GE2025: PSP ikrar akan 'bersuara tanpa gentar', kata Tan Cheng Bock dalam Siaran Politik Parti
Tan Cheng Bock dari Parti Kemajuan Singapura (PSP)dalam Siaran Politik Parti yang disiarkan di televisyen pada 25 Apr 2025. (Gambar: CNA/Lan Yu)
Pengasas dan pengerusinya Tan Cheng Bock berkata PSP bersedia untuk memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang setia.
"Kita memerlukan pembangkang yang lebih setia yang mencadangkan dasar alternatif yang membina... yang bersuara untuk anda... yang membantu pemerintah mencari jalan terbaik ke hadapan untuk Singapura," kata Dr Tan semasa Siaran Politik Parti yang disiarkan di televisyen pada Jumaat (25 Apr).
"NCMP (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi) PSP telah memainkan peranan itu di Parlimen ke-14. PSP bersedia memainkan peranan itu sebagai Anggota Parlimen yang dipilih bagi Parlimen ke-15."
Setiausaha Agung PSP Leong Mun Wai dan Naib Pengerusi Pertama Hazel Poa menjadi NCMP parti pembangkang itu selepas mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan calon yang kalah semasa pilihan raya sebelum ini (GE2020).
Dr Tan akan bertanding bersama Encik Leong dan Cik Poa sebagai sebahagian daripada pasukan PSP di GRC West Coast-Jurong West.
Semasa Siaran Politik Parti, Dr Tan menyentuh cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi Singapura.
Menurut beliau, pasaran pekerjaan berubah pantas dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi 'gig', manakala aturan ekonomi pasca perang berdasarkan perdagangan bebas, dan disokong oleh Amerika Syarikat, "sedang berubah dengan pantas".
Dengan perdagangan bebas menjadi nadi ekonomi Singapura, negara ini akan "terjejas teruk" apabila dunia semakin mengamalkan dasar perlindungan, tambah Dr Tan.
Dr Tan mendakwa bahawa "tidak seperti sebelum ini", kebanyakan calon baharu PAP kini daripada Perkhidmatan Awam atau tentera, sambil menambah: "Ramai daripada mereka akan ditampilkan bersama menteri dalam GRC-GRC yang selamat".
Beliau bertanya: "Adakah anda mahu Parlimen yang terdiri daripada sekumpulan kecil elit yang terlibat dalam pemikiran sedemikian? Adakah itu cukup untuk membantu kita menangani cabaran-cabaran yang bakal dihadapi?"
“Apa yang kita perlukan ialah Parlimen lebih seimbang yang mewakili pelbagai pandangan rakyat Singapura,” katanya lagi.
Dengan hanya 13 calon PSP ditampilkan dalam pilihan raya kali ini, Dr Tan berkata adalah mustahil untuk parti itu membentuk pemerintah.
"Tetapi jika kami dipilih ke Parlimen, kami akan bersuara tanpa rasa gentar. Kami akan mendesak pemerintah untuk menerima pakai beberapa saranan dasar kami, kerana kami percaya saranan-saranan kami akan menjadikan hidup anda lebih baik," kata Dr Tan.
Slogan PSP untuk pilihan raya kali ini ialah "Progress For All".
Dr Tan berkata PSP percaya bahawa kemajuan sosial dan ekonomi Singapura mestilah bersifat inklusif.
"Setiap orang di Singapura mesti mendapat manfaat daripada kemajuan negara kita. Kemajuan seharusnya bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan elit. Tiada siapa yang harus ketinggalan," tambahnya.
"Ini adalah kepercayaan utama yang membentuk manifesto PSP untuk pilihan raya kali ini."
Parti itu telah mengemukakan 61 saranan dasar dalam manifestonya, menangani kos sara hidup, penjagaan kesihatan, perumahan, pekerjaan dan gaji, antara isu-isu lain.
Kebimbangan seperti itu akan dibangkitkan di Parlimen jika calon PSP dipilih, seperti yang dilakukan oleh Encik Leong dan Cik Poa dalam tempoh lima tahun lalu, kata Dr Tan.
Beliau menambah bahawa 13 calon PSP "berkelayakan, cekap dan mempunyai tekad untuk berkhidmat".
Selain pasukan lima anggota Dr Tan di GRC West Coast-Jurong West, parti itu juga telah menampilkan empat pasukan di GRC Chua Chu Kang dan empat lagi calon di SMC Kebun Baru, Marymount, Pioneer dan Bukit Gombak.
Dr Tan berkata bahawa calon-calon PSP mungkin boleh memilih "laluan yang lebih mudah dan menjauhkan diri daripada politik sama sekali".
"Tetapi calon-calon kami berani. Mereka telah meletakkan diri mereka untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan menjadi suara anda di Parlimen," katanya.
"Mereka adalah rakyat Singapura yang setia dan mencintai Singapura dan mahukan yang terbaik untuk negara kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.