Skip to main content

Singapura

GE2025: PM Wong ikrar PAP akan terus tumpu perhatian kepada isu-isu 'memprihatinkan' rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: PM Wong ikrar PAP akan terus tumpu perhatian kepada isu-isu 'memprihatinkan' rakyat SG

GE2025: PM Wong ikrar PAP akan terus tumpu perhatian kepada isu-isu 'memprihatinkan' rakyat SG

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan terus menumpukan perhatian kepada isu-isu yang paling penting kepada rakyat Singapura walaupun pilihan raya kali ini diadakan di tengah-tengah "ribut" yang bakal melanda, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (25 Apr).

Bercakap dalam Siaran Politik Parti pertama PAP bagi pilihan raya kali ini, PM Wong memberi amaran bahawa tarif terbaharu Amerika dan ketidaktentuan yang diwujudkan daripada tarif itu telah membebankan ekonomi global.

"Pilihan raya ini diadakan di tengah-tengah perubahan global yang mencabar. Ribut akan membadai kita," kata PM Wong.

Tetapi PM Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata parti pemerintah itu akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu yang paling penting, termasuk perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan masa depan rakyat Singapura.

"Kami akan terus bekerjasama dengan anda - mendengar dan berbincang secara meluas semasa kami membentuk dan menggubal dasar," katanya.

"Kami mungkin tidak dapat menerima semua saranan, dan apabila kami tidak boleh berbuat demikian, kami akan menerangkan sebabnya."

"KEPUTUSAN PENTING"

PM Wong berkata rakyat Singapura yang akan keluar mengundi pada 3 Mei akan membuat "keputusan penting".

"Anda akan mengundi - bukan hanya untuk parti atau calon, tetapi untuk bentuk masa depan yang anda inginkan untuk diri sendiri, anak-anak anda dan untuk Singapura," katanya.

Walaupun Amerika Syarikat telah menggantung tarif balasnya buat masa ini, ia telah mengekalkan tarif 10 peratus secara keseluruhan, termasuk eksport Singapura. Tarif "setinggi langit" antara Amerika dan China juga dikekalkan.

“Lebih banyak tarif mungkin akan menyusul, termasuk terhadap industri seperti farmaseutikal dan semikonduktor - industri yang penting kepada ekonomi kita,” kata PM Wong.

"Permintaan global semakin melemah. Keyakinan pasaran sudah merosot. Eksport kita akan terjejas. Syarikat-syarikat besar dan kecil telah memberitahu kami betapa mereka prihatin terhadap perkembangan itu."

PM Wong turut menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka perlahan tahun ini dan kemelesetan ekonomi tidak boleh ditolak.

"Jika itu berlaku, maka pemberhentian pekerja dan kehilangan pekerjaan juga akan berlaku," katanya, sambil menambah bahawa pekerja bimbang tentang pendapatan dan pekerjaan mereka.

PM Wong mengakui bahawa sesetengah rakyat Singapura mahu PAP terus memerintah, tetapi mereka juga mahukan suara alternatif di Parlimen.

PM Wong berkata bahawa beliau memahami sentimen ini, dengan menyatakan bahawa jumlah Anggota Parlimen pembangkang telah meningkat secara berterusan dalam pilihan raya berturut-turut dan hampir dua kali ganda dalam pilihan raya lalu.

"Saya percaya ada peranan untuk pembangkang yang membina dan bertanggungjawab dalam sistem demokrasi kita," katanya lagi.

Sungguhpun demikian, PM Wong berkata beliau mahu membuat "rayuan peribadi", bukan sahaja sebagai setiausaha agung PAP tetapi juga sebagai perdana menteri.

"Selepas tempoh berkempen selesai, pertarungan ini tidak akan menjadi PAP lawan pembangkang. Ia akan menjadi Singapura lawan dunia - dunia bergolak dengan pelbagai cabaran dan ancaman luar," katanya.

PM Wong berkata keputusan pilihan raya akan menentukan keberkesanan pemerintah seterusnya dalam memberi khidmat kepada rakyat Singapura, dan sejauh mana ia bersedia untuk "mencarta laluan baharu ke hadapan bersama" dalam masa yang tidak menentu ini.

"Saya berpeluang berkhidmat kepada anda sebagai perdana menteri anda sejak setahun lalu. Ia adalah tugas yang saya pikul dengan komitmen yang mendalam - untuk melakukan yang terbaik untuk anda, keluarga anda dan negara kita," katanya.

