Skip to main content

Singapura

GE2025: Persaingan tiga penjuru mungkin berlaku di GRC Sembawang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2025 04:28PM Dikemas Kini : 07 Apr 2025 07:31AM
SINGAPURA: Persaingan tiga penjuru mungkin berlaku di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang, selepas dua parti pembangkang dilihat mengadakan acara di lokasi yang sama pada Ahad (6 Apr).

Para sukarelawan daripada Parti Perpaduan Nasional (NSP) mengagihkan belon dan risalah di Kampung Admiralty dari kira-kira pukul 10.00 pagi, manakala Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenalkan barisan calonnya untuk kawasan undi itu pada awal tengah hari tadi.

Anggota Parlimen GRC Sembawang Mariam Jaafar dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) turut dilihat di Kampung Admiralty pada Ahad.

Setiausaha Agung NSP Spencer Ng memberitahu wartawan bahawa beliau menghormati keputusan SDP berhubung di mana parti itu mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang, tetapi beliau juga ingin tahu lebih lanjut sebab mereka memilih Sembawang.

NSP percaya dengan kerja-kerja kemasyarakatan akar umbi dan memupuk kepercayaan dengan  penduduk, kata Encik Ng.

"Kami sudah menetapkan janji yang kami buat kepada  penduduk di sini," katanya.

"Jadi kami (ingin) benar-benar tahu lebih lanjut, mengapa SDP ingin bertanding di sini sedangkan ada lebih banyak GRC yang lain."

SDP bertanding di GRC Holland-Bukit Timah dan GRC Marsiling-Yew Tee pada 2020.

Pada 2020, pasukan PAP yang dipimpin oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung memenangi GRC Sembawang dengan 67.29 peratus undi.

NSP memperoleh 32.71 peratus undi pada Pilihan Raya Umum 2020, dan 27.72 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum 2015.

SDP kalah kepada PAP di Sembawang pada Pilihan Raya Umum 2011 dan 2006, dengan memperolehi 36.1 peratus dan 23.3 peratus undi,

NSP KOMITED DI SEMBAWANG

Encik Ng berkata NSP mempunyai "kepentingan tersendiri" di GRC Sembawang dan SMC Sembawang West, kerana mereka sudah memupuk kepercayaan dengan para penduduk di sana.

"Kami bukan jenis parti yang 'tidak bertanggungjawab', dan kami tidak akan berundur hanya disebabkan oleh alasan taktikal dan tanpa alasan strategik," katanya.

"Kami akan terus kekal di sini disebabkan oleh janji yang telah kami buat kepada para penduduk. Kami di sini untuk berkhidmat kepada mereka."

Encik Ng berkata NSP akan terus menyuarakan keprihatinan dan memperjuangkan dasar berpusatkan rakyat yang bermanfaat bagi Singapura.

Encik Ng juga berkata SDP nampaknya seolah-olah merancang untuk "meninggalkan" beberapa SMC tertentu untuk bertanding di SMC yang baharu.

"Saya tidak begitu pasti mengapa," katanya.

Ketua SDP Chee Soon Juan berkata pada bulan lalu bahawa beliau mahu bertanding di SMC Sembawang West yang baharu, di mana NSP juga akan bertanding.
SEKURANG-KURANGNYA TIGA WAJAH BAHARU

Selain GRC Sembawang dan SMC Sembawang West, NSP sebelum ini menyatakan mereka berhasrat untuk bertanding di GRC Jalan Besar, GRC Marine Parade-Braddell Heights, GRC Marsiling-Yew Tee, GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat, di mana ada sesetengahnya berkemungkinan menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Jika rancangan tidak berubah, NSP perlu menamakan 25 calon.

Encik Ng berkata NSP mempunyai sekitar 30 anggota yang berminat untuk bertanding dalam pilihan raya, namun parti itu sejauh ini 'sangat pasti' mengenai kawasan undi di Sembawang dan Tampines setakat ini.

Setidak-tidaknya, parti itu akan menampilkan tiga muka baharu dalam pilihan raya umum akan datang, katanya.

Seorang muka baharu dari NSP yang akan bertanding di GRC Sembawang adalah Encik Raiyian Chia, seorang jurulatih renang dan pemandu kereta sewa privet.

"Saya menghabiskan masa sama ada membantu orang berenang atau menghantar penumpang ke destinasi mereka," katanya.

Beliau menyertai NSP dua hingga tiga tahun lalu dan berkata NSP sebagai sebuah parti telah membbolehkannya untuk memahami keperitan rakyat Singapura dan mendorongnya untuk tampil membantu.

Encik Chia berkata para penduduk telah berkongsi dengannya mengenai kos sara hidup yang meningkat, keprihatinan berhubung kemampanan dan keterjaminan pekerjaan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita