GE2025: Pilihan raya akan jadi ‘persaingan sengit’ bagi PAP di seluruh negara, kata Lam Pin Min
Walaupun Pilihan Raya Umum akan datang dijangka menjadi satu persaingan sengit bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) di seluruh negara, ia bakal menjadi lebih mencabar di kawasan yang tidak disandang parti itu, kata Dr Lam Pin Min pada Ahad (20 Apr).
(Dari kiri) Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Elmie Nekmat, Bernadette Giam, Theodora Lai dan Lam Pin Min, yang akan diketengahkan di GRC Sengkang, berbual dengan sepasang suami isteri di sebuah pasar di Sengkang pada 20 April 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Dr Lam, yang akan mengetuai barisan calon PAP di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sengkang bagi pilihan raya pada 3 Mei, berkata demikian kepada media sebelum lawatan bertemu penduduk di Kopitiam Square.
“Sebagai sebuah parti, kami faham bahawa setiap pilihan raya akan menjadi satu persaingan yang sengit, bukan hanya di Sengkang sahaja. Setiap GRC, setiap SMC, akan menjadi satu persaingan sengit, dan kami tidak mahu mengambil mudah apa-apa pun,” katanya.
“Jika kita bercakap tentang GRC Sengkang, kami bukan penyandang. Kami tidak mempunyai sumber Majlis Bandaran,” ujar Dr Lam, yang pernah berkhidmat sebagai menteri negara kanan sebelum kalah di GRC Sengkang pada 2020.
“Dan kami dapati bahawa sebagai pencabar, kita sentiasa berdepan lebih banyak cabaran berbanding seseorang yang merupakan penyandang di sesebuah GRC,” tambahnya.
Turut menyertai Dr Lam dalam barisan empat anggota itu adalah muka baharu Bernadette Giam, Elmie Nekmat dan Theodora Lai.
Dr Lam turut menambah bahawa setiap calon perlu “benar-benar mencurahkan sepenuh jiwa dan raga untuk memastikan kami dapat memenangi kepercayaan para pengundi”.
Beliau berkata pasukannya telah memerhatikan bagaimana pasukan penyandang dari Parti Pekerja (WP) – yang kini terdiri daripada Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua – telah berkhidmat di Sengkang.
“Kami juga tidak beranggapan bahawa ini adalah sesuatu yang mudah bagi kami. (Kami perlu) lakukan yang terbaik untuk memberi saingan yang hebat, agar kami dapat memberikan harapan bahawa kami mampu memenangi hati dan minda para pengundi Sengkang, dan seterusnya merampas kembali Sengkang daripada Parti Pekerja,” kata Dr Lam.
ISU-ISU TEMPATAN
Dr Lam menegaskan sekali lagi bahawa pasukannya yang berwajah baharu, dengan purata umur lebih rendah iaitu 43 tahun, membawa perspektif segar bagi menangani kebimbangan keluarga muda.
“Selain daripada dasar kebangsaan, saya rasa ada ruang untuk kami melaksanakan projek di peringkat tempatan juga,” kata anggota pasukan itu, Cik Lai.
Rakan kongsi di sebuah firma pelaburan teknologi mendalam (deep tech) itu berkongsi bahawa berdasarkan pengalamannya berinteraksi dengan golongan belia, mereka telah memecahkan tanggapan umum bahawa “mereka sentiasa asyik dengan peranti”.
Sebagai contoh, Cik Lai berkongsi tentang satu sesi yang dianjurkannya di mana sekumpulan wanita muda bertemu untuk mengadakan perbincangan. Menurut Cik Lai, para peserta berjaya menjalin persahabatan yang diteruskan dalam dunia nyata.
“Mereka dapati mereka boleh saling memahami, dan setiap daripada mereka mempunyai laluan hidup yang sedikit berbeza. Mereka tertarik untuk mengetahui lebih lanjut, lalu mereka pun berhubung,” kata Cik Lai.
Beliau mengatakan bahawa lebih banyak usaha sedemikian boleh diadakan di Sengkang untuk menarik golongan belia keluar dari rumah dan berhimpun dalam dunia nyata — sama ada melalui kegiatan sukarela mahupun sekadar berbual.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.