Jika PAP sekali lagi memenangi mandat rakyat Singapura, PM Wong berkata "tanggungjawab utamanya" ialah bekerjasama dengan pasukannya untuk menyatukan rakyat Singapura, melindungi mata pencarian mereka dan menjamin masa depan negara.

"Saya tidak akan memperjudikan nyawa anda, pekerjaan anda atau kesejahteraan anda," tegasnya.

"Setiap ahli pasukan saya tahu betapa beratnya tanggungjawab ini. Ini adalah janji kami, dan komitmen kami kepada anda. Ini adalah azam baharu kami secara kolektif."

SIAPA YANG AKAN MEMBENTUK PEMERINTAH?

Ini berlaku sedang "dunia berubah dengan pantas", kata PM Wong, dengan ketegangan antara kuasa-kuasa besar dunia semakin meningkat dan peraturan perdagangan antarabangsa dan kerjasama terputus.

"Secara ringkasnya, keadaan luaran yang menyokong kelangsungan hidup, keselamatan dan kejayaan kita selama beberapa dekad kini semakin rapuh dan runtuh," katanya.

PM Wong membandingkannya dengan 60 tahun lalu apabila Singapura berpisah dari Malaysia, dan sekali lagi pada tahun 1968 apabila tentera British berundur dari Singapura, meninggalkan rakyat Singapura untuk mempertahankan dirinya sendiri.

"Siapa yang akan membentuk pemerintah anda sekarang adalah persoalan penting. Ia bukan hanya tentang politik. Ia mengenai sama ada kita boleh mencari jalan ke hadapan untuk terus bertakat dalam dunia yang berubah-ubah," katanya.

PM Wong berkata bahawa misi PAP dari awal lagi adalah untuk melindungi kedaulatan Singapura, meningkatkan kehidupan rakyat Singapura dan menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua.

"Komitmen kami tidak berbelah bahagi: untuk berkhidmat kepada anda, menyokong anda, berdiri teguh bersama anda. Anda akan sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah telah melakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat Singapura menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat, kebimbangan yang telah diburukkan lagi dengan peningkatan inflasi global di tengah-tengah konflik di Ukraine dan Timur Tengah, kata PM Wong.

Itulah sebabnya Belanjawan tahun ini termasuk pakej sokongan yang komprehensif, dengan langkah-langkah seperti Baucar CDC, Baucar SG60, pembayaran tunai dan rebat akan dilancarkan dalam masa beberapa bulan akan datang, kata PM Wong.

Sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan semasa, pemerintah juga telah menubuhkan Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.

"Kami memantau keadaan dengan teliti. Jika keadaan bertambah buruk, kami akan melakukan lebih banyak lagi untuk syarikat-syarikat perniagaan, pekerja dan keluarga," kata PM Wong.

“PASUKAN BAHARU, SEGAR” UNTUK BAWA SINGAPURA LEBIH MAJU

Pemerintah PAP akan sentiasa berpandangan jauh untuk merancang dan mempersiapkan rakyat Singapura untuk masa depan, kata PM Wong, walaupun ia membantu rakyat Singapura menangani kebimbangan ekonomi.

Ini termasuk terus menyediakan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak dan belia sambil mengurangkan "tekanan dan stres yang berlebihan", dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk orang dewasa sambil menyediakan "jaring keselamatan", katanya lagi.

PM Wong juga berikrar akan menjadikan Singapura sebagai kediaman yang lebih baik untuk membesarkan keluarga melalui "sokongan padu" untuk kanak-kanak dan keluarga besar, serta perumahan awam yang "dimampui dan mudah diakses".

Pemerintah akan terus memastikan jagaan kesihatan yang bermutu kekal "dalam jangkauan" semua orang, dengan tumpuan kepada penjagaan pencegahan supaya warga emas boleh kekal aktif dan sihat, katanya.

"Kami mahukan Singapura dengan banyak peluang dan tiada siapa yang akan ketinggalan," kata PM Wong.

"Ini mencerminkan aspirasi yang telah anda kongsikan dengan kami, termasuk melalui banyak sesi pendampingan Melakar Hala Tuju Singapura. Kami bekerja keras untuk menterjemahkan harapan bersama ini menjadi kenyataan."

Untuk terus berbuat demikian, PM Wong berkata PAP mesti memperbaharui pasukannya dan membawa masuk individu yang berkebolehan dengan integriti dan tekad untuk berkhidmat, dengan sebahagian daripada mereka membentuk "generasi baharu pemimpin".

"Pasukan kami akan menggabungkan pengalaman dengan perspektif dan idea baharu. Ia adalah pasukan baharu untuk membawa Singapura ke tahap seterusnya," tambahnya.
Sumber : CNA/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita