Skip to main content

Singapura

GE2025: Red Dot United mampu bersaing dengan PAP; intai bertanding di 6 kawasan undi

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Red Dot United mampu bersaing dengan PAP; intai bertanding di 6 kawasan undi

Setiausaha Agung Red Dot United, Ravi Philemon, serta sukarelawan parti tersebut mengagihkan bubur Ramadan kepada para penduduk di Bukit Batok East pada 15 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 15 Mar 2025 10:31PM Dikemas Kini : 15 Mar 2025 10:32PM
SINGAPURA: Parti politik Red Dot United (RDU) boleh memberi "peluang persaingan" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di enam kawasan undi, di mana ia merancang untuk bertanding semasa Pilihan Raya (GE) akan datang.

Ini yang dikatakan pengasas dan setiausaha agung parti pembangkang itu, Ravi Philemon kepada para wartawan pada Sabtu (15 Mac).

"(GE) yang lepas, kami tahu kami tidak akan dipilih ke parlimen, tiada siapa yang memilih parti yang sekadar berusia tiga minggu ke parlimen," kata lelaki berusia 56 tahun itu.

"Saya fikir dalam tempoh lima tahun yang lalu kami telah membina jenama yang mencukupi, kami mempunyai cukup orang yang hebat ... pada tahun 2020, kami adalah parti 11 orang, pada tahun 2025, kami mempunyai 250 orang ... kami rasa kami boleh menawarkan peluang bersaing dengan PAP," kata pengamal media veteran itu.

Semasa GE2020, Encik Philemon menerajui pasukan RDUnya di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jurong yang di bawah PAP. Pasukan PAP itu yang dipimpin Presiden Tharman Shanmugaratnam, memperolehi 25.39 peratus undi.

Kekalahan paling teruk yang dialami RDU ketika itu adalah di kawasan undi Taman Jurong, yang merupakan salah satu daripada lima kawasan di GRC Jurong dan kawasan di bawah pimpinan Encik Tharman. Namun, parti tersebut berpendapat adalah "tidak adil" bahawa kawasan undi itu dikeluarkan daripada GRC baharu yang mereka sasar untuk bertanding - iaitu Jurong East-Bukit Batok - sambil menarik perhatian betapa "banyaknya usaha" yang telah dilaksanakan di kawasan undi berkenaan.

Encik Philemon bercakap kepada para wartawan selepas acara pengagihan bubur pada Sabtu petang di Bukit Batok East Avenue 4, yang dahulunya sebahagian daripada Jurong GRC tetapi kini sudah menjadi sebahagian daripada Jurong East-Bukit Batok GRC.

Hanya beberapa meter dari sana, AP bagi kawasan itu, Cik Rahayu Mahzam serta pasukannya turut mengagihkan bubur kepada para penduduk.

Beliau juga merupakan Menteri Negara bagi Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital serta Kementerian Kesihatan.

Encik Ravi mengatakan bahawa beliau sudah merancang mengendalikan acara itu bahkan sebelum laporan sempadan GE2025 tersebut dikeluarkan. Sekalipun demikian, beliau hanya mengetahui sehari sebelum itu bahawa pasukan Cik Rahayu juga akan turun padang di lokasi yang sama untuk mengendalikan acaranya.

Kedua-dua mereka menyapa satu sama lain secara ringkas ketika melaksanakan pengagihan bubur masing-masing.
Setiausaha Agung Red Dot United Ravi Philemon berjabat tangan dengan AP Parti Tindakan Rakyat Rahayu Mahzam ketika acara pengagihan bubur Ramadan mereka, yang dikendalikan bersebelahan satu sama lain di Bukit Batok East pada 15 Mac, 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
"OPERASI SEPERTI BIASA"

Bercakap kepada para wartawan, Cik Rahayu berkongsi beliau "tidak terkejut" melihat Encik Philemon dan partinya, memandangkan mereka juga telah bertanding di kawasan undi tersebut semasa Pilihan Raya Umum 2020.

Ditanya jika beliau akan bertanding di kawasan undi yang sama di pilihan raya akan datang, Cik Rahayu berkata: "Saya di sini sekarang. Bagi kami, sejujurnya, ia masih beroperasi seperti biasa jadi kami masih akan terus berkhidmat.

"Sudah tentu, saya sayang kepada penduduk saya dan (betapa kami sudah saling mengenali satu sama lain)... tetapi saya percaya hakikatnya, ia adalah usaha bersama-sama."

Persoalan sama ada bertanding dalam pilihan raya akan menjadi lebih mencabar memandangkan SMC Bukit Batok akan bergabung dengan sebahagian daripada GRC Jurong untuk membentuk GRC Jurong Timur-Bukit Batok yang baharu, Cik Rahayu berkata: "Kami mempunyai satu majlis bandaran ... dan kami sebenarnya sangat rapat sebagai keluarga Jurong ... Jadi tidaklah rasa janggal.

"Ia hampir semula jadi, dan saya tidak boleh mengatakan ia lebih mencabar kerana kami sentiasa melihat apa pun perkara secara kolektif."
Bendahari Red Dot United Liyana Dhamirahs bersama AP Parti Tindakan Rakyat Rahayu Mahzam semasa acara pengagihan bubur masing-masing, yang dikendalikan bersebelahan satu sama lain di Bukit Batok East pada 15 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
"TIDAK ADIL" TAMAN JURONG BUKAN SEBAHAGIAN GRC JURONG EAST-BUKIT BATOK

Encik Philemon mendedahkan bahawa menyusuli prestasi lemah yang dicatatkan partinya di kawasan Taman Jurong semasa GE2020, pasukannya memutuskan untuk merancakkan lagi usaha mendampingi penduduk di sana sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata sejak Encik Tharman melepaskan jawatan Anggota Parlimennya (AP) dan dilantik sebagai Presiden pada 2023, penduduk memberitahu beliau dan anggota RDU lain bahawa "kini mereka mempunyai peluang lebih cerah, alasan yang lebih baik untuk memilih pembangkang".

"Kami menjalankan kebanyakan usaha kami di Taman Jurong ... sudah tentu, jika anda tanya saya sekiranya ia adil bagi kami, saya akan katakan ia tidak adil."
Para sukarelawan Red Dot United mengagihkan bubur Ramadan kepada penduduk Bukit Batok East pada 15 Mac 2025. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

PERSIAPAN JELANG PILIHAN RAYA UMUM

Tidak lama selepas laporan sempadan kawasan undi tersebut dikeluarkan, parti tersebut memberi isyarat mengenai hasratnya untuk bertanding di enam kawasan undi: GRC Jurong East-Bukit Batok, Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jurong Central, GRC Nee Soon, SMC Jalan Kayu, GRC Tanjong Pagar GRC dan SMC Radin Mas.

Ditanya jika terdapat kemungkinan persaingan tiga penjuru, Encik Philemon menyatakan bahawa beliau sudah berunding dengan pasti pembangkang lain untuk cuba mengelak hal itu.


"Ia adalah bukan kepentingan sesiapa untuk mengadakan persaingan tiga penjuru (yang) berkemungkinan memberi manfaat kepada penyandang dalam banyak cara, jadi perpaduan pembangkang adalah kunci," ujar beliau.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita