GE2025: 'Sangat terharu' oleh sokongan padu di West Coast-Jurong West, kata Desmond Lee
Walaupun keputusan rasmi Pilihan Raya Umum 2025 diumumkan selepas waktu tengah malam semalam, para Anggota Parlimen sudah mula turun padang pada pagi Ahad (4 Mei) untuk mengucapkan terima kasih kepada para penduduk atas sokongan mereka.
Anggota pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast–Jurong West (atas kiri dan bawah kanan), GRC East Coast (atas kanan) dan GRC Nee Soon (bawah kiri) semasa sesi kunjungan bagi mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas sokongan mereka pada 4 Mei 2025. (Gambar: CNA/Abel Khoo, Christine Tan)
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee memimpin pasukannya seramai lima anggota sedang mereka menyapa para pengunjung di sebuah kedai kopi di Jurong West selang beberapa jam selepas memenangi GRC yang baharu dibentuk itu.
Pasukan itu menang dengan 60.01 peratus undi ke atas pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang diterajui oleh pengerusi Tan Cheng Bock.
Pasukan itu terdiri daripada mantan AP GRC Jurong Shawn Huang, mantan AP GRC West Coast Ang Wei Neng dan muka baharu Cassandra Lee dan Hamid Razak.
Sedang Encik Lee melewati kedai kopi itu, beberapa penduduk yang sedang bersarapan pagi menunggu giliran mereka untuk berjabat tangan dengan Encik Lee manakala beberapa penduduk lain menghampirinya untuk mengucapkan tahniah kepada pasukannya atas kemenangan mereka dalam GE2025.
Semasa bercakap kepada pihak media sebelum melakukan lawatan ke lokasi kedua di Boon Lay Food Village, Encik Lee berkata "beliau berasa sangat terharu" kerana mendapat sokongan padu daripada para penduduk di kawasan itu berbanding lima tahun lalu.
Pada 2020, PSP hampir meraih kemenangan dalam persaingan yang paling sengit pada tahun itu di GRC West Coast, yang kini sudah dibubarkan.
Pada 2020, PAP mengekalkan kerusinya di GRC West Coast dengan 51.68 peratus undi, manakala PSP memperolehi dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebagai parti pembangkang yang kalah di kawasan undi itu namun mencatatkan keputusan terbaik.
"Dalam Parlimen, saya dan rakan-rakan kerja saya telah berkhidmat untuk mereka, berunding mengenai isu-isu yang penting bagi mereka, menjawab soalan yang menjadi kebimbangan penduduk.
"Di lapangan, menerusi Sesi Bertemu Penduduk, lawatan ke rumah, banyak projek telah kami lakukan untuk terus berhubungan dengan penduduk," kata Encik Lee.
"Jadi sudah pasti terdapat rasa tanggungjawab yang kuat untuk terus berkhidmat kepada para penduduk yang telah mengamanahkan kami dengan sokongan yang mereka berikan semalam."
Encik Lee berkata pasukannya akan terus melakarkan langkah-langkah bagi membantu para penduduk menangani isu seperti kos sara hidup, jaminan pekerjaan sambil menjelaskan bagaimana ia telah bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dari Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membantu lulusan baharu dari institut pengajian tinggi serta pekerja pertengahan umur dan lebih berusia di bahagian barat Singapura.
GRC EAST COAST
Sementara itu, suasana di GRC East Coast cukup meriah dengan kehadiran penduduk yang teruja menyaksikan perarakan kemenangan PAP di sana.
Tahun ini, PAP mencatatkan keputusan lebih baik di GRC East Coast berbanding GE2020, di mana ia berjaya mempertahankan kerusinya dengan 58.76 peratus undi.
Dalam Pilihan Raya Umum sebelumnya, ia memperolehi 53.39 peratus undi.
Beberapa anggota PAP menaiki bas perarakan iaitu Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How dan Timbalan Speaker Jessica Tan serta Anggota Parlimen baharu Dinesh Vasu Dash dan Hazlina Abdul Halim.
Bercakap kepada wartawan di luar acara perarakan kemenangan, Encik Tong berkata rancangan serta mertanya adalah untuk meneliti setiap bahagian dalam pasukannya bagi memastikan penjajaran kerana mereka menggabungkan lima kawasan undi termasuk Joo Chiat, yang beliau sifatkan sebagai 'pendatang baharu'.
"Usaha menyepadukan Joo Chiat sudah tentu adalah satu keutamaan. Ia pendatang baharu, yang datang untuk menyertai bahagian East Coast yang lain.
"Namun selain itu, kita juga perlu menilai apa yang berkesan di kawasan undi itu dari segi perspektif infrastruktur dan dari segi program sosial," katanya, sambil menukil sokongan bagi warga emas dan golongan penjaga sebagai contoh.
Memberi tumpuan kepada golongan belia juga akan diutamakan, kata Encik Tong.
"(Kita perlu memastikan) mereka mempunyai peluang untuk mendapat pendedahan dan mereka rasakan bahawa mereka telah diperkasakan untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri."
SUDAH PUN MULAKAN TUGAS
Walaupun Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam selesai melakukan lawatannya terlebih awal, para penduduk berkumpul dengan penuh berkobar-kobar di Chong Pang City pada kira-kira waktu tengah hari bagi menyambut pasukan itu.
Pasukan PAP GRC Nee Soon memperoleh 73.81 peratus undi ke atas Titik Merah Bersatu.
Ia adalah kenaikan hampir 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2020, apabila PAP bersaing dengan PSP.
Empat lagi anggota pasukan, Dr Syed Harun Alhabsyi, Cik Goh Hanyan, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying berjabat tangan dan bergambar dengan para penduduk yang datang untuk mengucapkan tahniah kepada mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukannya di GRC Marsiling-Yew Tee juga turun padang awal pagi tadi untuk mengucapkan tahniah kepada para penduduk atas sokongan mereka.
Pasukan itu tiba di pasar Marsiling pada kira-kira pukul 9.00 pagi.
Mereka kemudian ke Yew Tee Square di mana ramai mengerumuni pasukan itu untuk bergambar dengan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.