Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: PSP mahu tanding di GRC West Coast-Jurong West dan Chua Chu Kang, bilangan calon lebih kecil

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengesahkan mahu bertanding di dua kawasan undi, iaitu GRC West Coast-Jurong West dan Chua Chu Kang pada Pilihan Raya Umum (GE2025) akan datang.

Parti itu juga merancang menampilkan bilangan calon yang lebih kecil berbanding 24 calon yang diketengahkan semasa GE2020.

Demikian yang didedahkan para pemimpin parti itu termasuk Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bok, Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai dan Naib Pengerusi Cik Hazel Poa, semasa satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat PSP pada petang Ahad (6 Apr).

Encik Leong berkata: "Kesimpulan kami daripada Pilihan Raya yang lalu ialah kita perlu memberi tumpuan kepada rakyat. Kita sedang berhubung dengan parti-parti Pembangkang yang lain. Adalah penting bahawa kita mendapat dan mahu setiap kawasan akan dipertandingkan.

"Pada masa ini, saya rasa parti-parti Pembangkang, terdapat cukup parti yang akan masuk untuk bertanding di setiap kawasan. Malah, kebimbangan utama kami sekarang adalah untuk memastikan tiada persaingan tiga penjuru."

Encik Leong juga menambah bahawa bertanding dalam pilihan raya adalah "urusan yang sangat rumit", dan jumlah wang yang diperlukan "sebenarnya bukanlah satu masalah besar" berbanding dengan isu-isu tenaga kerja dan strategi komunikasi, katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum 2020, PSP meraih 48.31 peratus undi di GRC West Coast dalam saingan menentang pasukan PAP yang diketuai oleh bekas Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran.

Ia adalah kekalahan paling tipis dalam pilihan raya tersebut dan membolehkan PSP memperoleh dua kerusi NCMP di Parlimen.

PSP LANCARKAN MANIFESTO, BERI TUMPUAN KEPADA KOS KEHIDUPAN MASYARAKAT, KURANGKAN GST KEPADA 7%

Para pemimpin PSP turut melancarkan manifesto mereka bagi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Dengan slogan Kemajuan Untuk Semua, manifesto itu memberi tumpuan kepada isu-isu seperti menjadikan perumahan lebih dimampui dan kos sara hidup serta memperkukuh jaringan jaminan sosial.

PSP mengemukakan lebih 60 saranan bagi menangani pelbagai isu dasar, termasuk cadangan untuk menurunkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 7 peratus.

Encik Leong, yang telah dipilih semula sebagai ketua parti pada bulan Mac, berkata 61 cadangan dasar tersebut "telah dikaji dengan teliti dan dipertimbangkan dengan teliti", dan kebanyakannya telah dibentangkan kepada Parlimen.

"Adalah tidak adil bagi pemerintah untuk mengatakan bahawa Pembangkang tidak mencadangkan penyelesaian alternatif," kata Encik Leong.

Ini menunjukkan bahawa PSP boleh menawarkan penyelesaian alternatif supaya setiap rakyat Singapura dapat meraih manfaat daripada kemajuan negara, tambahnya.

Dalam manifesto setebal 78 muka surat itu, PSP mencadangkan lebih 10 dasar bagi menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.

Antara saranan utama ialah menurunkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kembali kepada 7 peratus.

Kadar GST telah dinaikkan secara berperingkat kepada 9 peratus sejak tahun 2024.

“Sokongan tunai dan rebat daripada skim Baucar GST boleh dibiayai melalui cukai yang lebih progresif, ia tidak perlu dibiayai oleh cukai regresif seperti GST,” menurut parti itu.

Parti itu juga menggesa agar garis panduan ditetapkan mengenai kenaikan sewa tahunan untuk hartanah komersial.

Selain itu, PSP mengulangi desakan supaya pengurusan semua pusat penjaja dipusatkan di bawah satu agensi pemerintah.

Dalam manifestonya, PSP mencadangkan agar sewa gerai penjaja ditetapkan pada S$500 atau 3 peratus daripada hasil kasar, bukannya melalui bidaan tertinggi mengikut tender.

PSP turut menyeru agar lebih banyak diskaun makanan yang dibiayai pemerintah diberikan kepada rakyat Singapura di semua pusat penjaja.

Mengenai penjagaan kesihatan, PSP mahu pemerintah menanggung premium untuk MediShield Hayat asas dan CareShield Hayat dan memusatkan perolehan ubat-ubatan untuk mengurangkan kos.

Dalam pada itu, PSP mencadangkan empat langkah untuk menangani kos perumahan yang tinggi, termasuk Skim Rumah Mampu Milik yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Di bawah skim itu, pembeli flat BTO boleh menangguhkan pembayaran kos tanah sehingga mereka menjual flat tersebut.

Skim itu telah dikritik oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, yang menyifatkannya sebagai ancaman terhadap rizab Singapura.

Cadangan bagi dasar perumahan lain termasuk membina lebih banyak flat sebelum permintaan untuk mengurangkan tempoh masa menunggu dan memastikan bekalan mencukupi.

Bagi bidang pekerjaan dan gaji, PSP menyeru agar perlindungan yang lebih kukuh diberikan kepada pekerja tempatan.

Ia mencadangkan 15 langkah, antaranya termasuk gaji minimum sebanyak S$2,250 untuk pekerja Singapura, kuota syarikat untuk pemegang Pas Pekerjaan (EP) dengan levi sebanyak S$1,200 sebulan, serta meningkatkan gaji kelayakan EP kepada S$10,000.

Untuk "mengurangkan risiko amalan diskriminasi", pemerintah harus memastikan syarikat tidak mempunyai terlalu banyak pemegang pas kerja dari negara asing yang sama, kata PSP.

Parti itu mencadangkan langkah perlindungan yang lebih baik terhadap klausa larangan persaingan bagi pekerja yang diberhentikan, meningkatkan cuti tahunan bergaji minimum kepada 14 hari setahun, mengisytiharkan lebih banyak hari cuti umum, serta melaksanakan dasar "hak untuk tidak berhubung".
 
Sumber : CNA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan