Skip to main content

Singapura

GE2025: RDU gesa Shanmugam jelaskan mengapa mantan AP GRC Nee Soon tidak lagi bertanding

Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti memberi penjelasan mengapa ia telah "menggugurkan" Anggota Parlimen GRC Nee Soon sebelumnya, kata Setiausaha Agung Parti Titik Merah Bersatu (RDU) Ravi Philemon pada Khamis (1 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: RDU gesa Shanmugam jelaskan mengapa mantan AP GRC Nee Soon tidak lagi bertanding

(Dari kiri) Calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi GRC Nee Soon, Sharon Lin, Pang Heng Chuan, Ravi Philemon, David Foo dan Syed Alwi Ahmad, bercakap kepada media semasa berkempen di Blok 925 Yishun Central 1 pada 1 Mei 2025. (Gambar: CNA/Lan Yu)

Diterbitkan : 01 May 2025 07:16PM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti memberi penjelasan mengapa ia telah "menggugurkan" Anggota Parlimen GRC Nee Soon sebelumnya, kata Setiausaha Agung Parti Titik Merah Bersatu (RDU) Ravi Philemon pada Khamis (1 Mei).

Dalam kalangan penyandang sedia ada, hanya Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang bertanding di GRC tersebut pada pilihan raya kali ini.

Beliau adalah ketua pasukan PAP untuk GRC Nee Soon, memimpin empat muka baharu: Cik Goh Hanyan, Dr Syed Harun Alhabsyi, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying.

Daripada lima Anggota Parlimen PAP yang berkhidmat di GRC Nee Soon antara 2020 dan 2025, tiga - Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh - tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) kali ini.

Sementara itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim pada April lalu mengumumkan bahawa beliau berpindah ke GRC Marine Parade-Braddell Heights, dengan pasukan PAP itu menang tanpa bertanding pada Hari Penamaan Calon.

Encik Philemon berkata Encik Shanmugam "mesti menjelaskan" kepada penduduk Nee Soon mengapa Anggota Parlimen tersebut "dilepaskan", dan mengapa Dr Faishal - seorang "Anggota Parlimen yang disukai di kawasan itu" - telah "dipindahkan pada saat-saat akhir ke kawasan undi lain".

Bercakap dengan media di akhir acara pendampingan RDU di Blok 925 Yishun Central pada hari terakhir berkempen sebelum Hari Bertenang esok, Encik Philemon berkata bahawa "statistik" menunjukkan Encik Louis Ng adalah "Anggota Parlimen paling rajin" di Parlimen.

Anggota Parlimen Nee Soon dua penggal itu sebelum ini memberi sebab keluarga atas keputusannya untuk bersara daripada politik, sambil berkata peranan itu membuatnya terlepas "banyak peristiwa penting" dalam zaman kanak-kanak anak-anak perempuannya.

"Semua orang harus mempunyai hak untuk bersara. Perkhidmatan awam bukan mudah," kata Encik Philemon.

"Saya rasa K Shanmugam boleh memujuknya untuk terus berkhidmat," tambahnya, sambil merujuk kepada Louis Ng.

Ketua RDU itu juga mempersoalkan janji Louis Ng dan beberapa Anggota Parlimen yang akan bersara untuk terus menghulurkan bantuan dan sokongan mereka kepada Anggota Parlimen selanjutnya.

Beliau bertanya mengapa mereka terus berkhidmat walaupun selepas meletak jawatan, dan berkata: "Ia tidak masuk akal."

TIDAK DIKENALI PENDUDUK

Encik Philemon juga mempertahankan pasukannya terhadap komen yang dibuat oleh mantan Anggota Parlimen Nee Soon Lee Bee Wah - yang berkhidmat di kawasan undi itu antara 2011 dan 2020.

Semasa rapat PAP pada Selasa, Cik Lee berkata bahawa lima calon dalam pasukan RDU untuk Nee Soon tidak dikenali penduduk.

Menjawab kenyataan itu, Encik Philemon berkata: "Boleh saya ingatkan PAP di GRC Nee Soon bahawa terdapat empat wajah di sini selain K Shanmugam yang orang di Nee Soon tidak kenal."

Beliau berhujah bahawa beliau bukan orang yang tidak dikenali di kawasan itu, sambil menambah bahawa K Shanmugam telah memberitahunya: "Anda tidak asing di Nee Soon."

Pasukan RDU terdiri daripada Encik Philemon, pengerusi parti David Foo, Dr Syed Alwi Ahmad, Encik Pang Heng Chuan dan Cik Sharon Lin.

Encik Philemon berkata bahawa Cik Lin telah menjadi penduduk Nee Soon sepanjang hidupnya dan oleh itu memahami keprihatinan penduduk.

Sebaliknya, wajah baharu PAP benar-benar "tidak dikenali", hujahnya.

Selain itu, masih ada "soalan yang belum terjawab" mengenai calon-calon tersebut, kata Encik Philemon - menunjukkan mengapa Dr Syed Harun dibenarkan bertanding walaupun baru sahaja meletak jawatan daripada kedudukannya sebagai NMP.

Menunjukkan bagaimana Encik Raj Thomas - seorang lagi NMP yang meletak jawatan dalam tempoh yang sama - telah berkata beliau mesti terlebih dahulu turun padang dan bahawa sekarang bukan masanya untuk beliau bertanding, Encik Philemon bertanya mengapa Dr Syed Harun tidak membuat keputusan yang sama.

Beliau mempersoalkan sama ada pilihan Dr Syed Harun untuk bertanding dalam pilihan raya ini "berprinsip" walaupun ia "sah dari segi undang-undang".

Encik Philemon juga memberi respons ringkas terhadap komen yang dibuat oleh menteri-menteri PAP minggu ini.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pada rapat pilihan raya tengah hari Isnin bahawa undi untuk pembangkang adalah undi untuk melemahkan pemerintah PAP pada masa Singapura menghadapi cabaran serius.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Rabu bahawa untuk Singapura mempunyai sistem tadbir urus yang berkesan, perlu ada parti pemerintah yang kukuh dan kehadiran pembangkang yang membina - tetapi tidak kukuh - untuk 'semak dan imbang'.

Menjawab kedua-dua komen tersebut, Encik Philemon berkata: "PAP tidak akan hilang kuasanya dalam masa terdekat. Ia masih akan mempunyai majoriti di Parlimen.

"Tetapi soalan yang perlu kita tanya ialah: Adakah PAP yang lebih lemah ... dengan majoriti dan lebih banyak anggota pembangkang di Parlimen ... adakah ia memberi kelebihan kepada rakyat? Adakah ia memberi kelebihan kepada pengundi?"

HAL EHWAL NEE SOON

Encik Philemon menambah beliau tidak pernah bertemu dengan pesaingnya K Shanmugam semasa berkempen tetapi sukarelawan PAP sering muncul dengan risalah di kawasan di mana RDU sedang mendampingi pengundi.

"Ia lucu," katanya. "Itu nampaknya strategi PAP - untuk melihat di mana kami berada di lapangan. Mereka mempunyai mata dan telinga di lapangan."

Bagi RDU pula, Encik Philemon berkata bahawa "kerja keras" adalah "satu-satunya strategi" mereka.

Sama ada mereka menang atau kalah dalam pilihan raya, ketua parti itu berkata calon-calon RDU komited untuk terus turun padang.

Parti itu akan berusaha untuk melawat "setiap blok" dan bertemu "setiap penduduk" sebelum Hari Mengundi. Beliau akur bahawa pasukan itu telah melakukan sangat sedikit lawatan dari rumah ke rumah kali ini, kerana Nee Soon adalah kawasan undi yang "sangat besar", dan "mustahil" untuk bertemu setiap pengundi.

"Itu adalah janji kami kepada pengundi Nee Soon kerana Nee Soon penting," katanya.

Ditanya tentang pendapatnya mengenai peluang RDU pada 3 Mei kelak, Encik Philemon berkata beliau "sangat" yakin.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita