GE2025: Punggol 'model bandar cemerlang SG', namun boleh dipertingkat lagi, kata DPM Gan

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong memimpin pasukan PAP bagi GRC Punggol semasa rapat parti di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada Apr 26, 2025. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dalam rapat pilihan raya di bandar itu pada Sabtu (26 Apr).
Pembangunan prasarana, seperti Daerah Digital Punggol dan Punggol Waterway, sudah menjadikan bandar itu "contoh cemerlang bagaimana kita sentiasa tidak akan pernah selesai membina Singapura daripada dunia ketiga kepada dunia pertama", kata Encik Gan semasa menyampaikan ucapannya dalam rapat yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak, salah satu daripada tiga yang diadakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada hari keempat kempen.
"Dalam tempoh kurang 20 tahun...Punggol kini model cemerlang kawasan perumahan Singapura dan kejiranan di mana ramai keluarga muka akan berasa bangga menyatakan ia tempat tinggal mereka," kata Encik Gan, merujuk kepada kemudahan seperti Pulau Coney dan pusat beli-belah Waterway Point.
Meskipun ini semua perkara yang memuaskan hati menurut para penduduk Punggol kepada pasukan Encik Gan, sekali gus menunjukkan bahawa para AP sebelum ini sudah melaksanakan tugas yang perlu dijalankan selepas dipilih, Encik Gan mengatakan tugas itu belum selesai.
"Namun kami bukan sempurna, kami menerimanya. Apabila saya berjalan di Punggol sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya mendengar sebahagian maklum balas daripada penduduk, yang pada saya boleh kami cuba pertingkatkan," ujar beliau.
Ini termasuk gesaan bagi lebih banyak laluan berbumbung, ruang-ruang menghijau, dan juga meningkatkan ketersambungan bagi para penduduk, kata Encik Gan.
"Saya akan berbincang dengan rakan baik saya, Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Lawrence Wong, untuk mengetahui sama ada kami boleh memperoleh lebih banyak wang untuk membina sebahagian prasarana yang perlu bagi penduduk kita," kata Encik Gan.
ORANG BAHARU DI PUNGGOL
Encik Gan mengambil langkah mengejut pada Hari Penamaan Calon, selepas dipindahkan pada saat-saat akhir dalam barisan PAP di GRC Chua Chu Kang, untuk mengetuai pasukan PAP di kawasan undi empat anggota yang baharu, iaitu GRC Punggol.
"Saya orang baharu di bandar baharu ini, jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kerana mengalu-alukan saya masuk ke dalam keluarga besar Punggol," ujarnya.
Menurut Encik Gan, beliau sudah cuba membiasakan diri dengan Punggol sebanyak mungkin dalam beberapa hari ini sejak beliau menyertai pasukan di sini.
"Saya sudah cuba pergi ke sebanyak mungkin kawasan dalam masa tiga hari lalu, namun ia baru sahaja tiga hari, jadi saya sudah ke banyak tempat, dan banyak juga langkah saya," kata beliau.
Dalam pasukan GRC Punggol beliau ialah Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan dan Pembangunan Digital dan Maklumat Dr Janil Puthucheary, Menteri Negara bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling, dan Cik Yeo Wan Ling.
Mereka akan bersaing dengan pasukan Parti Pekerja (WP) yang terdiri daripada pendatang baharu politik - Encik Harpreet Singh, Cik Alia Mattar, Cik Alexis Dang dan Encik Jackson Au - untuk meraih sokongan 123,557 pengundi, di kawasan yang terdiri daripada beberapa estet dari GRC Pasir Ris-Punggol dan SMC Punggol West sebelum ini.
Dalam ucapannya, Dr Puthucheary menarik perhatian bahawa sebagai sebuah bandar membangun, Punggol pasti berdepan beberapa cabaran.
"Tidak semuanya lancar, dan tentu sekali ia tidak mudah. Kami terpaksa berdepan dengan bunyi bising dan kesesakan, habuk dan kelengahan, namun (dengan) kesabaran dan kerja keras, keadaan bertambah baik," katanya.
Beliau menambah perkhidmatan seperti ketersambungan telekomunikasi di estet Bina Ikut Tempahan terbaharu bandar itu mengambil masa untuk diperbaiki.
"Kami masih sedang mempertingkatkannya. Tidak sempurna, belum dihuraikan, tetapi kami akan memperbaiki semua isu ini. Kami akan melakukannya dan kami akan menangani masalah-masalah di estet-estet baharu itu. Kami akan memastikan kawasan tempat tinggal anda bersih dan disenggara dengan baik," beliau memberitahu para pengundi.
"Kami masih belum selesai menjadikan Punggol tempat tinggal yang lebih baik untuk anda. Ia bukan hanya tentang bangunan-bangunan. Ia jauh lebih daripada itu. Ia tentang jalinan persahabatan, hubungan, kejiranan, menjadikan orang asing sebagai tetangga, tetangga menjadi sahabat, dari sahabat menjadi sebahagian keluarga. Ini sebahagian penting dalam usdaha membina tempat tinggal kita, iaitu menyatukan masyarakat, bukan memisahkan mereka."
Juga turut serta dalam rapat pada Sabtu itu, ialah Menteri Kanan Teo Chee Hean, yang bersara dari politik. Encik Teo merupakan mantan AP bagi GRC Pasir Ris-Punggol.
Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Nasional Muhammad Faishal Ibrahim juga hadir untuk menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu. Profesor Madya Faishal berada dalam barisan parti di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang menang lima kerusi Parlimen pada Hari Penamaan Calon, menyusuli kemenangan tanpa bertanding pertama negara dalam 14 tahun.
KEMUDAHAN, PROGRAM LEBIH BAIK
Cik Sun pula menerusi ucapannya berkongsi tentang bagaimana kemudahan-kemudahan sudah dipertingkat di Punggol dalam masa 10 tahun sejak beliau menjadi AP di kawasan undi itu.
"Apabila saya datang ke Punggol 10 tahun lalu, lebih jelas lagi, di Punggol West, tiada apa-apa di sana, tiada kemudahan. Saya melihat sekeliling saya terdapat begitu banyak keluarga muda, begitu banyak anak kecil, tiada perpustakaan untuk mereka," kata Cik Sun.
Disebabkan itulah beliau memanfaatkan sumber-sumber masyarakat untuk memulakan sebuah perpustakaan kontena, sehingga perpustakaan daerah Punggol siap dibina.
Selain perpustakaan, prasarana pengangkutan juga sudah semakin baik, ujar beliau.
"Lihatlah sekeliling kita, jalan raya sedang dibina, laluan MRT sedang dibina. Ya, banyak jalan raya sedang dikorek di Punggol. Namun para penduduk, apa yang anda lihat adalah Punggol sentiasa berkembang," kata Cik Sun, sambil menambah Punggol sedang "semakin lama semakin menjadi sebuah estet bernilai".
Rakan sepasukannya Cik Yeo pula menekankan pentingnya memastikan Punggol kekal "sebuah tempat tinggal yang memberi semangat kepada warga senja kita, menyokong keluarga-keluarga kita dan melindungi belia kita".
"Ramai yang berada di sini hari ini dan yang menyaksikan (rapat) online, sudah tinggal di Punggol lebih 20 tahun. Punggol adalah tempat tinggal pertama bagi ramai orang di sini, dan mereka sudah membina keseluruhan hayat mereka di Punggol, membesarkan anak-anak mereka di sini dan menua bersama Punggol," kata beliau dalam ucapannya.
"Kita mesti memastikan bahawa kita terus membangunkan bandar Punggol kita dengan kemudahan-kemudahan dan program yang perlu untuk menyokong warta tua kita sedang mereka menua dengan kita."
Encik Gan turut menarik perhatian kepada gabungan pengalaman pasukannya dalam mengendalikan estet.
"Janil, Xue Ling dan Wang Ling memiliki pengalaman hampir 30 tahun mengendalikan majlis bandaran. Dan saya akan membawa lagi 24 tahun pengalaman," ujar beliau.
Encik Gan, yang mempengerusikan Pasukan Bertindak bagi Daya Bingkas Ekonomi Singapura yang meneliti kesan tarif Amerika Syarikat, juga menyentuh tentang persekitaran global yang bergolak dalam ucapannya.
Menurut Encik Gan, beliau sudah berbincang dengan rakan-rakan sejawatan dari Amerika Syarikat dan berunding mengenai tarif dengan mereka.
Amerika Syarikat mengenakan tarif ke atas banyak negara pada 2 April, dengan yang paling rendah iaitu tarif 10 peratus ke atas sebarang import, termasuk dari Singapura. Meskipun buat masa ini ada penggantungan 90 hari bagi kebanyakan tarif, cukai paling rendah 10 peratus berkuat kuasa pada 5 April.
Encik Gan berkata: "Mereka sanggup berunding dengan kita disebabkan kerjasama yang panjang antara pemerintah PAP dengan pentadbiran Amerika Syarikat serta para pemimpin negara itu. Mereka mengenali kita dan mempercayai kita...Ia bukannya satu kepastian, sebaliknya satu permulaan yang baik. Masih ada banyak lagi yang mesti dilakukan, dan kami berhasrat meneruskannya dengan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi Singapura dan rakyat Singapura."
Anda boleh menonton siaran langsung semua rapat GE2025 di laman BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.