Skip to main content

Singapura

GE2025: Politik negatif adalah 'DNA' PAP, kata Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Politik negatif adalah 'DNA' PAP, kata Pritam Singh

Setiausaha agung WP Pritam Singh di rapat pada 29 Apr 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 30 Apr 2025 12:16AM Dikemas Kini : 30 Apr 2025 12:26AM
SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh menyangkal apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa rapat pada Selasa (29 Apr), sambil memetik langkah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang "melumpuhkan" majlis bandaran pembangkang selama bertahun-tahun sebagai contoh bagaimana parti pemerintah sendiri mempunyai "DNA" politik negatif.

Berucap di GRC East Coast di rapat keempat WP menjelang pilihan raya 3 Mei, Encik Pritam memetik contoh seperti bagaimana Anggota Parlimen (AP) pembangkang tidak diberi akses kepada pusat-pusat masyarakat di kawasan undi mereka, dan tidak diundang menghadiri upacara kewarganegaraan yang sebaliknya dipengerusikan oleh calon-calon PAP yang kalah.

Awal hari ini, semasa bertemu penduduk di Punggol, Encik Wong berkata ia "agak mengecewakan" bahawa WP melancarkan "serangan-serangan negatif" terhadap Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan pasukan PAP di GRC Punggol.

Ini menyusuli rapat WP pada Isnin yang menampilkan beberapa calon yang berucap mengkritik Encik Gan.

Encik Wong berkata: "Marilah kita menolak politik negatif seperti ini. Anda lebih baik daripada ini."

Menangkis kata-kata itu dalam ucapannya semasa rapat pada Selasa malam, Encik Pritam membangkitkan isu-isu bagaimana perancangan naik taraf Lembaga Perumahan dalam kawasan undi yang dikendalikan oleh pembangkang sebelum ini tidak diberi keutamaan oleh pemerintah.

Beliau menarik perhatian bahawa ini sudah berubah, dengan perancangan naik taraf dalam kawasan undi PAP dan pembangkang kini dijalankan "dalam masa yang sama". Dalam sesetengah kes projek naik taraf, seperti Program Peningkatan Rumah, dijalankan di kawasan undi pembangkang "lebih awal", kata Encik Pritam.

"Setakat yang saya tahu, keutamaan adalah berdasarkan kriteria objektif di semua majlis bandaran, yang seharusnya sedemikian dari dulu lagi."

Encik Pritam berkata PAP "mengubah strateginya kerana taktik buli mereka dan habuan tidak tulus mereka tidak berkesan", sambil menambah bahawa dasar itu menyebabkan parti pemerintah kehilangan sokongan dan berdepan 'tentangan' di kawasan undi lain di Singapura.

"PAP hanya mendengar apabila ia kehilangan bahagian undi dan kerusi parlimen kepada Parti Pekerja," ujar beliau, sambil menambah Perdana Menteri sebelum ini pernah berkata "beliau perlu menghabiskan masa memperbetul pembangkang jika ia memperoleh lima, 10 atau 20 kerusi".

Encik Pritam menambah: "Beliau berkata demikian apabila terdapat hanya dua kerusi pembangkang di parlimen. Inilah DNA PAP. Apa agaknya yang akan dikatakan Perdana Menteri Lawrence Wong tentang ini. Adakah ini politik negatif?"

Encik Pritam menambah bahawa PAP "mencuba dasar lain yang direka untuk melumpuhkan majlis bandaran dan ahli majlis yang dipilih bagi kawasan undi pembangkang", sambil memetik CIPC atau dana Jawatankuasa Projek Peningkatan Masyarakat.

Dana CIPC sebelum ini perlu dimohon menerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) kawasan undi, yang berada di bawah Persatuan Rakyat (PA). Permohonan kemudian diluluskan oleh para penasihat akar umbi - yang lazimnya AP di kawasan undi PAP namun diluluskan para calon PAP yang kalah di kawasan undi pembangkang.

Seawal 1992, mantan ketua WP Low Thia Khiang menyoal tentang perlunya seseorang AP melalui CCC untuk memohon bagi dana.

Pada April 2021, Kementerian Pembangunan Negara kemudian memperkenalkan perubahan besar, membolehkan majlis bandaran memohon bagi dana secara langsung daripada CIPC tanpa kelulusan daripada CCC.

Menurut Encik Pritam ini berlaku hanya selepas "dibangkitkan berterusan oleh para AP pembangkang dan oleh rakyat Singapura menyusuli keputusan Pilihan Raya Umum".

"Saya pasti anda boleh nampak sekarang. Tiada tekanan politik di parlimen terhadap PAP, tiada hasilnya di lapangan; tiada keadilan di lapangan."

AP PEMBANGKANG TIDAK DIBERI MAKLUMAT

Encik Pritam kemudian berkongsi bagaimana PA akan memberikan maklumat tentang penduduk kepada calon PAP yang kalah di kawasan undi pembangkang yang dilantik sebagai penasihat akar umbi, dan bukan AP pembangkang yang dipilih.

"Semasa COVID, PA memberikan kepada para penasihat akar umbi, termasuk semua yang tidak dipilih, maklumat terperinci seperti penduduk mana yang sedang pulih daripada jangkitan COVID. Para penasihat ini kemudian berupaya menghantar pek jagaan kesihatan kepada penduduk berkenaan," kata Encik Pritam, sambil menambah bahawa AP WP tidak mendapat akses kepada maklumat itu.

"Kami tentu sekali akan gembira untuk menerima maklumat itu, untuk mendampingi rakyat Singapura, dan kami gembira untuk berjabat tangan dengan rakyat baharu di upacara kewarganegaraan yang dipengerusikan oleh calon PAP yang kalah," kata beliau.

"AP pembangkang yang dipilih secara demokrasi dijauhkan daripada rakyat Singapura baharu yang dialu-alukan ke dalam masyarakat kita. Jadi izinkan saya bertanya Lawrence Wong sekali lagi, bukankah ini contoh politik negatif?"

Encik Pritam juga berkata para AP WP tidak diberi akses kepada kelab masyarakat sejak 1981, tetapi program PA terus dikendalikan, dengan PA terus "dibiaya dengan murah hati" menggunakan wang pembayar cukai di Aljunied, Hougang dan Sengkang - kawasan undi di mana WP merupakan penyandangnya.

Beliau merujuk kepada tahun di mana Singapura mempunyai AP pembangkang pertama selepas merdeka - iaitu JB Jeyaretnam dari WP, yang menang melalui pilihan raya kecil bagi kerusi Anson.

Encik Pritam kemudian mengajak para calon PAP bagi GRC East Coast supaya menjelaskan program mana satu yang akan mereka hentikan, sekiranya PAP kalah dalam pilihan raya bagi kawasan undi itu.

"Terus terang dengan rakyat supaya para pengundi booleh buat keputusan sama ada PAP benar-benar prihatin kepada East Coast," kata Encik Pritam.

Beliau menggesa PAP supaya menjelaskan sama ada AP WP akan diberi akses ke kelab-kelab masyarakat, bagi kegiatan seperti pengagihan dan derma makanan bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

"Katakan ya atau tidak sebelum hari mengundi. Beritahu saya supaya saya boleh berdebat dengan PM Lawrence Wong di parlimen tentang apakah makna sebenar politik negatif.

"Namun jika anda katakan 'tidak, anda tidak boleh adakan kegiatan di CC (kelab masyarakat), biarkan semuanya seperti sediakala' - tidak mengapa. Semangat Hougang hidup dalam penduduk kita dan Parti Pembangkang akan mencari cara untuk membantu mereka yang memerlukan."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita