GE2025: Perubahan besar pada GRC West Coast, East Coast dan Marine Parade
Kawasan undi West Coast, East Coast dan Marine Parade, yang merupakan antara kawasan undi yang menyaksikan persaingan sengit dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini (GE2020), akan menjalani perubahan besar pada sempadan kawasan undi masing-masing menjelang pilihan raya akan datang (GE2025).

Papan tanda Jabatan Pilihan Raya di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Semasa Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang tipis mengalahkan parti-parti pembangkang Parti Kemajuan Singapura (PSP) di West Coast dan Parti Pekerja (WP) di East Coast dan Marine Parade.
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa (11 Mac), Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) menyarankan agar GRC West Coast menyerap sesetengah estet di Jurong West dan Taman Jurong, dan dinamakan GRC West Coast-Jurong West.
Untuk mengekalkannya sebagai GRC lima anggota, estet-estet di Harbourfront dan Sentosa harus digugurkan daripada West Coast dan diletakkan di bawah Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Radin Mas, saran EBRC.
Kawasan undi di Dover dan Telok Blangah juga harus dipindahkan ke GRC Tanjong Pagar yang terletak bersebelahan, tambahnya.
GRC West Coast di mana pasukan PAP, yang diterajui oleh Menteri Pengangkutan ketika itu S Iswaran, mengalahkan PSP setelah memperolehi 51.69 peratus undi, menjadikannya kawasan undi yang menyaksikan persaingan paling sengit semasa GE2020.
Prestasi PSP - yang dipimpin mantan AP PAP Dr Tan Cheng Bock - mendorong PSP meraih dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang kini disandang oleh ketua parti Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai.
Di tempat lain, EBRC menyarankan agar GRC Pasir Ris-Punggol sekarang dipecahkan menjadi dua GRC empat anggota: Punggol dan Pasir Ris- Changi. Pasir Ris-Changi dibentuk dengan menggabungkan estet Loyang dan Flora di East Coast.
Dengan itu, GRC East Coast akan menyerap estet HDB di Chai Chee dan estet perumahan privet di Siglap daripada GRC Marine Parade; dan kekal sebagai GRC lima AP, saran jawatankuasa itu lagi.
Pada 2020, PAP mencatat salah satu kemenangan paling tipis di GRC East Coast, dengan meraih 53,41 peratus undi mengalahkan pasukan WP.
Pasukan PAP yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menentang pasukan WP yang pada waktu itu dianggotai Nicole Seah, peguam Terence Tan dan Dylan Ng, Pengarah Bersekutu Persatuan Barah Singapura Kenneth Foo dan penyelidik Abdul Shariff Aboo Kassim.
Prestasi PAP di East Coast pada waktu itu merosot daripada 60.73 peratus undi yang dicatatkan semasa GE2015, manakala WP mencatat prestasi terbaik di GRC itu sejak 2006.
Pada Selasa, EBRC juga menyarankan agar GRC Marine Parade menyerap sebahagian kawasan undi dari SMC Potong Pasir, setelah mengambil kira jumlah penduduk yang tinggi di sana disebabkan oleh perumahan awam baharu di estet Bidadari.
GRC Marine Parade juga akan menyerap SMC MacPherson dan kawasan undi bersebelahan dari SMC Mountbatten, dan kekal sebagai GRC lima anggota, menurut EBRC.
Kawasan undi itu pernah menjadi kubu kuat PAP, dengan mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong menerajuinya.
Beliau bersara daripada politik pada 2020 dan prestasi PAP kemudian melemah - merosot kepada 57.57 peratus undi berbanding 64.07 peratus pada 2015.
Dalam pilihan raya yang diadakan semasa pandemik, pasukan PAP yang terdiri daripada mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, Speaker Parlimen Seah Kian Peng dan Encik Fahmi Aliman muncul sebagai pemenang setalah mengalahkan pasukan WP yang dipimpin oleh mantan NCMP Yee Jenn Jong.
Di tempat lain, kawasan undi di Tampines West dan timur Bedok Reservoir, yang sekarang di bawah GRC Aljunied kendalian WP, akan dipindahkan ke GRC Tampines, menurut laporan EBRC.
Ini akan menjejas sekitar 3,900 pengundi, dengan 2,100 daripadanya menetap di kondominium-kondominium sedia ada di kawasan tersebut dan 1,800 dari estet-estet HDB Tampines South yang baru siap.
Sempadan kawasan undi di Aljunied kali terakhir diubah pada 2011, apabila PAP kalah di sana kepada WP - iaitu kali pertama sesebuah GRC dimenangi oleh parti pembangkang.
Pada GE 2020, pasukan WP yang terdiri daripada peguam He Ting Ru, penganalisis kajian ekuiti Louis Chua, aktivis sosial dan mantan anggota WP, Raeesah Khan serta profesor madya ekonomi Jamus Lim menang dengan 52.13 peratus undi.
Mereka mengalahkan pasukan PAP yang terdiri daripada ketua buruh Ng Chee Meng, yang ketika itu Menteri di Pejabat Perdana Menteri, pemegang jawatan politik Lam Pin Min dan Amrin Amin serta peguam Raymond Lye.
WP sudah menguasai Hougang sejak 1991, apabila mantan ketua parti Low Thia Khiang menang SMC itu dengan kelebihan hampir 12 peratus undi.
Mantan NCMP Dennis Tan pada waktu itu berjaya mempertahankan kubu kuat WP itu pada 2020, dengan memenangi 61.2 peratus undi.
Pemerintah sudah menerima saranan-saranan EBRC dan akan melaksanakannya bagi Pilihan Raya Umum seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.