GE2025: SDA mahu bertanding di Pasir Ris-Changi meski kawasan undi disemak sebagai 'tanggungjawab' kepada penduduk
Perikatan Demokratik Singapura (SDA) akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Changi yang baru dibentuk, meskipun terdapat perubahan ketara pada sempadan kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum akan datang, menurut pengumuman parti tersebut pada Ahad (23 Mac).
(Dari kiri) Encik Kuswadi Atnawi, Encik Desmond Lim, Encik Muhammad Faizal, dan Encik Abu Mohamed daripada Perikatan Demokratik Singapura (SDA) semasa sesi kunjungan yang dijalankan pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Pengerusi SDA, Desmond Lim, bersama kira-kira tujuh anggota parti, bercakap dengan pihak media pada pagi Ahad selepas mengadakan kunjungan di sekitar pusat beli-belah Loyang Point dan estet Flora – yang dahulunya merupakan sebahagian daripada GRC East Coast.
SDA adalah sebuah pakatan yang kini merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) dan Parti Keadilan Singapura (SJP).
Encik Lim memaklumkan para wartawan bahawa ia menjadi satu “tanggungjawab” bagi parti itu untuk terus bertanding di estet-estet Pasir Ris, di mana mereka telah berada di lapangan selama bertahun-tahun.
SDA bertanding di kawasan Pasir Ris-Punggol dalam setiap pilihan raya sejak 2006, namun masih belum pernah berjaya.
“Kami berada di sini kerana Changi adalah sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Changi… Saya rasa adalah menjadi tanggungjawab kami untuk meneruskan khidmat kami (kepada para penduduknya),” kata beliau.
“Tidak kira bagaimana sempadan diubah, isu-isu tersebut tetap ada,” katanya.
“Selagi anda tinggal di pulau ini… anda akan menghadapi masalah yang serupa. Bagi kami, tugas kami adalah untuk terus menyuarakan suara rakyat dan memberikan bantuan sekiranya diperlukan.”
Dengan pembentukan GRC Punggol yang baharu, kawasan yang selebihnya di GRC Pasir Ris-Punggol digabungkan dengan kawasan berdekatan dari GRC East Coast.
Bersama dengan estet Loyang dan Flora, kawasan-kawasan itu kini membentuk GRC Pasir Ris-Changi yang mempunyai empat anggota.
Turut hadir bagi kunjungan yang dilakukan pada Ahad itu ialah Setiausaha Agung SDA, Abu Mohamed, dan anggota parti Kuswadi Atnawi, kedua-duanya pernah menjadi calon SDA dalam GE2020.
Turut kelihatan bersama SDA ialah seorang usahawan berusia 42 tahun, Muhammad Faizal Mohmad, yang merupakan anggota PKMS sejak 2016.
Profil LinkedIn Encik Faizal menunjukkan bahawa beliau adalah pemilik agensi pemasaran digital, Hyperwave Digital.
Berikutan laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) awal bulan Mac, SDA mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan “bercakap secara jujur dan ikhlas dengan Parti Pekerja (WP) mengenai perubahan sempadan” tersebut.
Encik Lim mengesahkan bahawa partinya telah “berhubung” dengan WP bagi membincangkan parti mana yang patut bertanding di GRC Punggol yang baru dibentuk itu.
Namun begitu, beliau menambah bahawa pihaknya tidak akan mendedahkan sebarang maklumat lanjut sehingga “masa yang sesuai”.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan wartawan mengenai rancangan parti sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di Pasir Ris-Changi, Encik Lim berkata mereka bersifat terbuka untuk menerima anggota baharu ke dalam pakatan tersebut.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, sebab itu kami namakan ini satu pakatan,” katanya, sambil menambah bahawa rakyat Singapura lebih gemarkan “pembangkang yang bersatu”.
“Kami sangat jujur dan ikhlas. Kami mahu berbincang dengan WP tentang bagaimana kami boleh bekerjasama, kerana kami berkongsi matlamat yang sama – iaitu ke arah kebaikan bagi Singapura.”
Pada GE2020, SDA bertanding dengan PAP dan Suara Rakyat (PV) dalam pertandingan tiga penjuru di Pasir Ris-Punggol, dan akhirnya meraih tempat kedua dengan 23.67 peratus undi.
Pasukan mereka terdiri daripada Encik Lim, Presiden PKMS Abu Mohamed, jurutera elektrik Kuswadi Atnawi, pengurus pengurusan kemudahan Kelvin Ong, dan perunding perniagaan Harminder Pal Singh.
Mereka kalah kepada pasukan PAP yang terdiri daripada Menteri Kanan Teo Chee Hean serta anggota Parlimen Janil Puthucheary, Sharael Taha, Desmond Tan dan Yeo Wan Ling, yang memperoleh 64.16 peratus undi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.