Skip to main content

Singapura

GE2025: RDU gesa KPI 'boleh diukur' bagi agensi pemerintah, persoal gaji menteri

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: RDU gesa KPI 'boleh diukur' bagi agensi pemerintah, persoal gaji menteri

Calon Titik Merah Bersatu (RDU) yang bertanding di GRC Nee Soon Pang Heng Chuan berucap di rapat pilihan raya RDU pada 30 April, 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)

Diterbitkan : 01 May 2025 09:41AM Dikemas Kini : 01 May 2025 09:42AM
SINGAPURA: Titik Merah Bersatu (RDU) pada Rabu (30 Apr) mengkritik kementerian-kementerian pemerintah dan lembaga berkanun di rapat pilihan raya ketiga parti itu, sambil menyeru agar dilakarkan KPI yang "jelas, boleh diukur dan telus" bagi agensi-agensi tersebut, selain mengecam gaji para menteri.

Tadbir urus di Singapura sudah kehilangan "rasa tanggungjawab itu", kata calon RDU bagi GRC Nee Soon Pang Heng Chuan dalam ucapan kepada para penyokong di sebuah padang di Boon Lay Way, yang terletak di GRC Jurong East-Bukit Batok.

Dalam sektor swasta, para individu dipertanggungjawabkan atas keputusan yang diraih, kata Encik Pang, seorang pengarah syarikat yang berusia 56 tahun.

"Jika anda berbelanja berlebihan, anda perlu menjawab. Jika pasukan anda gagal, anda perlu tampil ke hadapan, bukan sekadar bersembunyi di belakang kakitangan yang baharu.

"Dan itulah yang hilang dalam kepimpinan politik kita, kesediaan untuk berkata, 'Saya bertanggungjawab jadi saya akan membetulkannya'," katanya.

"Para menteri mahu gaji berjuta-juta dolar, yang diwajarkan sebagai gaji yang berdaya saing, baiklah. Tetapi jika mereka mahukan gaji seperti CEO, mereka harus menerima tanggungjawab sebagai seorang CEO."

Selain GRC Jurong East-Bukit Batok, RDU turut meletakkan calon-calon di GRC Holland-Bukit Timah, GRC Nee Soon dan SMC Jurong Central.

Seramai 13 calon berucap di rapat pilihan raya RDU pada Rabu.

Parti itu menggesa supaya dilakarkan penanda prestasi penting (KPI) awam- di mana setiap kementerian dan lembaga berkanun perlu melaporkan sasaran tahunan mereka dengan cara yang "jelas, boleh diukur dan telus", kata Encik Pang, sambil menambah terdapat kesan akibat sebenar bagi kegagalan.

"Jika berlaku kesilapan besar, kami menjangkakan peletakan jawatan dilakukan, bukan sekadar kenyataan dikeluarkan."

Parlimen juga tidak seharusnya sekadar memberi kelulusan tanpa membuat sebarang penilaian, kata Encik Pang, yang menambah Parlimen mesti meneliti, mencabar dan memperbetulkan dasar.

Projek berskala besar juga harus menjalani penilaian risiko bebas sebelum ia diluluskan, kata Encik Pang.

"Kita mesti menghapuskan bahagian yang tidak diperlukan. Tiada lagi kementerian yang tidak cekap. Tiada lagi datuk bandar dan Setiausaha Parlimen yang hanya menerima gaji tanpa portfolio yang jelas.

"Kurangkan pembaziran di peringkat atas dan salurkannya kepada usaha mengukuhkan tunjang negara ini - perumahan, jagaan kesihatan, jagaan warga emas, sokongan pekerjaan."

Piawai kebertanggungjawapan sama perlu tertakluk kepada semua, terutama sekali para pemimpin, tegas calon GRC Holland-Bukit Timah Sharad Kumar.

"Ini bukan sahaja satu kesilapan. Ini tentang satu corak yang membimbangkan," katanya, sambil menarik perhatian kepada insiden di mana Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan terlepas cakap di Parlimen, dan penyewaan banglo kolonial di Ridout Road oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

"Jika para menteri boleh hidup seperti bangsawan manakala keluarga-keluarga muda perlu bergelut bagi mendapatkan perumahan asas, ada yang tidak kena.

"Ini bukan tentang iri hati. Ini tentang kelangsungan hidup, tentang kepercayaan," kata Encik Kumar.
Related article image
Calon-calon RDU melafazkan ikrar negara di penghujung rapat pilihan raya pada 30 April 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)
WARGANEGARA KELAS PERTAMA

Di rapat pilihan raya itu, para calon RDU berucap tentang jaminan pekerjaan yang lebih baik dengan dasar pengambilan pekerja "rakyat dahulu" serta membina jaringan keselamatan kewangan bagi semua rakyat Singapura.

Ketua pasukan RDU yang bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik Marcus Neo berkongsi pengalamannya bekerja dengan seorang pengurus sumber manusia (HR) asing, di mana kes itu dikemukakan ke mahkamah.

Walaupun meritokrasi dan kerja keras adalah nilai-nilai yang dipupuk dalam setiap rakyat Singapura yang membesar pada tahun 1990an dan 2000an, bakat-bakat asing dari pelbagai budaya telah mengambil alih peranan dalam tenaga kerja setempat - termasuk karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen - sedang Singapura berkembang, katanya.

"Saya tidak menolak warga asing. Jika mereka boleh menambah nilai, maka silakan datang dan tambah nilai kepada Singapura dan rakyat Singapura," katanya.

"Namun, perlu ada semak dan imbangan, pendekatan masuk akal terhadap imigrasi.

"Perlu ada perlindungan undang-undang, keseimbangan dalam jabatan HR."

Sambil meminta rakyat Singapura supaya "bersikap jujur sepenuhnya" dengan diri sendiri, Encik Neo berkata negara ini perlu mengambil kira potensi berat sebelah dalam budaya atau sosial tenaga kerja.

Pemerintah perlu memastikan setiap pekerja tempatan warga Singapura yang menyumbang kepada keselamatan dan pertahanan Singapura "secara langsung atau tidak langsung" mempunyai peluang pekerjaan sama rata dan medan permainan yang setara, katanya.

Beberapa calon RDU juga mengulangi seruan agar rakyat Singapura diberi layanan sebagai warganegara kelas pertama di tanah air sendiri.

Cik Liyana Dhamirah yang juga sebahagian daripada pasukan GRC Jurong East-Bukit Batok menekankan "sudah tiba menaikkan standard".

Rakyat Singapura tidak meminta kemewahan, tetapi maruah "untuk diberi layanan seperti yang mereka berhak, iaitu warganegara kelas pertama di tanah air mereka", katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita