GE2025: Saranan SDP 'tidak akan menyumbang apa-apa' kepada SG
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengkritik saranan Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Isnin (28 Apr), sambil berkata parti itu perlu "menerangkan dengan jujur" saranan-saranan mereka.
Calon PAP di GRC Sembawang, Ong Ye Kung berucap di rapat pilihan raya PAP pada 28 April 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Encik Ong berkata saranan parti itu "tidak akan menyumbang apa-apa' dan "sekadar saranan bersifat populis" yang bertujuan untuk parti itu memperoleh kerusi Parlimen, katanya di rapat pilihan raya Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Sembawang.
Encik Ong turut menarik perhatian kepada dua dasar dalam manifesto SDP - jagaan kesihatan dan perumahan - dalam ucapan rapat pilihan rayanya.
Mengenai jagaan kesihatan, Encik Ong berkata saranan SDP seolah-olah memberi gambaran bahawa sistem tersebut boleh direka semula dengan mudah untuk mengurangkan kos.
Namun sebagai seseorang yang terlibat dalam membentuk sistem dan dasar jagaan kesihatan Singapura, Encik Ong berkata beliau tidak dapat menentukan apa sebenarnya yang dicadangkan oleh parti pembangkang itu.
Di bawah pelan jagaan kesihatan yang diusulkan oleh SDP, sebuah sistem pembayar tunggal akan diperkenalkan, di mana pemerintah menguruskan dana jagaan kesihatan pusat.
Dana itu akan dikendalikan berdasarkan sistem insurans awam bersubsidi pemerintah untuk membiayai perlindungan wajib bagi kesihatan asas, kemalangan dan kehamilan bagi semua rakyat dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang menetap di negara ini lebih enam bulan dalam setahun.
Encik Ong berkata pada masa ini, bil hospital selalunya dibayar menerusi tiga cara: subsidi pemerintah, tuntutan MediShield Hayat dan MediSave.
"Ini dinamakan sistem S+2M dan sekitar lapan daripada 10 bil hospital dibayar menggunakan sistem S+2M.
"Sebuah sistem pembayar tunggal bermakna kita menghapuskan dua daripada tiga abjad itu. Jadi soalan saya kepada SDP ialah - dua abjad mana yang anda mahu hapuskan?"
Encik Ong berkata dalam apa jua keadaan, ini bermakna SDP berhasrat untuk sama ada menghentikan semua subsidi jagaan kesihatan atau memansuhkan MediShield Hayat - dan parti itu perlu menjelaskan saranan mereka "dengan jujur" kepada para penduduk.
"Jika tiada subsidi, semua bil hospital harus dilindungi hanya oleh insurans, yang bermakna harga premium MediShield Hayat akan melonjak tinggi," katanya.
"Jika tiada MediShield Hayat, dan bil-bil hospital hanya boleh ditampung menerusi subsidi, cukai - GST, cukai pendapatan - akan melonjak tinggi demi menampung lebih banyak subsidi jagaan kesihatan.
"Bukankah kita seharusnya mendapatkan penjelasan daripada mereka?"
Encik Ong juga berkata SDP seolah-olah mencadangkan penggabungan tiga kelompok jagaan kesihatan - Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG), Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth - kepada satu entiti untuk memotong kos pentadbiran dan menghuraikan cabaran yang membelenggu jagaan kesihatan.
Dalam pelan jagaan kesihatannya, SDP menyatakan kos mengendalikan hospital perlu dibiayai menerusi cukai, sambil menyifatkannya sebagai "satu-satunya cara" untuk mengurangkan kos perkhidmatan semasa membayar khidmat tersebut.
Ia menambah bahawa pembentukan dua, dahulunya lima, dan kini tiga kelompok jagaan kesihatan telah menghasilkan banyak pembaziran dan duplikasi, dengan terdapat ramai pegawai eksekutif kanan dan pentadbir lain, sedangkan sistem tersebut sebelum ini dikendalikan dengan cekap di bawah Kementerian Kesihatan (MOH).
Encik Ong berkata apabila ia "sebegitu mudah dan baik", ia biasanyanya "palsu".
"Melainkan SDP berfikir sebagai sebuah pertubuhan besar, kadangkala mereka menggabungkan syarikat, kemudian mereka memotong dan mengurangkan kos, termasuk memberhentikan ramai kakitangan... terutama sekali pekerja pentadbiran.
"Berapa ramai kakitangan pentadbiran yang SDP mahu berhentikan daripada kelompok itu apabila anda mahu menggabungkannya?"
Encik Ong juga menyasarkan pengerusi SDP Paul Tambyah, sambil berkata sebagai perunding kanan di divisyen penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH) - sebahagian daripada kelompok jagaan kesihatan itu - beliau sepatutnya tahu jawapannya.
"Mereka adalah pegawai sumber manusia (HR), kakitangan kewangan, mereka yang menjawab pertanyaan awam, cef, porter, pekerja pembersihan.
"Sebagai menteri kesihatan, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memberhentikan mereka. Malah, baru-baru ini kami menaikkan gaji mereka," katanya.
Encik Ong adalah calon terakhir yang berucap di rapat pilihan raya PAP pada malam itu.
Mereka yang berucap sebelumnya adalah mantan AP Lim Wee Kiak, calon pasukan PAP yang lain di GRC Sembawang iaitu Vikram Nair, Mariam Jaafar, Gabriel Lam dan Ng Shi Xuan serta calon SMC Sembawang West Poh Li San.
Dalam Pilihan Raya Umum kali ini, pasukan PAP pimpinan Encik Ong bersaing dengan SDP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam persaingan tiga penjuru bagi GRC itu.
Bagi SMC Sembawang West, ia adalah persaingan satu lawan satu antara calon PAP Poh Li San dan ketua SDP Chee Soon Juan.
PERUMAHAN
Encik Ong juga berucap mengenai perumahan, satu lagi dasar yang digariskan dalam manifesto SDP, yang menurut Encik Ong, SDP telah "meniru" parti pembangkang lain dengan mengusulkan harga tanah dikeluarkan daripada harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF).
Walaupun ia kelihatan menarik kerana ia akan membuat harga rumah flat lebih murah, Encik Ong menyoal sama ada ia sesuatu yang praktikal.
"Dengan harga flat baharu yang jauh lebih murah, apakah kesannya terhadap semua orang yang memiliki flat? Apa yang akan berlaku terhadap harga flat jualan semula? Apakah kesannya terhadap pasaran flat jualan semula?"
Encik Ong juga menanyakan para pemilik rumah baharu: apa akan berlaku apabila flat mereka mencapai Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) dan mereka mahu menjual flat mereka?
"SDP kata anda boleh jualnya semula kepada HDB. Bayangkan anda akan menjual flat itu pada harga yang sama seperti semasa anda membelinya.
"Ini bermakna anda tidak mempunyai harapan untuk meraih manfaat daripada peningkatan nilai flat anda. Flat BTO anda bukan lagi sebuah aset. Pada asasnya, dasar HDB kami - dasar HDB mereka - adalah sebuah skim penyewaan."
Encik Ong juga menambah bahawa saranan SDP menunjukkan kurang pemahaman tentang bagaimana dasar-dasar awam dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.