Skip to main content

Singapura

GE2025: PM Wong mahu perbaharui tampuk kepimpinan SG, barisan anggota PAP 'bagi tempoh 10, 15 tahun mendatang'

Keutamaan utama Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) ialah memperbaharui kepimpinan negara dan barisan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik bagi tempoh10 hingga 15 tahun akan datang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2025 10:01PM Dikemas Kini : 27 Mar 2025 01:17AM

HANOI: Keutamaan utama Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) ialah memperbaharui kepimpinan negara dan barisan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik bagi tempoh10 hingga 15 tahun akan datang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (26 Mac).

"Saya boleh sahaja memutuskan untuk kurang melakukan pembaharuan dan sebaliknya bertanding dengan pasukan yang ada sekarang.

“Keadaan mungkin akan baik-baik sahaja dalam tempoh satu penggal dalam masa lima tahun akan datang. Tetapi jika tiada pembaharuan, saya fikir kita akan merasakan kesannya, bukan serta-merta, bukan untuk lima tahun akan datang, tetapi sudah tentu dalam tempoh 10, 15 tahun akan datang," katanya kepada para wartawan di akhir lawatan dua harinya ke Hanoi.

"Pada akhirnya, jika ia berlaku, bukan sahaja PAP, tetapi Singapura dan rakyat Singapura akan menerima padahnya," katanya.

PM Wong berkata beliau sudah "berusaha keras" sepanjang satu hingga dua tahun lalu untuk mendampingi beberapa individu daripada sektor privet dan awam, untuk meyakinkan dan menggalakkan mereka supaya menceburi bidang politik.

MENYAHUT PANGGILAN

Apabila ditanya sama ada beliau sudah memutuskan barisan calon bagi Pilihan Raya Umum akan datang, Encik Wong yang merupakan Setiausaha Agung PAP berkata beliau gembira kerana "sesetengah penjawat awam" sudah bersedia menceburi politik.

Beberapa penjawat awam kanan meletakkan jawatan sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, dengan penjawat awam yang berpangkat paling tinggi sejauh ini adalah Setiausaha Tetap Kedua bagi Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan Jeffrey Siow.

"Pada masa yang sama, kami terus merekrut daripada pelbagai sektor, bukan sahaja daripada perkhidmatan awam. Kami juga mempunyai calon daripada sektor privet, akademia dan pelbagai bidang lain," tambah PM Wong.

Parti itu lazimnya mempunyai lebih ramai calon yang berpotensi sebelum ia disaringkan kepada senarai calon muktamad yang akan bertanding dalam pilihan raya, jelasnya.

"Ini sering berlaku. Kami bermula dengan ramai calon, kerana sepanjang perjalanan kami memberi mereka pendedahan, kami menguji mereka," katanya.

Ada yang dianggap belum bersedia untuk pilihan raya ini, dan akan dipertimbangkan dalam pilihan raya seterusnya, manakala ada yang mungkin merasakan bidang politik tidak sesuai untuk mereka dan memilih untuk tidak meneruskan dengannya, kata Encik Wong.

Beliau menambah calon-calon yang berpotensi mesti mempunyai komitmen untuk berkhidmat, memegang nilai-nilai yang betul dan menceburi politik atas sebab-sebab yang betul, iaitu untuk berkhidmat bagi rakyat Singapura dan melakukan sedaya upaya untuk mempertingkatkan Singapura.

BEBAN TANGGUNGJAWAB

PM Wong tidak mendedahkan tarikh Pilihan Raya Umum seterusnya, sebaliknya hanya berkata "pilihan raya itu akan diadakan apabila tiba masanya".

Pilihan Raya Umum seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada 23 November 2025.

"Saya akan katakan, ia bukan tentang PAP perlukan mandat yang kukuh, tetapi rakyat Singapura mengiktiraf berapa banyak yang dipertaruhkan untuk Singapura dalam persekitaran baharu ini.

"Kerana demi bertakat, demi terus berkembang, supaya kami dapat terus mengharungi persekitaran global yang mencabar, kita perlukan Singapura yang kukuh dan bersatu," katanya.

"Jadi banyak yang dipertaruhkan dalam pilihan raya, dan apabila tiba pilihan raya, saya akan membentangkan kes saya bagi PAP, untuk diri saya dan pasukan saya, dan saya berharap rakyat Singapura akan memberi saya peluang untuk berkhidmat untuk mereka dan Singapura."

Memandangkan ini Pilihan Raya Umumnya yang pertama sebagai ketua parti memerintah, Encik Wong berkata beliau merasakan "beban tanggungjawab", bukan sahaja sebagai perdana menteri tetapi juga ketua PAP.

"Singapura sedang melangkah ke persekitaran global baharu yang lebih mencabar, dan banyak yang dipertaruhkan untuk kita dan bagaimana kita akan melalui persekitaran baharu ini untuk memastikan penakatan berterusan dan kejayaan kita yang berterusan," katanya.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk membentangkan kes saya, apa yang PAP telah lakukan sebagai parti memerintah di Singapura sepanjang lima tahun lalu, dan apakah rancangan kita untuk memajukan Singapura ke fasa seterusnya."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita