GE2025: Persaingan di GRC Marine Parade dijangka sengit dengan ketiadaan Tan Chuan-Jin

Angka rasmi menunjukkan bahawa GRC Marine Parade mempunyai 137,988 pengundi yang layak setakat 21 Julai 2024. (Ilustrasi: CNA/Nurjannah Suhaimi)
Insiden itu ternyata memberi kesan mendalam kepada penduduk Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade, di mana Encik Tan telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (MP).
Dalam surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri ketika itu, iaitu Lee Hsien Loong, Encik Tan menulis: "Saya memohon maaf kepada rakyat Singapura, penduduk, sukarelawan, rakan sekerja dan sahabat saya kerana telah mengecewakan mereka."
Kini, empat anggota parlimen lelaki bertanding di GRC yang dahulunya mempunyai lima wakil yang dipilih.
Selain Encik Tan, pasukan PAP yang memenangi GRC Marine Parade pada Pilihan Raya Umum 2020 terdiri daripada pegawai politik Tan See Leng dan Edwin Tong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC FairPrice ketika itu, Seah Kian Peng, dan Encik Fahmi Aliman, Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat Selatan Timur (CDC).
Mereka mengalahkan pasukan calon dari Parti Pekerja (WP): Mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Yee Jenn Jong, peguam Fadli Fawzi, pengurus kanan Ron Tan, karyawan IT Nathaniel Koh, dan pemilik perniagaan kecil Azhar Latip.

Parti itu memenangi 57.74 peratus undi pada pilihan raya tersebut semasa pandemik COVID-19, iaitu lebih rendah berbanding 64.07 peratus pada 2015.
Ia merupakan peningkatan berbanding tahun 2011, apabila parti itu memenangi 56.6 peratus undi berbanding Parti Perpaduan Nasional (NSP) di tengah-tengah gelombang menentang PAP pada tahun itu.
Namun, sebelum 2011, PAP menang tanpa bertanding di GRC Marine Parade pada Pilihan Raya Umum 1997, 2001, dan 2006.
Pada pilihan raya 1988 dan 1991 serta pilihan raya kecil pada 1992, ia memperoleh sekurang-kurangnya 70 peratus bahagian undi bagi setiap kali.
GRC itu jelas telah lama menjadi kubu kuat bagi parti pemerintah dengan mantan Menteri Kabinet Goh Chok Tong yang menjadi Anggota Parlimen sejak 1976 ketika ia masih Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan beliau memenangi kawasan undi tersebut melalui 11 pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil 1992.
APA YANG PENDUDUK GRC MARINE PARADE MAHUKAN
1. KEBIMBANGAN DI PERINGKAT NASIONAL
Berbeza dengan kawasan undi yang lebih 'muda' seperti GRC Sengkang, di mana lebih daripada separuh penduduk berkata mereka akan memberi pertimbangan yang sama antara isu "lebih besar" dan isu di peringkat kejiranan, isu nasional nampaknya lebih menjadi tumpuan pengundi di Marine Parade.
Lebih 80 peratus daripada kira-kira 50 orang yang ditemu bual oleh Mediacorp berkata mereka akan mengundi untuk parti yang mereka rasa dapat menangani keperluan semasa dan masa depan Singapura.
Antara isu utama yang dikongsi oleh penduduk ini adalah imigresen.
Dengan populasi bukan penduduk Singapura meningkat sebanyak 5 peratus dari 1.77 juta pada Jun 2023 kepada 1.86 juta pada Jun 2024, sebilangan penduduk meluahkan kebimbangan mengenai persaingan pekerjaan dan tempat di sekolah antara warga hijrahan dan rakyat Singapura.
Pada 2022, enam universiti awam di sini menerima 18,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap, tetapi permintaannya jauh lebih tinggi, dengan 38,000 lepasan sekolah memohon tempat di universiti pada tahun itu.
Ini bermakna terdapat kira-kira dua pemohon untuk setiap tempat di universiti.
Isu utama lain adalah kos sara hidup.
Cik Ng, penduduk Marine Parade yang juga penjaga sepenuh masa, berkata harga hidangan mi wantan di pusat penjaja yang sering dikunjunginya telah meningkat setiap tahun.
“Kedai ini dibuka pada 2015 – pada waktu itu, harganya S$3 semangkuk. Sekarang papan tanda menunjukkan S$5.50. Saya belum pernah lihat mi wantan begitu mahal.”
Pemerintah memberikan baucar, seperti baucar CDC, baucar iklim, dan baucar untuk anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS) dahulu dan sekarang, untuk membantu dalam perbelanjaan asas sejak beberapa tahun lalu.
Selain itu, beberapa penduduk berharap lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada penjaga warga emas.
Seorang penduduk berusia 56 tahun yang mahu dikenali sebagai Encik Er mengakui bahawa pemerintah telah melakukan “usaha yang banyak” dalam menyokong penjaga, tetapi dengan bilangan penduduk yang semakin menua, masih ada ruang untuk penambahbaikan, katanya.
Encik Er, yang bekerja dalam bidang jualan, mencadangkan agar pemerintah menimbangkan untuk mengurangkan jumlah levi bagi majikan yang mengambil pembantu rumah hijrahan.
Beliau berkata keluarganya terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang agak besar setiap bulan untuk dua pekerja yang menjaga ibu bapa mereka.
2. PENYENGGARAAN LEBIH BAIK BAGI ESTET LAMA
Walaupun kebanyakan estet perumahan di GRC itu agak lama, sebahagian besar penduduk yang ditemu bual oleh Mediacorp berpuas hati dengan tahap kebersihan dan penyenggaraan.
Bagi mereka yang tidak berpuas hati, mereka berkongsi tentang beberapa tempat yang bermasalah.
Sebagai contoh, beberapa penduduk yang tinggal di blok HDB sebelah Joo Chiat Complex berkata lif yang membawa mereka ke rumah mereka "rosak setiap minggu".
Beberapa penduduk yang tinggal di blok 35 dan 36 Chai Chee Avenue berkata siling tandas di rumah mereka telah menunjukkan tanda-tanda retak sejak beberapa tahun yang lalu.
Cik Roziza Sahni, seorang suri rumah berusia 46 tahun yang tinggal di Chai Chee, juga menunjukkan kawasan sampah di blok kediamannya yang mempunyai "terlalu banyak lipas".
Di tempat lain di Marine Parade, penduduk di estet-estet yang berbeza berkata mereka bimbang mengenai masalah "merpati" yang juga dilaporkan di bahagian lain negara.
Semasa dihubungi, Majlis Bandaran Marine Parade menyatakan bahawa pihaknya menyedari isu ini dan sedang berusaha menanganinya.
Mengenai isu lif, pihaknya turut berkata bahawa beberapa kerosakan sebelum ini adalah disebabkan oleh penyalahgunaan, seperti pengguna meletakkan barang untuk membuka pintu atau kesan berulang dari troli dan kereta sorong bayi, yang menyebabkan kerosakan.
Majlis bandaran itu telah melaksanakan sistem akses kad, yang menghadkan penggunaan lif di blok HDB itu hanya kepada penduduk, yang dikatakan telah mengurangkan kesesakan lif dan mengurangkan masa menunggu.
Bagi mengekalkan kebersihan dan mengurangkan bau di estet Braddell Heights, majlis itu juga meningkatkan kekerapan pembersihan dan mempertingkatkan usaha penguatkuasaan untuk menghalang pembuangan sampah secara haram.
Mengenai masalah burung merpati pula, majlis tersebut telah mendidik orang ramai mengenai akibat sekiranya memberi makan kepada burung merpati, membersihkan kawasan yang terjejas secara berkala dan melaksanakan operasi perangkap burung merpati setiap bulan.
3. BAS ULANG-ALIK PERCUMA BAGI PENDUDUK KELOMPOK MARINE PARADE
Maklum balas positif turut diterima mengenai perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang dimulakan oleh anggota-anggota parlimen kawasan undi tersebut.
