Skip to main content

Singapura

GE2025: PM Wong, SM Lee sanjung khidmat cemerlang Ng Eng Hen & Dr Maliki

Dua anggota Kabinet telah mengumumkan persaraan mereka daripada politik — Dr Ng Eng Hen dan Dr Maliki Osman.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PM Wong, SM Lee sanjung khidmat cemerlang Ng Eng Hen & Dr Maliki

(Kiri) Dr Ng Eng Hen dan Dr Maliki Osman. (Gambar: CNA/Wallace Woon; Mediacorp)

Diterbitkan : 21 Apr 2025 08:03PM Dikemas Kini : 21 Apr 2025 08:34PM
SINGAPURA: Dua anggota Kabinet telah mengumumkan persaraan mereka daripada politik — Dr Ng Eng Hen dan Dr Maliki Osman.

Dalam catatannya di Facebook pada Isnin (21 Apr), Perdana Menteri Lawrence Wong berkata bahawa pemikiran dan perspektif Dr Eng Hen sangat tajam dan meluas dan ia begitu jelas dalam setiap perbincangan Kabinet.
Dr Ng tidak pernah goyah menghadapi krisis, malah berani menyuarakan huraian dan sentiasa berhemah dalam menganalisis sesuatu masalah.

"Saya dapat melihat semua ini secara dekat semasa baharu menceburi bidang politik dan apabila saya berpeluang bekerja dengannya di Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menurut PM Wong, Dr Ng menjadi peran contoh dan sumber nasihat kepadanya dan para menteri muda yang lain.

Selain MINDEF, Dr Eng juga pernah berkhidmat di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pendidikan (MOE), dan beliau meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan pada semua kementerian itu.

Dr Ng, menurut PM Wong, akan sentiasa diingati sebagai Menteri Pertahanan, peranan yang dipegangnya selama lebih satu dekad.

Dihormati di peringkat serantau dan antarabangsa atas penilaiannya yang bernas dan tajam, Dr Ng juga telah menaikkan kedudukan Singapura di mata dunia.

Menyentuh tentang Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman yang mengumumkan persaraannya daripada politik pada Isnin (21 Apr), PM Wong berkata beliau kagum dengan peralihan Dr Maliki dari dewan kuliah ke pentas antarabangsa; daripada guru dan pemimpin masyarakat kepada seorang diplomat.

Dalam setiap peranan yang dipegangnya, Dr Maliki berjaya menyatukan masyarakat. Di dalam negeri, Dr Maliki berhasil menghimpunkan khidmat sosial dan agensi-agensi pemerintah untuk bekerjasama bagi memperbaiki kehidupan keluarga yang kurang bernasib baik.

Di luar negara pula, Dr Maliki merapatkan jurang dalam bahasa dan budaya untuk mengukuhkan rangkaian rakan Singapura. Beliau juga memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Melalui inisiatif seperti M³, beliau meletakkan asas yang kukuh untuk masyarakat Melayu/Islam merealisasikan aspirasi kolektif untuk masa depan lebih baik, sambil mengukuhkan budaya dan warisannya.

"Kedua-duanya akan sangat dirindui. Tetapi saya perlu melepaskan mereka, untuk memperbaharui pasukan kepimpinan untuk Singapura. Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka ketika mereka memulakan lembaran baharu dan meneruskan usaha masa depan mereka." kata PM Wong.

Bagi Menteri Kanan Lee Hsien Loong, beliau telah mengenali dan bekerja rapat dengan Dr Eng Hen sejak beliau mula-mula menceburi bidang politik pada tahun 2001.

"Saya dapati beliau telus dan tegas, seperti yang dijangkakan daripada seorang mantan pakar bedah. Pada mulanya, politik dan dasar awam adalah bidang yang tidak biasa baginya, tetapi beliau belajar dengan pantas," kata SM Lee dalam catatan Facebooknya pada Isnin (21 Apr).
"Dalam Kabinet, apa pun perkara yang dibincangkan, saya sentiasa menghargai pandangan beliau," luah SM Lee.

"Saya mula melantik Dr Maliki sebagai penyandang jawatan politik apabila saya menjadi PM pada 2004. Beliau berkhidmat di beberapa kementerian yang berbeza, dan merupakan pemain pasukan yang versatil dan komited.

"Di luar negara, beliau mengharumkan nama Singapura di banyak negara. Di dalam negeri, beliau secara aktif membangunkan dasar sosial dan jaringan keselamatan kita. Beliau juga bekerjasama rapat dengan masyarakat Melayu/Islam untuk memartabatkan kehidupan dan mengemudi isu-isu yang kompleks dan sensitif. Selama hampir 25 tahun dalam Perkhidmatan Awam, beliau telah banyak berjasa untuk memperbaiki negara dan masyarakat kita." puji SM Lee.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Eng Hen dan Maliki atas perkhidmatan dan sumbangan mereka selama bertahun-tahun kepada Singapura, dan mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua dalam fasa seterusnya kehidupan mereka."
Sumber : Sumber Web/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita