Skip to main content

Singapura

GE2025: PSP umumkan pasukan bagi GRC Chua Chu Kang, termasuk muka baharu Lawrence Pek

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Apr 2025 10:41AM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 10:15PM
SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengumumkan pada Sabtu (19 Apr) pasukan yang akan bertanding di GRC Chua Chu Kang, termasuk muka baharu Lawrence Pek dan tiga calon yang kembali bertanding.

Kumpulan itu terdiri daripada naib pengerusi kedua PSP A'bas Kasmani, ketua sayap wanita Wendy Low, bendahara S Nallakaruppan dan Encik Pek, mantan setiausaha agung Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF).

Encik A'bas, seorang pengamal keselamatan dan Cik Low, seorang peguam, bertanding di bawah PSP di GRC Tanjong Pagar dalam Pilihan Raya Umum sebelumnya.

Broker saham, Encik Nallakaruppan adalah sebahagian daripada pasukan PSP yang bertanding di GRC Nee Soon pada 2020.

Mereka dijangka berdepan pasukan PAP yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong bersama dengan mantan Anggota Parlimen Zhulkarnain Abdul Rahim dan muka baharu Jeffrey Siow, bekas penjawat awam dan Choo Pei Ling, seorang penolong profesor di Institut Teknologi Singapura (SIT).

GRC Chua Chu Kang yang mempunyai seramai 93,368 pengundi melalui peralihan sempadan dalam semakan sempadan kawasan undi terkini.

Ia kini merangkumi sebahagian daripada Hong Kah North - termasuk estet-estet di Tengah - dan beberapa kawasan di Holland-Bukit Timah.

SMC Bukit Gombak yang baharu juga diwujudkan daripada GRC itu.

Menteri Negara Kanan Low Yen Ling yang sebelum ini sebahagian daripada barisan menteri PAP di GRC Chua Chu Kang, akan bertanding di SMC Bukit Gombak.

Dalam Pilihan Raya Umum 2020, barisan menteri PAP di kawasan undi itu terdiri daripada Encik Gan, Cik Low, Encik Zhulkarnain dan Encik Don Wee, yang mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Pasukan PAP meraih 58.64 peratus undi di kawasan undi tersebut dalam Pilihan Raya Umum 2020.

LAWRENCE PEK

Encik Pek, 55 tahun, adalah setiausaha agung SMF dari 2020 hingga 2023.

Semasa berkhidmat, beliau mengemukakan kebimbangan industri berhubung kos perniagaan dan keperluan tenaga kerja bersama agensi-agensi pemerintah, menurut PSP.

Beliau sebelum ini bekerja di Sony Electronics selama 14 tahun sebelum melancarkan sebuah kilang yang menghasilkan kamera pemantauan dan persidangan video di China pada 2008.

Menurut laman LinkedIn beliau, Encik Pek kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shenzhen Guard Technology, yang menghasilkan sensor radar dan alat penghala Internet benda (IoT), dan seorang pengurus besar di firma teknologi kamera Bolin Technology.
 
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita