Skip to main content

Singapura

GE2025: PSP perkenal pakar teknologi veteran Harish Pillay sebagai calon di SMC Bukit Gombak

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PSP perkenal pakar teknologi veteran Harish Pillay sebagai calon di SMC Bukit Gombak

(Gambar: CNA/Lan Yu)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Apr 2025 11:08AM
SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyatakan pada Sabtu (19 Apr) ia akan mencalonkan pakar teknologi veteran Harish Pillay, 65 tahun, di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Gombak dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Encik Pillay mempunyai pengalaman selama lebih empat dekad dalam bidang teknologi, pendidikan dan inovasi sivik, menurut kenyataan media PSP.

Beliau memegang ijazah sarjana dalam sains komputer dan kejuruteraan elektrik dan komputer dari Universiti Oregon State dan merupakan penyumbang awal kepada ARPAnet, iaitu pelopor kepada Internet pada masa ini.

Pada 1993, Encik Pillay adalah pengasas bersama Kumpulan Singapore Linux Users.

Beliau memainkan peranan penting dalam mewujudkan kehadiran Red Hat di rantau Asia Pasifik, di mana beliau bantu mengembangkan pejabatnya di Singapura dari operasi yang dikendalikan oleh seorang pekerja kepada lebih 450 kakitangan dalam tempoh dua dekad.

Encik Pillay juga berikrar untuk berkhidmat sebagai seorang Anggota Parlimen sepenuh masa jika dipilih.

Beliau berkemungkinan akan berdepan Cik Low Yen Ling dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang merupakan Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Cik Low adalah sebahagian daripada pasukan PAP yang bertanding dan menang di GRC Chua Chu Kang dalam Pilihan Raya Umum 2020.

SMC Bukit Gombak yang mempunyai seramai 26,364 pengundi berdaftar, terdiri daripada estet Bukit Gombak dan Hillview yang dikeluarkan daripada GRC Chua Chu Kang dalam semakan sempadan kawasan undi yang terkini.

Pada Januari lalu, PSP mendakwa anggota partinya diganggu semasa mengedarkan risalah kepada para penduduk Goodview Gardens di Bukit Gombak.

Parti tersebut mendakwa para individu yang terlibat merupakan sukarelawan PAP.

Dalam responsnya, Cik Low berkata dalam satu catatan Facebook bahawa PSP telah 'memutarbelitkan kebenaran' dan memberikan 'gambaran tidak benar' mengenai kejadian yang berlaku.

Beliau juga mendakwa seorang sukarelawan lelaki PAP ditampar sebanyak dua kali dalam perbalahan yang berlaku.

Perkara itu kemudian dirujuk kepada pihak polis.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita