Skip to main content

Singapura

GE2025: Peranan sebagai AP dan Menteri akan perluas sumbangan kepada GRC Sembawang, kata Ong Ye Kung

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Isnin (28 Apr) bahawa beliau akan menjaga kebajikan penduduk bandar Sembawang dan Woodlands dari Kabinet jika dipilih, sambil menarik perhatian kepada kelebihan mempunyai seorang Anggota Parlimen yang juga seorang Menteri.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Peranan sebagai AP dan Menteri akan perluas sumbangan kepada GRC Sembawang, kata Ong Ye Kung

Calon PAP di GRC Sembawang Ong Ye Kung, berucap di rapat pilihan raya pada 28 April 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Isnin (28 Apr) bahawa beliau akan menjaga kebajikan penduduk bandar Sembawang dan Woodlands dari Kabinet jika dipilih, sambil menarik perhatian kepada kelebihan mempunyai seorang Anggota Parlimen yang juga seorang Menteri.

Beliau memberi contoh, dengan mengatakan bahawa sebagai Menteri Kesihatan, beliau mendorong pelaksanaan Sihat Menua SG, mengembangkan rangkaian Pusat Penuaan Aktif dan memberi lebih banyak dana kepada setiap pusat.

Apabila beliau melihat Pusat Penuaan Aktif Sembawang menjadi lebih baik setelah mendapat sumber daripada Kementerian Kesihatan (MOH), beliau bekerjasama dengan sukarelawan untuk memperluaskan aktiviti untuk warga emas.

"Ia sangat memuaskan apabila saya dapat melihat dasar-dasar yang dibuat di MOH di Outram Road dilaksanakan di Sembawang dan memberi manfaat kepada penduduk di sini," kata Encik Ong, yang merupakan anggota pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Sembawang menentang Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).

"Saya tidak dapat melakukannya jika saya bukan Menteri Kesihatan, dan Anggota Parlimen Sembawang pada masa yang sama. SDP rasa ia adalah satu masalah. Saya rasa mereka cuba memperdayakan anda. Saya boleh berkhidmat dengan cara terbaik kepada anda apabila saya menjadi kedua-dua Menteri dan Anggota Parlimen."

Berucap di rapat PAP di Sembawang, Encik Ong menekankan penambahbaikan yang dilakukan oleh para AP pada Sembawang selama bertahun-tahun, termasuk membina hab masyarakat Bukit Canberra, yang juga menempatkan gimnasium Active SG terbesar di Singapura.

Tanah lapang di Admiralty kini menempatkan Masjid Yusof Ishak dan juga sebuah hospital daerah, Hospital Woodlands Health dan lebih banyak projek sedang dalam perancangan, katanya lagi. Ini termasuk membangunkan kawasan sekitar Stesen RTS Singapura-Johor akan datang di Woodlands untuk menyediakan rumah baharu, hiburan, rekreasi, kemudahan masyarakat, taman dan tempat kerja.

"Satu perkara yang SDP katakan, saya rasa tidak ikhlas, mereka mengatakan semua rancangan dan projek yang saya gambarkan kepada anda, akan berlaku juga, kerana PAP akan menjadi pemerintah.

"Sesiapa sahaja yang menjadi Anggota Parlimen, tidak mengapa. Pilih (SDP), dan semua perkara yang baru saya sebutkan masih akan berlaku," katanya.

"Sebenarnya, saya tidak rasa SDP boleh datang ke sini selama sebulan dan membuat kenyataan sedemikian."

Selain Encik Ong, empat calon PAP di GRC Sembawang adalah Vikram Nair, Mariam Jaafar, Gabriel Lam dan Ng Shi Xuan. Kelima-lima calon, bersama dengan Poh Li San - calon PAP di SMC Sembawang West - menghadiri rapat yang diadakan di tanah lapang di sebelah Sun Plaza.

Semasa ucapannya, Encik Ng berkata beliau bertanya kepada Encik Ong sama ada terdapat ruang untuk orang yang mempunyai "baki yang sangat baik" untuk menggunakan lebih banyak Medisave mereka.

Ini selepas Encik Ng berkata beliau bercakap dengan seorang penduduk warga emas yang mengemukakan soalan itu kepadanya.

"(Ong) berkata beliau mempunyai fikiran yang terbuka dan ia adalah sesuatu yang pihak kementerian sudah kaji. Begitu banyak dasar jagaan kesihatan sudah berubah di bawah Encik Ong; saya berharap kita akan mempunyai dasar untuk perkara seperti ini tidak lama lagi," kata Encik Ng.

Cik Mariam Jaafar pula menggariskan penambahbaikan kepada GRC Sembawang yang pasukannya berharap dapat dlaksanakan jika dipilih.

Beliau berkata mereka akan memberi lebih banyak tumpuan kepada belia di Sembawang, melancarkan biasiswa masyarakat baharu untuk mereka yang memberi kesan positif kepada masyarakat, tanpa mengira latar belakang mereka.

Mereka juga berhasrat untuk mengembangkan Program Store@Woodlands, yang menyediakan makanan dan barang keperluan kepada keluarga berpendapatan rendah dan rentan.

"Bagi saya, menjadi Anggota Parlimen anda adalah lebih daripada menyampaikan ucapan di Parlimen, ia adalah tentang menjadikan kehidupan anda lebih baik di luar Parlimen, hari ini dan pada masa akan datang," kata Cik Mariam.

Encik Lam berkata jika beliau dipilih masuk Parlimen, beliau ingin melihat lebih banyak sokongan untuk bekas banduan.

Beliau akan berbuat demikian dengan membantu keluarga mereka, menyediakan bekas pesalah dengan peluang pekerjaan yang sesuai dan memberikan komputer riba yang dibaik pulih kepada anak-anak mereka yang mungkin tidak mampu membeli peranti baharu.

Semasa ucapannya, Cik Poh, yang bertanding menentang Dr Chee Soon Juan dari SDP di SMC Sembawang West, berkata bahawa ini bukan masanya untuk "eksperimen politik".

"Ia memerlukan calon yang terbukti keupayaannya. Seseorang yang sudah berada di sini bersama anda. Seseorang yang tahu apa yang dipertaruhkan," kata Cik Poh, yang mewakili bahagian Sembawang West di GRC Sembawang selepas pilihan raya lalu.

Perubahan pada sempadan kawasan undi baru-baru ini menyaksikan kewujudan SMC Sembawang West dari GRC Sembawang.

Beliau mengakui bahawa Dr Chee sudah melalui perjalanan politik yang panjang, tetapi tidak pernah berkhidmat untuk "masyarakat dari dalam".

"Semangat sahaja tidak membina taman permainan, atau menyokong warga emas, atau menghiburkan keluarga yang sedang bergelut (dengan kesusahan)."

Beliau berkata bahawa Sembawang West baru sahaja bermula.

"Kami sudah bersedia untuk bab seterusnya. Kami memerlukan laluan jelas ke hadapan. Kami memerlukan bab kedua Sembawang West yang berani, penyayang dan mengutamakan pengalaman."
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita