GE2025: 'Satu penghormatan untuk berkhidmat', kata Ng Eng Hen mengenai persaraannya dari politik selepas 24 tahun
Setelah 24 tahun berkecimpung dalam dunia politik - 14 daripadanya sebagai Menteri Pertahanan - Dr Ng Eng Hen pada Jumaat (18 Apr) mengumumkan persaraannya daripada politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Dalam satu sidang media yang mengumumkan barisan calon baharu bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh, di mana beliau menjadi Anggota Parlimen sejak 2001, Dr Ng berkata bahawa sudah tiba masanya untuk beliau “memberi ruang kepada pembaharuan" dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP).
“Ia satu penghormatan untuk berkhidmat bagi para penduduk saya dan rakyat Singapura secara umum selama lima penggal,” kata Dr Ng.
Ahli politik berusia 66 tahun itu berkata beliau telah memaklumkan keputusannya kepada Perdana Menteri Lawrence Wong “beberapa bulan lalu”, dan menambah bahawa pembaharuan dalam parti merupakan “kekuatan dan nilai teras” PAP.
Lagipun, katanya, sebelum ini, Anggota Parlimen dan menteri penyandang yang masih boleh kekal turut berundur untuk memberi laluan kepada muka baharu seperti dirinya.
“Saya fikir adalah satu nilai murni apabila PAP memaksa dirinya untuk memperbaharui barisan kepimpinannya, dan bagi ahli politik kanan seperti saya, kami mencontohi teladan mereka yang kami lihat ketika kami mula-mula menceburi politik ... jika yang lebih berpengalaman tidak berundur untuk memberi laluan kepada yang baharu, kita tidak bersiap sedia bagi masa depan,” kata Dr Ng.
Mengenang kembali perjalanannya dalam politik, Dr Ng berkata bahawa ketika beliau pertama kali diperkenalkan sebagai calon 24 tahun lalu, beliau langsung tidak terfikir untuk menyertai barisan pemerintah.
“Ketika itu, saya hanya mahu menjadi seorang Anggota Parlimen. Saya seorang pakar bedah yang sibuk, dan saya fikir saya boleh menjadi pakar bedah serta Anggota Parlimen pada masa yang sama,” katanya.
“Selepas itu, saya dipelawa untuk menyertai pemerintah, jadi saya perlu membuat pilihan. Jadi ia bukan satu tempoh yang singkat, tetapi satu tempoh yang agak panjang.”
Apabila ditanya apa yang akan beliau lakukan selepas berundur daripada politik, beliau berkata bahawa beliau “tidak kekurangan minat dalam pelbagai perkara”.
“Saya rasa saya tidak akan kekurangan perkara untuk dilakukan, dan saya juga mempunyai aktiviti akar umbi lain yang saya minati, yang boleh saya lakukan, dan saya rasa saya akan sangat berbesar hati.”
Beliau turut berkata, 'Ini adalah Hari Pembebasan saya', yang disambut dengan gelak tawa para hadirin.
"MASA YANG SESUAI UNTUK MENGASAH BAKAT PASUKAN BAHARU"
Berhubung persaraannya pada Jumaat, Dr Ng berkata landskap keselamatan kini sedang melalui satu “perubahan besar” dan akan mengambil masa sekitar sedekad untuk “menyesuaikan diri dengan keadaan baharu”.
Beliau menambah, walaupun begitu, susunan dunia baharu mungkin mengambil tempoh sedekad lagi untuk mendapat “penerimaan yang sewajarnya” daripada masyarakat antarabangsa.
“Akan ada naik turun, dan saya rasa ini masa yang sesuai untuk pasukan baharu mula mengasah bakat mereka dalam menangani cabaran,” kata Dr Ng.
“Dua perkara yang saya ingin tekankan: Pertama, pasukan baharu tetap akan disertai mereka yang berpengalaman, sekiranya mereka terpilih.
"Kedua, fasa yang kita sedang hadapi ini bukan sesuatu yang bersifat sementara. Ia akan menjadi satu tempoh yang panjang. Jadi lebih baik serah tugas kepada orang baharu ketika keadaan masih agak stabil.”
Sebelum menyertai politik, Dr Ng merupakan pakar bedah perunding di Hospital Besar Singapura, sebelum beliau terlibat dalam bidang onkologi pembedahan swasta di Hospital Mount Elizabeth.
Pada 2001, beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Anggota Parlimen bagi GRC Bishan-Toa Payoh selepas menang tanpa bertanding, dan sejak itu Dr Ng kekal berkhidmat di kawasan tersebut.
Tidak lama selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia pada 2002. Kemudiannya, beliau mengetuai kedua-dua kementerian tersebut, sebagai Menteri Tenaga Manusia dan Pendidikan.
Beliau telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan selama sekitar 20 tahun, bermula sebagai Menteri Kedua Pertahanan pada 2005, sebelum mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Menteri Kanan Teo Chee Hean pada 2011.
Ini menjadikan Dr Ng sebagai menteri pertahanan yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Singapura. Beliau juga pernah menjadi Ketua Dewan dari 2011 hingga 2015.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan antarabangsa, dan dikenali kerana keterbukaannya dalam menyuarakan cabaran keselamatan global.
Beberapa jam selepas sidang media pada Jumaat, Dr Ng memuat naik satu catatan di Facebook di mana beliau berkongsi renungan sepanjang tempoh perkhidmatannya, dan berkata bahawa beliau telah memilih “laluan yang jarang dilalui”.
“Namun walaupun saya kini sudah berhasil menempuhi cabaran, masih banyak lagi yang terbentang di hadapan. Fasa akhir kehidupan adalah tujuan sebenar kehidupan, dan yang terbaik masih belum tiba,” tulisnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.