Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Perubahan pada sempadan kawasan undi 'wajar', cerminan pertumbuhan penduduk

Perubahan terhadap sempadan kawasan undi Singapura adalah cerminan pertumbuhan penduduk di negara ini, kata Dr Janil Puthucheary selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) menerbitkan laporannya pada Selasa (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Perubahan pada sempadan kawasan undi 'wajar', cerminan pertumbuhan penduduk

Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan Dr Janil Puthucheary bercakap dalam temu bual dengan CNA938.

Diterbitkan : 12 Mar 2025 09:42AM Dikemas Kini : 12 Mar 2025 09:51AM
SINGAPURA: Perubahan terhadap sempadan kawasan undi Singapura adalah cerminan pertumbuhan penduduk di negara ini, kata Dr Janil Puthucheary selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) menerbitkan laporannya pada Selasa (11 Mac).

Dr Janil, yang merupakan Menteri Negara Kanan Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, menjawab soalan oleh CNA938 mengenai rasionale di sebalik apa yang sesetengah orang sifatkan sebagai perubahan 'ketara' terhadap sempadan kawasan undi.

Lima Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan enam Kawasan Undi Perwakilan Perseorangan (SMC) baharu dibentuk, manakala beberapa kawasan undi sedia ada ditiadakan dan dijajarkan semula.

Ini bermakna hanya lima GRC dan empat SMC kekal tidak berubah daripada pilihan raya lalu.

Jumlah keseluruhan kawasan undi kini sebanyak 33, terdiri daripada 18 GRC dan 15 SMC.

Terdapat satu GRC baharu dan satu lagi SMC berbanding Pilihan Raya Umum 2020.

Parlimen Singapura seterusnya akan mempunyai 97 kerusi, berbanding 93 sekarang.

Mengenai perubahan peta sempadan kawasan undi, Dr Janil berkata: "Apa yang kita tahu dan apa yang boleh kita lihat, ia mengenai pertumbuhan penduduk.

"Ia mengenai keperluan memastikan jumlah pengundi bagi setiap Anggota Parlimen kekal berada dalam sempadan tertentu."

Dr Janil menambah ia adalah kali pertama Jabatan Pilihan Raya telah membincangkan rasionale di sebalik perubahan pada peta sempadan kawasan undi dengan begitu terperinci.

"Saya rasa ia sangat jelas kepada sesiapa yang membaca laporan itu, ya, (terdapat) banyak andaian di media, namun saya rasa jika ia satu GRC, satu SMC, empat kerusi tambahan sebagai perkadaran badan perundangan dan pangkalan pilihan raya sedia ada, adakah anda akan menyifatkannya sebagai meluas? Saya rasa ia adalah wajar."

Menurut laporan EBRC, GRC Pasir Ris-Punggol dan Jurong ditiadakan, manakala lima GRC baharu - Pasir Ris-Changi, Punggol, Jurong East-Bukit Batok, Marine Parade-Braddell Heights dan West Coast-Jurong West - ditambah.

Kawasan undi West Coast, East Coast dan Marine Parade, yang merupakan antara kawasan undi yang paling hangat dipertandingkan dalam pilihan raya lalu, akan menjalani perubahan sempadan kawasan undi secara ketara.

Sebagai contoh, GRC West Coast akan menjadi GRC West Coast-Jurong West selepas ia menyerap estet-estet dari GRC Jurong East-Bukit Batok dan melepaskan daerah kawasan undi di estet-estet Harbourfront, Sentosa, Dover dan Telok Blangah.

Mengenai perubahan terhadap beberapa GRC dalam peta sempadan kawasan undi, Dr Janil menekankan sekali lagi peranan pertumbuhan penduduk.

GRC Punggol yang baharu dibentuk dengan menjajarkan estet-estet dari GRC Pasir Ris-Punggol - yang menyaksikan kenaikan tertinggi dalam jumlah pengundi sejak Pilihan Raya Umum 2020 - dan menggabungkannya dengan SMC Punggol West.

GRC Pasir Ris-Changi baharu dibentuk dengan menggabungkan baki GRC Pasir Ris-Punggol dengan daerah-daerah kawasan undi di GRC East Coast.

Dr Janil, yang juga adalah Anggota Parlimen bagi GRC Pasir Ris-Punggol, berkata jumlah penduduk di Punggol telah meningkat dengan banyak sehingga perlu dibentuk sebuah GRC baharu.

Ini sebaliknya, akan mempunyai "kesan penting" terhadap Pasir Ris.

"Pasir Ris tanpa Punggol kini hanyalah tiga divisyen kawasan undi, dan anda perlukan lebih ramai penduduk untuk mewajarkan... mempunyai Anggota Parlimen yang keempat.

"Ia seperti permainan sudoku. Anda selesaikan satu bahagian, dan ia akan mempunyai kesan pada bahagian-bahagian lain, jadi ada kesan pertindihan," katanya.

Beliau sedia maklum dengan perubahan yang dilaksanakan, akan timbul "pelbagai spekulasi mengenai persaingan kawasan undi".

"Tetapi saya tekankan lagi khidmat kepada para penduduk. Sejauh mana ia melibatkan kemudahan, para penduduk akan pergi ke tempat-tempat di mana tersedia kemudahan sedemikian tidak kira di mana sempadan kawasan undi anda.

"Sebagai ahli politik (dan) Anggota Parlimen, kita perlu membantu para penduduk tidak kira di mana sempadan kawasan undi mereka."

REAKSI ANGGOTA PARLIMEN KEPADA PERUBAHAN PETA SEMPADAN KAWASAN UNDI

Selepas laporan EBRC diterbitkan, beberapa Anggota Parlimen menulis catatan di media sosial mengenai perubahan itu dan mengulangi komitmennya untuk berkhidmat kepada penduduk.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang merupakan AP GRC East Coast berkata laporan EBRC menyarankan agar GRC itu menyerap daerah kawasan undi dari GRC Marine Parade - yang terdiri daripada estet-estet HDB Chai Chee dan estet rumah privet Siglap.

Beliau berkata pasukannya akan "mengkaji perubahan itu dengan teliti dan menilai kesan akibatnya terhadap tugas mereka".

"Lebih penting sekali, para penduduk kami tetap adalah keutamaan kita. Apa yang tidak berubah adalah komitmen kita untuk berkhidmat kepada penduduk di GRC East Coast sebaik mungkin seperti yang telah kita lakukan selama ini," katanya.

Menteri Negara Kanan Teo Chee Hean, AP GRC Pasir Ris-Punggol berkata bandar-bandar di Punggol dan Pasir Ris telah berkembang dan oleh demikian, sempadan kawasan undi di kawasan itu telah dijajarkan semula.

Sambil mengalu-alukan para penduduk dari Changi, beliau berkata: "Pasukan kami komited untuk bekerjasama semua penduduk kita di Pasir Ris, Punggol dan Changi untuk membina rumah dan masa hadapan lebih baik untuk kita semua."

AP GRC Tanjong Pagar Indranee RAjah berkata para Anggota Parlimen daripada kawasan undinya akan meneruskan dengan sesi bertemu penduduk sehingga parlimen dibubarkan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan