar melalui sebuah "sistem pengumpulan risiko" supaya kos mengendalikan sistem itu dikongsi sama rata oleh seluruh masyarakat, menurut SDP.

Parti itu juga menyatakan kos mengendalikan hospital perlu dibayar menggunakan hasil cukai dan pembentukan kelompok jagaan kesihatan - Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan Singhealth - telah menyebabkan pembaziran dan pertindihan "ketara", dengan adanya beberapa CEO dan pentadbir.

Ia menambah sistem itu "perlu dihapuskan" dan menyeru agar Singapura kembali ke sebuah "sektor jagaan kesihatan awam yang tunggal".

PERUMAHAN

Di bawah dasar perumahan SDP, parti itu mengulangi saranannya supaya dilaksanakan skim Bukan Pasaran Terbuka (NOM) bagi flat-flat HDB.

Idea utama di sebalik skim itu adalah untuk mengecualikan kos tanah daripada harga-harga flat HDB.

Menurut saranan SDP, flat-flat di bawah skim itu akan dibina pada kawasan tanah khas dan hanya boleh dijual kepada HDB pada harga pembelian tidak termasuk pajakan.

Di bawah saranan itu, HDB akan memegang stok penimbal flat bagi membolehkan rakyat Singapura mendapatkan flat masing-masing dengan masa menunggu minimum.

PENDIDIKAN

Di bawah dasar pendidikan, SDP mencadangkan agar sistem pendidikan dirombak, mulai dari pendidikan awal kanak-kanak di prasekolah kebangsaan.

Saranan utama termasuk memansuhkan PSLE, mengurangkan jumlah pelajar dalam sebuah kelas kepada maksimum 20 pelajar, memperkenalka Sistem Guru Berdedikasi di mana seorang guru mengajar sebuah kelas selama tiga tahun dan menghapuskan sebarang bentuk ranking sekolah dan kelas.

Parti itu juga mengusulkan supaya kegiatan luar darjah di sekolah rendah dan menengah diperluaskan untuk meliputi projek kerjasama dengan pelajar, ucapan dan drama, kemanusiaan dan seni serta meningkatkan keupayaan celik digital.

Pada masa yang sama, ia turut mencadangkan supaya beban kandungan mata pelajaran tradisional seperti Matematik dan Sains dikurangkan.

Di peringkat pengajian tinggi pula, SDP mengusulkan pinjaman yuran universiti tanpa faedah yang hanya perlu dibayar balik sebaik sahaja mahasiwa itu mendapat perkejaan.

IMIGRASI

"Kami percaya pendekatan Pemerintah terhadap penduduk perlu beri tumpuan kepada mekanisme imigrasi yang direkan untuk menarik dan mengekal bakat-bakat terbaik sambil memelihara kewajipan untuk menyediakan pasaran buruh yang adil dan saksama kepada rakyat Singapura," menurut SDP.

Ia menyeru supaya diadakan sistem pengesanan bakat untuk memastikan "hanya karyawan asing dengan kemahiran dan kelayakan yang sah" boleh bekerja di Singapura.

IKLIM

Di bawah dasar iklim, SDP menyarankan agar tempoh larangan dikenakan terhadap aktiviti pemusnahan hutan dan sokongan lebih baik bagi penggunaan kenderaan elektrik, terutama sekali dalam kalangan pemandu teksi dan bas.

Ia juga mengusulukan peralihan lebih kukuh kepada tenaga yang boleh diperbaharui melalui pembiayaan inovasi dan cukai bahan api fosil yang lebih tinggi.

"STRATEGI UTARA"

SDP juga menyatakan ia akan melaksanakan 'strategi utara' dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, parti itu telah mengumumkan calon parti yang berpotensi bertanding di GRC Sembawang Marsiling-Yew Tee serta SMC Sembawang West dan Bukit Panjang.

Dr Chee akan bertanding di Sembawang West manakala Prof Tambyah sekali lagi bertanding di Bukit Panjang.

Hari Penamaan Calon pada Rabu (23 Apr) dan rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita