Skip to main content

Singapura

GE2025: RDU tampilkan Setiausaha Agung dan Pengerusi parti di GRC Nee Soon

Titik Merah Bersatu (RDU) mengumumkan barisan calonnya yang bakal bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Nee Soon menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk Setiausaha Agungnya Ravi Philemon dan pengerusi parti David Foo.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: RDU tampilkan Setiausaha Agung dan Pengerusi parti di GRC Nee Soon

(Dari kiri) Encik David Foo, Encik Ravi Philemon, Cik Sharon Lin, Dr Syed Alwi Ahmad dan Encik Pang Heng Chuan daripada Titik Merah Bersatu (RDU) semasa pengumuman calon berpotensi parti tersebut bagi GRC Nee Soon pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 20 Apr 2025 11:38PM Dikemas Kini : 20 Apr 2025 11:40PM
SINGAPURA: Titik Merah Bersatu (RDU) mengumumkan barisan calonnya yang bakal bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Nee Soon menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk Setiausaha Agungnya Ravi Philemon dan pengerusi parti David Foo.

RDU membuat pengumuman itu pada Ahad (20 Apr) di Blok 701C, Yishun Avenue 5, yang terletak dalam kawasan GRC Nee Soon.

Dr Foo, 60 tahun, seorang ahli penyelidik kimia, pernah bertanding di GRC Jurong pada 2015 di bawah bendera parti politik Warga Diutamakan (SingFirst) yang sudah dibubarkan.

Encik Philemon, 56 tahun, pula pernah menjadi calon Parti Rakyat Singapura (SPP) bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hong Kah North pada 2015, dan bertanding di GRC Jurong pada 2020 di bawah RDU. Beliau merupakan rakan kongsi pengurusan dalam sebuah syarikat media yang memberi tumpuan terhadap kesihatan dan kesejahteraan.

Tiga muka baharu – Encik Pang Heng Chuan, Cik Sharon Lin dan Dr Syed Alwi Ahmad – yang sebelum ini diumumkan sebagai anggota pasukan RDU bagi GRC tersebut, melengkapkan pasukan lima anggota itu.

RDU dijangka berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkemungkinan diketuai Menteri Undang-undang merangkap Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, di samping empat calon baharu.

Dalam satu acara pada Sabtu, Encik Shanmugam memperkenalkan Dr Syed Harun Alhabsyi, Cik Goh Hanyan, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying, tetapi tidak mengesahkan sama ada mereka akan mewakili PAP di GRC Nee Soon.

PAP dijangka mengumumkan senarai rasmi calonnya bagi kawasan itu pada Isnin.

Dalam GE2020, pasukan PAP yang terdiri daripada Encik Shanmugam, Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan, Encik Derrick Goh dan Profesor Madya Faishal Ibrahim memperoleh 61.9 peratus undi di GRC Nee Soon.

Pada tahun itu, mereka berdepan dengan pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang terdiri daripada Encik Bradley Bowyer, Encik Muhammad Taufik Supan, Encik S Nallakaruppan, Encik Tay Chye Seng dan Cik Kala Manickam, yang kini menyertai RDU.

Sempadan kawasan undi GRC Nee Soon tidak berubah sejak pilihan raya 2020. Terdapat 151,634 pengundi berdaftar di kawasan itu, meningkat daripada 146,902 dalam pilihan raya sebelumnya.

SHARON LIN
Related article image
Cik Sharon Lin daripada RDU, calon berpotensi bagi GRC Nee Soon, pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Cik Lin, 40 tahun, merupakan perunding kanan dalam sektor perkhidmatan IT. Beliau berpengalaman dalam bidang keselamatan siber dan sistem digital, dan pernah bertugas dalam syarikat berbilang negara serta projek teknologi berskala nasional.

Beliau membesar di Yishun dan ibu bapanya masih menetap di sana, justeru beliau “terus mempunyai ikatan yang rapat dengan masyarakat di situ,” menurut RDU dalam profil calonnya.

Menurut RDU, perbualan Cik Lin bersama penduduk telah mengukuhkan tekadnya untuk memperjuangkan isu-isu kemampuan, ketelusan dan keadilan dalam dasar awam.

RDU turut menambah bahawa Cik Lin percaya pemerintah bertanggungjawab untuk membina jaringan keselamatan yang kukuh bagi membantu rakyat.

SYED ALWI AHMAD
Related article image
Dr Syed Alwi Ahmad daripada RDU, calon berpotensi bagi GRC Nee Soon, pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Dr Alwi, 57 tahun, merupakan seorang guru dan ahli fizik teori yang berkelulusan dalam bidang teori medan kuantum dan fizik lohong hitam.

Dalam RDU, beliau mengetuai pasukan dasar serta biro Melayu, dan percaya bahawa pembentukan dasar mesti bersifat inklusif, berprinsip serta berasaskan realiti kehidupan rakyat Singapura.

Beliau amat komited dalam memperkasakan masyarakat Melayu-Islam, “bukan kerana pilih kasih tetapi atas dasar keadilan,” menurut parti itu.

“Memperkasakan golongan yang kurang diwakili bukan soal perpecahan, tetapi soal maruah, kesaksamaan, dan bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” tambah RDU.

PANG HENG CHUAN
Related article image
Encik Pang Heng Chuan daripada RDU, calon berpotensi bagi GRC Nee Soon, pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Encik Pang, 56 tahun, merupakan seorang pengarah di sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di China, dan telah mengetuai pelbagai projek dalam bidang penjenamaan, e-dagang dan permainan digital.

Menurut RDU, beliau telah mengasah kemahiran kepimpinannya melalui pengalaman bekerja bersama syarikat berbilang negara di dalam dan luar negara.

Kepakarannya menjadikan beliau penyokong kuat bagi dasar-dasar yang menggalakkan inovasi dan jaminan pekerjaan, tambah parti itu.

Encik Pang sebelum ini pernah dilihat semasa sesi melawat penduduk di GRC Jurong East-Bukit Batok. Beliau juga pernah menjadi relawan RDU semasa pilihan raya lalu dan telah melakukan lawatan bertemu penduduk di beberapa kawasan undi, termasuk Nee Soon, Radin Mas dan Tanjong Pagar.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita