GE2025: PPP bangkitkan isu pengangkutan; tuduh MOT 'menghuru-harakan' keadaan
Para calon Parti Kuasa Rakyat (PPP) membangkitkan isu-isu berkaitan pengangkutan di Singapura dalam rapat ketiga parti pembangkang itu pada Selasa (29 Apr).
Calon Parti Kuasa Rakyat bagi GRC Ang Mo Kio William Lim berucap dalam rapat pilihan raya di stadium Yio Chu Kang pada 29 April 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- Dalam rapat tersebut, sesetengah calon PPP telah menyifatkan cara Kementerian Pengangkutan (MOT) menangani isu-isu tersebut sebagai "huru-hara".
- Encik William Lim, salah seorang calon PPP bagi GRC Ang Mo Kio, mendakwa bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) "cuai dalam memantau dan menyenggara khidmat MRT dan bas".
- Encik Lim juga mengkritik Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat atas tengkarah SimplyGo pada Januari tahun lalu.
- Encik Lim adalah yang pertama daripada sembilan calon PPP yang berucap di rapat ketiga parti itu di Stadium Yio Chu Kang menjelang Pilihan Raya Umum 2025.
Dalam rapat tersebut, sesetengah calon PPP telah menyifatkan cara Kementerian Pengangkutan (MOT) menangani isu-isu tersebut sebagai "huru-hara".
Encik William Lim, salah seorang calon PPP bagi GRC Ang Mo Kio, mendakwa bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) "cuai dalam memantau dan menyenggara khidmat MRT dan bas".
Beliau memetik contoh tahun lalu apabila khidmat MRT rosak selama kira-kira seminggu.
Khidmat MRT di Laluan Timur-Barat terganggu selama enam hari pada hujung September tahun lalu selepas komponen yang rosak terjatuh ke landasan, menyebabkan landasan antara Stesen Dover dan Clementi terjejas.
Akibatnya, para jurutera terpaksa menghabiskan masa berhari-hari untuk membaiki kerosakan yang meluas pada landasan dan peralatan lain di sepanjang laluan tersebut.
"Ini satu peringatan kepada semua rakyat Singapura," kata Encik Lim, yang pernah menjadi pemandu teksi dan pengasas kumpulan Facebook "Singapore Taxi Driver". Beliau kini adalah penyedia khidmat limusin.
"Ini adalah sesuatu yang kita bernasib baik tiada siapa yang cedera atau terbunuh," tambahnya.
Di samping itu, Encik Lim menyasarkan pemasangan unit OBU untuk kereta, yang dijadual dipasang pada sekitar sejuta kenderaan di Singapura menjelang 2026, dengan mengatakan bahawa unit itu diperbuat daripada "barangan murah" yang tidak berupaya menahan haba Singapura.
"Mengapa mereka tidak menggunakan komponen gred tentera? Ini sesuatu yang tidak boleh dimaafkan."
Encik Lim juga mengkritik Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat atas tengkarah SimplyGo pada Januari tahun lalu. Menurut beliau, walaupun LTA telah mendampingi lebih 1,000 penumpang untuk mengukur kesediaan mereka untuk beralih ke SimplyGo antara 2020 dan 2023, rakyat Singapura masih tidak berpuas hati.
LTA akhirnya menarik balik keputusannya untuk memansuhkan sistem lama secara berperingkat bagi memberi laluan kepada SimplyGo. Ini selepas para penumpang mengadu tentang beberapa ciri yang tidak disertakan dalam sistem baharu itu.
Encik Lim adalah yang pertama daripada sembilan calon PPP yang berucap di rapat ketiga parti itu di Stadium Yio Chu Kang menjelang Pilihan Raya Umum 2025.
Encik Vere Nathan, muka baharu PPP yang merupakan satu-satunya yang tidak memberi ucapan pada Selasa (29 Apr), adalah pengacara rapat tersebut .
Rapat PPP bermula kira-kira 45 minit lewat daripada yang dijadualkan disebabkan oleh hujan lebat semalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.