GE2025: Rombakan 'besar' barisan menteri Kabinet dijangka, peranan menteri kewangan, pertahanan dan DPM antara yang paling dinantikan

(Dari kiri) Grace Fu, K Shanmugam, Desmond Lee, Gan Kim Yong, Lawrence Wong, Chan Chun Sing, Masagos Zulkifli, Ong Ye Kung, Chan Hui Yuh pada sidang akhbar pasca pilihan raya di The Treasury pada 4 Mei, 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperoleh 65.57 peratus undi, Perdana Menteri Lawrence Wong dijangka membentuk pasukannya sendiri dan melantik pemegang jawatan politik baharu untuk membentuk kepimpinan generasi kelima.
Rombakan akan datang itu menandakan barisan menteri Kabinet pertama yang dibentuk sepenuhnya oleh PM Wong sejak mengambil alih jawatan daripada Encik Lee Hsien Loong pada 2024.
Rombakan pascapilihan raya lazimnya berlaku dua hingga tiga minggu selepas Pilihan Raya Umum. Semasa sidang media yang diadakan selepas keputusan pilihan raya diumumkan, PM Wong mengakui bahawa pembentukan barisan menteri Kabinet adalah keutamaan.
"Terdapat keperluan mendesak tambahan tahun ini memandangkan perlunya untuk kita berdepan dengan keadaan tidak menentu perang perdagangan dan tariff," kata Profesor Madya Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Para penganalisis menarik perhatian bahawa rombakan besar tidak berlaku sejak 2021, dengan COVID-19, peralihan kepimpinan dan keadaan tidak menentu sejagat yang meningkat menyumbang kepada kesinambungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Portfolio yang kebanyakannya tidak berubah sudah membantu mewujudkan kestabilan dalam pemerintah, kata Profesor Madya Chong.
Lantaran itu, sebahagian portfolio mungkin kekal tidak berubah meskipun untuk tempoh yang panjang, terutama sekali dalam "kementerian khusus" seperti perdagangan dan perusahaan, ehwal luar, undang-undang dan ehwal dalam negeri, kata Encik Malminderjit Singh, pengarah urusan Terra Corporate Affairs.
Dalam kalangan anggota barisan menteri Kabinet sedia ada, Dr Vivian Balakrishnan sudah menerajui ehwal luar selama 10 tahun dan Encik K Shanmugam sudah menyelia ehwal dalam negeri dan undang-undang, masing-masing, selama 10 dan 17 tahun.
PERALIHAN JELAS KEPADA 4G
Dengan persaraan tiga menteri veteran - Menteri Kanan Teo Chee Hean, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen - serta ramai anggota barisan menteri Kabinet sedia ada yang sudah memegang portfolio mereka sejak 2020, PM Wong ada ruang untuk membuat rombakan besar, kata penganalisis.
Pensyarah kanan undang-undang Universiti Pengurusan Singapura Eugene Tan berkata rombakan itu adalah yang besar, kerana PM Wong akan mahu mengetengahkan bakat yang ada dalam kalangan parti pembangkang.
"Kebanyakan pasukan 4G bukan 'orang beliau'. Mereka semua datang pada masa yang sama," kata Profesor Madya Tan.
"Akan ada tumpuan kepada PM Wong dari segi pelantikan bagi jawatan peringkat menteri junior, yang mana mereka akan menerima pelantikan pertama POH semasa penggal beliau."

Rombakan itu juga berkemungkinan memberi isyarat kepada "peralihan jelas" daripada kepimpinan 3G kepada 4G, kata Encik Malminderjit.
"Meskkpun PM Lawrence Wong mengambi alih lebih setahun lalu, beliau mengekalkan kebanyakan pemimpin 3G dalam barisan menteri Kabinetnya. Maka inilah masanya untuk beliau membentuk pasukan yang menurutnya terbaik untuk bekerjasama dengan belliau untuk lima tahun mendatang," kata beliau.
Pemerhati bebas politik Felix Tan berkata rombakan itu akan menguji retorik kempen PM Wong mengenai pembaharuan dan kepercayaan kepada para calon baharu.
"Jika anda tidak memberikan mereka jawatan, maka ia bercanggah dengan keseluruhan retorik yang beliau bangkitkan sepanjang kempen, iaitu tentang mencari bakat baharu," katanya.
Sekalipun demikian, Dr Teo dari IPS berkata PM juga mungkin memilih pendekatan lebih tersusun, dengan melakukan perubahan sedikit demi sedikit dalam tempoh tertentu, memandangkan keadaan sejagat yang tidak menentu.
MENTERI PERTAHANAN BAHARU DIPERLUKAN
Antara pelantikan paling penting adalah menteri pertahanan baharu. Dr Ng, seorang pakar onkologi yang menyandang jawatan itu selama 14 tahun, bersara sebelum menjelang pilihan raya.

Hanya seorang mantan pegawai tentera yang pernah menjawat jawatan penuh menteri pertahanan: Menteri Kanan Teo Chee Hean, yang memegang portfolio itu dari 2003 hingga 2011.
Profesor Madya Chong berkata peranan seorang menteri pertahanan sangat berbeza daripada pegawai kanan berseragam, kerana ia lebih banyak berurusan dengan dasar, undang-undang dan belanjawan.
Setakat ini, belum ada pengganti jelas bagi Dr Ng.
Pemerintah sebelum ini menarik bakat daripada mantan para pemimpin tentera bagi peranan menteri Kabinet, dan sebahagian AP seperti Gan Siow Huang dan Desmond Tan - kedua-duanya mantan brigadier jeneral - sudah ada jawatan politik.
"Kita sekarang mempunyai beberapa mantan pemimpin khidmat berseraham dalam Kabinet, jadi PM boleh bergantung kepada kebiasaan dan melantik salah seorang daripada mereka, atau meneruskan dengan semangat mempunyai pandangan berbeza dari luar (kepimpinan tentera) dan melantik seseorang yang bukan dari angkatan pertahanan," kata Encik Malminderjit.
Tugas itu memerlukan kedudukan, modal politik dan kewibawaan untuk mampu mengemudi hubungan pertahanan dua hala," tambahnya.
PM WONG BAKAL LEPASKAN JAWATAN MENTERI KEWANGAN?
Keputusan PM Wong tentang sama ada hendak terus memegang jawatan sebagai menteri kewangan juga akan menjadi tumpuan.
Beliau boleh memutuskan untuk menyerahkan portfolio itu untuk menumpukan kepada kepimpinan negara. Mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong kekal sebagai menteri kewangan selama tiga tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Encik Tharman Shanmugaratnam pada 2007.
PM Wong sudah "melakukan banyak tugas berat" untuk meningkatkan kedudukan fiskal Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin akan melepaskan portfolio kewangan kepada orang lain, kata Encik Malminderjit.
Dr Teo menambah meskipun memahami luar dalam kementerian kewangan boleh membantu, tugasnya "berat" memandangkan ia portfolio berat.
Sekalipun demikian, ada yang percaya PM Wong mungkin mengekalkan portfolio itu dalam jangka pendek. Ini akan membantu beliau melaksanakan sepenuhnya agenda Melakar Hala Tuju Singapura, yang akan dilaksanakan dalam beberapa Belanjawan, kata Profesor Madya SMU Tan.
"Beliau mungkin mahu kekal dalam peranan utama itu dan mengendalikan kewangan," tambah Profdesor Madya Tan.
Para pemerhati juga menjangkakan PM Wong akan melantik timbalan perdana menteri kedua bagi menggantikan Encik Heng, sekaligus mengembalikan struktur dwitimbalan yang diadakan di bawah para pemimpin terdahulu.
"Biasanya ada dua DPM berbeza - satu untuk ekonomi, satu lagi bagi landskap pertahanan dan keselamatan," kata Dr Felix Tan.
MUKA BAHARU DALAM JAWATAN POLITIK
Para pemerhati menjangkakan beberapa muka baharu dilantik sebagai pemegang jawatan politik dalam rombakan akan datang.
Semasa kempen, PM Wong menarik perhatian kepada beberapa calon yang mempunyai potensi kepimpinan: David Neo, Dinesh Vasu Dash, Jeffrey Siow dan Hamid Razak.
Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam juga pernah berkata sebelum berkempen bahawa muka-muka baharu GRC Nee Soon Goh Hanyan dan Syed Harun Alhabsyi berpotensi memegang jawatan politik.
Semuanya berjaya dipilih pada 3 Mei.
Individu-indsividu itu mungkin memainkan peranan junior - seperti menteri negara atau setiausaha parlimen - di mana keupayaan mereka akan dinilai, kata para penganalisis.
Mereka juga mungkin dilantik bagi peranan lebih penting, kata Encik Malminderjit.
Selepas pilihan raya 2015, para pendatang baharu Ong Ye Kung dan Ng Chee Meng menjadi pemangku menteri bersama bagi pendidikan. Pada 2020, enam muka baharu menjadi pemegang jawatan politik selepas pilihan raya politik pertama mereka - termasuk Dr Tan See leng, yang dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua bagi Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan.
Sungguhpun demikian, para pakar berkata pelantikan Dr Tan lebih kepada pengecualian daripada biasa, kerana beliau datang bersama pengalaman meluas dalam sektor privet.
"Tiada yang menghambat beliau (PM Wong) daripada memberi jawatan menteri penuh kepada beberapa muka baharu. Mereka kemudian sekurang-kurangnya akan ada perjalanan lebih panjang untuk membuktikan keupayaan mereka," kata Dr Felix Tan.
Para penganalisis juga menarik perhatian bahawa jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti pemerintah dan Kabinet adalah entiti berbeza, maka para menteri tidak semestinya duduk dalam badan tertinggi pembuat keputusan PAP.
PM Wong menjadi setiausaha agung parti pada Disember, tetapi Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong tidak berada dalam CEC. Sungguhpun demikian, Encik Gan merupakan pengerusi PAP dari 2018 sehingga beliau melepaskan jawatan pada 2022.
"Pengasingan parti dengan negara penting," kata Profesor Madya Tan dari SMU, sambil menambah bahawa barisan anggota CEC parti tidak semestinya sama dengan barisan menteri Kabinet. Selain Encik Gan, Cik Josephine Teo dan Dr Ng misalnya, juga tidak berada dalam CEC.
Isu ini menjadi tumpuan perbincangan semasa GE, di mana PM Wong mengurangkan penekanan ke atas tahap relevan CEC kepada pelantikan menteri Kabinet, sambil menambah bahawa peranan Encik Gan dalam pemerintah kekal penting tidak kira status CEC.
Dr Felix Tan berkata: "Parti adalah parti, pemerintah adalah pemerintah. Parti memutuskan siapa yang diletakkan dalam pemerintah memandangkan mereka adalah pemenang dalam pilihan raya."
Meskipun para menteri tidak semestinya berada dalam CEC, masih perlu dilihat sama ada mereka yang memegang jawatan utama dalam parti akan diberikan tanggungjawab lebih besar dalam pemerintah.
Ini termasuk penolong setiausaha agung Chan Chun Sing dan Desmond Lee, bendahari K Shanmugam, penolong bendahari Ong Ye Kung dan setiausaha penganjur Grace Fu dan Edwin Tong.
TENTANG NG CHEE MENG
Salah seorang yang dalam CEC tetapi tidak mungkin dilantik sebagai Menteri Kabinet ialah ketua buruh Ng Chee Meng.

Ketua buruh lazimnya menyandang jawatan menteri - biasanya sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri - mencerminkan kerjasama antara PAP dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Para pakar berkata keputusan Encik Ng mungkin langkah pragmatik untuk mengelak gangguan lanjut.
"Ini ternyata jarang-jarang berlaku, tetapi memandangkan keadaannya, ini mungkin cara terbaik untuknya," kata Dr Felix Tan.
Dengan Encik Ng tidak dilantik sebagai menteri tidak mungkin membawa sebarang kesan memandangkan beliau sudah menjadi ketua buruh dalam tempoh lima tahun lalu meskipun tidak dipilih dalam pilihan raya mahupun dalam pemerintah, tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.