Khidmat tersebut, yang disediakan bagi penduduk di GRC Marine Parade, SMC MacPherson dan SMC Mountbatten, menawarkan tujuh laluan dalam kawasan-kawasan ini dan membawa mereka ke kemudahan seperti poliklinik, pusat penjaja dan stesen MRT.
Sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp, Pertubuhan Akar Umbi Marine Parade menyatakan bahawa pihaknya telah memperhalusi operasi pada pertengahan Januari tahun ini dengan menyesuaikan jadual dan laluan bas ulang-alik Marine Parade, berdasarkan maklum balas penduduk dan data pengguna.
"Sejak melaksanakan penambahbaikan pada laluan dan jadual, kami telah menyaksikan penggunaan yang mantap di kebanyakan laluan, yang menunjukkan bahawa inisiatif ini memenuhi keperluan masyarakat," menurutnya.
Pertubuhan tersebut menambah bahawa perkhidmatan itu kini mempunyai lebih daripada 29,000 pengguna berdaftar.
ADAKAH KETIADAAN TAN CHUAN-JIN AKAN MEMBERI KESAN?
Tidak dinafikan, topik paling hangat dalam pilihan raya kali ini adalah ketiadaan Encik Tan Chuan-Jin bagi GRC ini.
Walaupun beberapa penduduk berkongsi mereka kecewa dengan skandal hubungan tidak wajarnya dan percaya bahawa peletakan jawatannya adalah langkah yang betul, ramai juga berpendapat bahawa itu adalah "kesilapan peribadi" yang tidak memberi kesan kepada prestasi profesionalnya sebagai AP dan sumbangannya kepada kawasan Kembangan-Chai Chee.
Menyusuli peletakan jawatan Encik Tan, mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam sidang media bahawa beliau telah mengetahui mengenai hubungan tidak wajar tersebut sejak pilihan raya umum terakhir pada 2020, dan beliau telah meminta Encik Tan dan Cik Cheng untuk menamatkannya.
Encik Lee berkata beliau kemudian mendapati pasangan tersebut telah meneruskan hubungan tersebut dan beliau bercakap dengan Encik Tan pada Februari 2023 mengenainya, sebelum skandal itu didedahkan pada Julai tahun tersebut.
Malah penduduk yang ditemu bual berkata insiden itu tidak akan menjadi faktor utama dalam menentukan undian mereka tahun ini.
Encik Edmund Teo, 48, yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat, berkata bahawa hubungan tidak wajar itu hanya "kegagalan peribadi", menambah bahawa "tiada siapa yang sempurna."
"Saya tidak akan menggunakan perkara peribadi ini untuk menghukum pemerintah."
MUKA BAHARU DI KEDUA-DUA BELAH PIHAK
Persoalan yang bermain di fikiran ramai penduduk Marine Parade adalah bagaimana PAP akan mengisi tempat kosong yang ditinggalkan oleh Encik Tan Chuan-Jin.
Penganalisis politik berkata bahawa ini pasti bukan tugas yang mudah.
Dr Mustafa Izzudin, seorang penganalisis hal ehwal antarabangsa kanan di Solaris Strategies Singapore, berkata: "Encik Tan Chuan-Jin tidak menjadi popular secara mendadak. Beliau telah bekerja keras di lapangan dan jelas, personalitinya menyerlah."
Beliau menambah bahawa ia akan mengambil masa bagi penduduk untuk berhubung dengan anggota yang baharu.
Profil ahli baharu ini juga akan menjadi faktor, memandangkan empat AP yang mnasih berkhidmat adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun.
Buat masa ini, calon yang paling jelas untuk menggantikan Encik Tan Chuan-Jin adalah Dr Choo Pei Ling, penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee yang juga seorang saintis saraf dan ahli fisioterapi.
Beliau sudah bergiat aktif dalam masyarakat selama beberapa tahun dan telah dilihat berjalan di lapangan bersama AP GRC yang lain sejak Mac tahun lalu.

Encik Loh, seorang penduduk dari Kembangan-Chai Chee, berkata: "Dia masih baharu, dengan profil agak rendah berbanding Encik Tan dan hanya menjadi aktif di media sosial pada tahun lalu."
