GE2025: SDP gesa Pemerintah untuk lakukan lebih banyak untuk tangani 'krisis kesihatan mental'
Singapura sedang berdepan "krisis kesihatan mental" yang harus ditangani Pemerintah "dengan usaha jauh lebih besar", kata ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan pada Ahad (27 Apr).
Parti Demokratik Singapura (SDP) gesa pemerintah lakukan lebih banyak demi tangani 'krisis kesihatan mental'. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
This audio is generated by an AI tool.
Dalam ucapannya di rapat pilihan raya SDP di luar Sun Plaza pada Ahad malam, Dr Chee yang memegang ijazah kedoktoran dalam bidang psikologi, mengaitkan masalah kesihatan mental di Singapura dengan tekanan kos sara hidup dan ruang kediaman yang sempit.
Beliau menggesa Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang juga menteri utama Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sembawang supaya melakukan lebih banyak usaha untuk menangani krisis tersebut.
"Tiada gunanya mempertingkatkan rangkaian sokongan untuk rakyat Singapura tanpa menangani punca utama masalah ini. Ketika anda mengelap lantai, bukankah anda akan menutup paip terlebih dahulu?" soal beliau.
Ahad merupakan malam keempat berturut-turut SDP mengadakan rapat pilihan raya.
Sembilan calon berucap di rapat pilihan raya SDP yang diadakan berhampiran Sun Plaza di GRC Sembawang, di mana Naib Pengerusi SDP Bryan Lim, Cik Surayah Akbar, Dr James Gomez, Encik Damanhuri Abas dan Encik Alfred Tan bertanding.
Mereka berdepan persaingan tiga penjuru menentang pasukan PAP dan pasukan Parti Perpaduan Nasional (NSP) yang diterajui setiausaha agungnya, Spencer Ng.
Dalam rapat pilihan raya pada Sabtu, SDP membentangkan pelan bandar Sembawang yang merangkumi ruang kerja bersama dan ruang simpanan di kolong blok bagi kegunaan para penduduk.
Pada Ahad, Dr Chee menyatakan antara cadangan paling penting adalah penubuhan sebuah pusat kesihatan mental bagi golongan belia yang menawarkan perkhidmatan kaunseling secara jumpa terus atau 'walk-in', kumpulan sokongan rakan sebaya serta bengkel pendidikan kesihatan mental dan bengkel kreatif untuk membina daya ketahanan diri.
Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak "ruang hijau terbuka" untuk penduduk Sembawang, khususnya golongan belia dan warga emas kerana ia terbukti memberi manfaat terhadap kesihatan mental.
Satu kajian oleh Institut Kesihatan Mental tahun lalu mendapati kira-kira satu daripada tiga golongan muda berusia antara 15 hingga 35 tahun di Singapura melaporkan mengalami simptom kemurungan, keresahan dan/atau tekanan yang teruk atau sangat teruk.
KOS SARA HIDUP
Dr Chee, yang bertanding menentang Cik Poh Li San dari PAP di SMC Sembawang West, juga mempersoalkan sama ada Cik Poh pernah bersuara di parlimen mengenai kenaikan kos sara hidup.
"Apabila parlimen mengundi untuk menaikkan GST kepada 9 peratus, apa yang beliau lakukan? Apabila partinya menaikkan harga air pada 2024 dan 2025, bagaimana beliau mengundi? Apabila tambang bas dan MRT dinaikkan oleh pemerintah, adakah beliau bersuara?
"Apabila partinya menaikkan duti petrol sebanyak 23 peratus, adakah beliau mengundi untuk menentangnya? Apabila majlis bandaran menaikkan yuran anda, adakah beliau sekurang-kurangnya berusaha menghentikannya?" soal beliau kepada penyokong SDP.
Dr Chee berkata para pengundi berhak mendapat "seseorang yang akan mewakili anda di parlimen", dan SDP bersedia memainkan peranan itu.
Calon-calon SDP bagi GRC Sembawang turut menyentuh isu tentang kos sara hidup dalam ucapan mereka.
"Potong kos tersembunyi seperti premium COE (Sijil Hak Memiliki Kenderaan) yang menjadikan kereta keluarga anda satu kemewahan yang anda tidak mampu miliki," katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya harga api air diturunkan kerana "menghidupkan kipas semasa gelombang haba tidak sepatutnya menjadi seakan-akan satu keputusan kewangan".
Cik Surayah turut menyeru supaya harga perumahan disusun semula tanpa melibatkan "bayaran harga pasaran bagi tanah yang sudah pun dimiliki pemerintah".
"Kami tidak minta keajaiban, cuma keseimbangan. Nafikan PAP daripada memperoleh majoriti besar yang mereka amat dambakan. Nafikan mereka cek kosong, kerana apabila kuasa tidak dikawal, rakyatlah yang menanggung kesannya, yang dibayar dengan faedah," kata beliau.
"Ia mesti mempamerkan disiplin sebuah pemerintah yang berpusatkan rakyat dan bukannya entiti yang berpaksikan keuntungan," katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa terdapat keperluan untuk menaikkan GST selepas pandemik COVID-19, dan sama ada sumber pendapatan lain boleh diteroka pada masa itu.
Encik Tan turut menyenaraikan beberapa contoh yang menurutnya merupakan "pembaziran" wang pembayar cukai.
Beliau merujuk kepada Memorial Pengasas yang dijangka menelan belanja S$335 juta, serta lima datuk bandar, dimana masing-masing menerima gaji sebanyak S$660,000 setahun berdasarkan Kertas Putih berkenaan gaji menteri pada 2012.
Dalam rapat pilihan raya pada Sabtu, SDP turut menggesa agar jawatan datuk bandar dimansuhkan.
Dalam satu lagi serangan terhadap Encik Ong, calon SDP di GRC Sembawang Dr Gomez memberi gambaran kewujudan "krisis penjagaan warga emas" di Singapura dan berkata Menteri Kesihatan itu gagal menyediakan sokongan mencukupi kepada para penjaga.
Menjelang 2030, seorang daripada empat rakyat Singapura akan menjangkau usia 65 tahun atau lebih. Dr Gomez turut memetik satu kajian oleh Sekolah Perubatan Duke-NUS pada 2024, yang mendapati bahawa nilai penjagaan tidak formal bagi warga emas dianggarkan sebanyak S$1.28 bilion.
"Kami percaya bahawa penjagaan perlu dilihat sebagai keutamaan nasional, bukan masalah peribadi," katanya, sebelum mengemukakan tujuh cadangan oleh SDP.
"Kami akan memperluaskan penjagaan warga emas berasaskan masyarakat dengan menubuhkan pusat penjagaan kejururawatan yang dikendali oleh para jururawat dan ahli fisioterapi sambilan untuk menyediakan penjagaan di rumah secara berkala, nasihat dan perkhidmatan perubatan asas di bawah penyeliaan doktor.
Dr Gomez juga berkata partinya akan memperjuangkan cuti keluarga bergaji yang menyeluruh "supaya penjaga tidak lagi perlu memilih antara pekerjaan dan orang tersayang", serta menggesa fleksibiliti tempat kerja di semua sektor supaya penjaga boleh kekal aktif dari segi ekonomi.
Akhir sekali, SDP akan mempromosikan penuaan aktif melalui aktiviti luar, pekerjaan bagi warga emas serta rangkaian sokongan rakan sebaya.
Langkah-langkah tersebut, kata Dr Gomez, dapat mengurangkan tekanan jangka panjang ke atas penjaga dan sistem kesihatan awam.
Rapat pilihan raya SDP pada Ahad bermula hampir sejam lewat akibat hujan.
Rapat tersebut dimulakan dengan permohonan maaf daripada Dr Chee berhubung penggunaan kata-kata berbaur perkauman oleh Dr Gigene Wong terhadap rakan sepasukannya, Encik Ariffin Sha.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.