GE2025: Perbincangan online mencampuradukkan agama dan politik masih belum lenyap, kata SM Lee
Perbincangan 'berniat jahat' yang dicetuskan oleh catatan entiti asing yang menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berlandaskan agama 'belum lenyap sepenuhnya', kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Selasa (29 Apr).
Memberi amaran kepada rakyat Singapura supaya "memahami permainan online ini", SM Lee sekali lagi menegaskan bahawa Singapura tidak mengamalkan politik yang berlandaskan kaum atau agama.
SM Lee berkata demikian kepada pihak media di akhir lawatannya ke GRC Tampines, di mana pasukan PAP yang diterajui oleh Encik Masagos Zulkifli berdepan persaingan empat penjuru dengan pasukan dari Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Encik Masagos ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan dan juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Apabila ditanya oleh pihak media pada Selasa (29 Apr) mengenai lawatannya ke kawasan undi itu, SM Lee berkata beliau melakukan lawatan ke Tampines kerana "isu kaum dan agama dicampuradukkan dalam politik" pada minggu lalu.
Pada Jumaat, pihak berkuasa mengarahkan Meta supaya menyekat akses pengguna di Singapura kepada beberapa iklan pilihan raya online yang dimuat naik ke Facebook oleh dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini seorang warga Australia.
Antara lain, mereka mengkritik cara pemerintah Singapura menangangi isu-isu agama yang sensitif dan menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berlandaskan agama.
"Terdapat beberapa catatan sangat melampau yang mengemukakan pandangan sedemikian dan mencadangkan supaya rakyat Singapura mengundi bagi calon yang berkemungkinan besar akan memperjuangkan kepentingan agama mereka," kata SM Lee pada Selasa.
"Dan khususnya Anggota Parlimen Melayu, calon Melayu, sila menilai mereka berdasarkan siapakah yang paling bersungguh-sungguh memajukan kepentingan Melayu atau Muslim, dan undilah mereka dan menilai mereka atas dasar itu."
Ini bukan cara politik diamalkan di Singapura, kata SM Lee.
Walaupun calon Melayu "secara semula jadi mempunyai pertalian dan kepentingan dalam kesejahteraan masyarakat mereka sendiri, mereka juga menjaga semua penduduk tidak kira kaum, bahasa dan agama.
Parti-parti politik di Singapura juga tidak ditubuhkan berlandaskan kaum atau agama, tambah SM Lee.
"Dan saya fikir ia sangat penting untuk saya datang ke sini dan memberi sokongan kepada Encik Masagos dan menjelaskan bahawa beliau menjaga masyarakat Muslim - tentu sekali, kerana beliau adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam - tetapi pada masa yang sama, beliau mewakili penduduk dari setiap kaum dan agama di Tampines dan dalam Kabinet, beliau menjaga kepentingan semua rakyat Singapura sebagai seorang anggota Kabinet."
SM Lee turut menekankan betapa pentingnya rakyat Singapura memahami hal itu dan juga "memahami permainan yang digembar-gemburkan online", sambil menambah catatan-catatan oleh entiti luar telah mencetuskan perbincangan "yang berniat jahat".
"Dan ia belum lagi lenyap."
RACUN INI AKAN MEREBAK: MASAGOS
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pada Sabtu bahawa warga asing yang menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berlandaskan agama telah "melampaui batas", sambil menegaskan entiti-entiti luar tidak harus dibenarkan untuk memecahbelahkan negara.
Beliau juga mengalu-alukan kenyataan yang dibuat secara berasingan oleh para pemimpin parti pembangkang yang menolak campur tangan sedemikian.
Pada Selasa, Encik Masagos mengulangi mesej SM Lee.
"Saya tahu pada ketika ini, walaupun selepas ia berhenti dalam rapat pilihan raya, ia tetap berlegar-legar di ruang Internet, di ruang siber, dan ini membimbangkan," kata Encik Masagos.
"Ini menunjukkan apabila anda membubuh racun, ia akan merebak dan ini sebabnya mengapa anda tidak sepatutnya mencetuskannya."
Encik Masagos berkata selepas catatan online itu dimuat naik, sesetengah penduduk yang ditemuinya "sebenarnya menangis dan berkata mereka tidak dapat tidur malam".
Ini terutama sekali dalam kalangan penduduk lebih lanjut usia yang melalui peristiwa rusuhan kaum pada tahun-tahun awal kemerdekaan Singapura, sambil menambah para penduduk dari berbilang kaum juga meluahkan keprihatinan yang sama.
Encik Masagos turut menegaskan betapa pentingnya untuk melindungi kehidupan berbilang kaum dan agama di Singapura.
"Sedang kita memajukan kepentingan atau mendengar keprihatinan masyarakat kita sendiri, kita menyampaikannya dalam cara yang tidak mengguris perasaan orang lain, tidak memecahbelahkan masyarakat dan kita maju ke hadapan bersama," katanya.
"Dan ini adalah sesuatu yang sangat unik di Singapura, dan itulah sebabnya kita dapat menikmati keamanan dan keharmonian selama ini, marilah kita memeliharanya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.