"Saya rasa dia mempunyai jurang besar untuk diisi memandangkan Encik Tan sangat popular dalam kalangan bukan sahaja orang muda Singapura tetapi juga penduduk lanjut usia."
Seorang lagi calon berpotensi bagi GRC itu adalah Cik Hazlina Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapore, iaitu sebuah badan amal yang memenuhi hajat kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.
Beliau juga seorang anggota lembaga beberapa pertubuhan sosial termasuk Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), iaitu sebuah pertubuhan tidak mengaut untung yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita, dan MigrantWell Singapore, yang memberi khidmat kebajikan kepada pekerja hijrahan.
Dalam beberapa bulan terakhir, Cik Hazlina telah dilihat di beberapa acara di Kelompok Marine Parade, termasuk SMC MacPherson dan Mountbatten.
Berdasarkan profil LinkedIn beliau, Cik Hazlina berkhidmat di Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura antara 2019 dan 2022, di mana beliau turut menyelaraskan pelan media untuk lawatan pertama Timbalan Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris ke Singapura pada Ogos 2021.
Sebelum itu, Cik Hazlina bekerja di Mediacorp sebagai wartawan, penyunting dan penyampai berita selama 15 tahun.
WP juga telah membuat kehadirannya dirasai di pelbagai kawasan di GRC Marine Parade, dengan dua wajah baharu yang tampil berkempen di daerah timur.
Peguam kanan Harpreet Singh, yang juga pengasas bersama firma guaman butik Audent Chambers, telah dilihat berjalan di kawasan tersebut sejak Ogos 2023.
Beberapa penduduk, termasuk Encik Lam dari Kembangan-Chai Chee, memberitahu Mediacorp bahawa mereka kagum dengan kelayakan beliau.

Juga dilihat berjalan di lapangan untuk WP adalah karyawan teknologi Jeraldine Phneah, yang juga pengarah akaun untuk platform AlphaSense.
Cik Phneah, yang mula menjadi sukarelawan dengan pasukan WP Jalan Besar pada Pilihan Raya Umum 2015, telah dilihat dalam gambar yang dimuat naik ke media sosial WP pada Disember lalu, ketika parti tersebut mengadakan acara perjumpaan dan aktiviti penglibatan di kedua-dua GRC East Coast dan Jalan Besar.
Lebih baru-baru ini, beliau adalah sebahagian daripada pasukan WP yang melawat estet Kembangan dan Serangoon bersama Encik Nathaniel Koh dan Encik Fadli Fawzi, yang kedua-duanya bertanding pada 2020.
Cik Phneah sebelum ini lantang mengenai isu sosio-ekonomi di pelbagai platform media sosial, termasuk buletin beliau, di mana beliau secara berkala menyampaikan pandangan dan pengalamannya sebagai karyawan muda.
BUKAN PERTANDINGAN MUDAH
Dengan dua tokoh terkenal Encik Goh dan Encik Tan tidak lagi berada dalam pasukan PAP, apa yang dulunya kubu kuat parti ini mungkin akan menjadi tempat persaingan sengit untuk mendapatkan undi.
Menurut kebanyakan penduduk, Menteri Tenaga Kerja Tan See Leng telah berkhidmat dengan cemerlang, dan pengamat politik menunjukkan bahawa barisan PAP yang sedia ada bukanlah barisan yang boleh dipandang ringan, dengan adanya dua pemegang jawatan politik, Speaker Parlimen dan seorang Datuk Bandar.
Namun, jika GRC Marine Parade mengalami perubahan sempadan yang membawa profil pengundi demografi yang sangat berbeza, perjuangan untuk memenangi hati pengundi tidak akan menjadi sesuatu yang mudah.
Prof Madya Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata bahawa dengan isu di peringkat nasional yang menjadi keutamaan bagi kawasan undi ini, penting bagi parti-parti yang bertanding untuk menunjukkan bahawa ia mempunyai "huraian yang wajar dan mampan" untuk menangani isu-isu tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.