Skip to main content

Singapura

GE2025: Pengundi Melayu/Islam golongan "sangat bijak", prihatin terhadap isu nasional, kata Pritam

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Pengundi Melayu/Islam golongan "sangat bijak", prihatin terhadap isu nasional, kata Pritam

Setiausaha agubng WP Pritam Singh di Fengshan Centre pada 25 Apr 2025. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Para pengundi Melayu/Islam merupakan golongan yang sangat bijak, yang mengambil berat bukan sahaja tentang isu-isu berkaitan kaum tetapi juga hal-hal berkepentingan nasional.

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berkata demikian kepada BERITA Mediacorp semasa berkempen di Bedok North Street 4 pada Jumaat (25 Apr).

Beliau ditanya sama ada undi masyarakat Melayu/Islam berpotensi menjadi penentu dalam saingan empat penjuru di GRC Tampines.

Ini memandangkan kawasan undi itu dikenal pasti sebagai kawasan dengan kelompok pengundi Melayu terbesar di negara ini, dengan hampir satu daripada setiap empat pengundi adalah orang Melayu.

Menurut anggaran demografi berdasarkan data Jabatan Perangkaan dan banci penduduk 2020, 23.6 peratus pengundi di GRC Tampines adalah daripada kaum Melayu iaitu kira-kira 10 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

Mentelah lagi, WP mempertaruhkan pasukan yang diketuai Naib Pengerusinya, Mohd Faisal Abdul Manap, bagi menentang pasukan PAP yang diterajui Menteri Ehwal Masyarakat Melayu/Islam Masagos Zulkifli.

"Mereka pengundi Melayu/Islam merupakan pengundi yang sangat bijak. Ia bukan sekadar soal kaum semata-mata. Saya rasa kita semua juga prihatin terhadap isu-isu nasional. Apakah perkara lain yang boleh dibawa oleh Parti Pekerja (WP)?

"Dan saya percaya ramai pengundi menerima hakikat bahawa mesti ada kehadiran pembangkang yang kuat di Singapura. Singapura tidak menjadi lemah kerananya, malah menjadi lebih kukuh. Parti Pekerja pula mempunyai pendekatan tersendiri dalam arena politik. Dan saya fikir para pengundi Melayu/Islam sangat peka dan sedar akan perkara ini," kata beliau.

BANDINGKAN CALON WP DENGAN BARISAN BELAKANG PAP

Dalam pada itu, Encik Pritam meminta para pengundi agar membandingkan calon-calonnya dengan anggota barisan belakang PAP, memandangkan mana-mana calon pembangkang yang terpilih tidak akan memegang jawatan dalam pemerintah.

"Cadangan saya kepada para pengundi adalah untuk memahami bahawa antara barisan belakang dengan barisan belakang, anda mempunyai satu pilihan yang serius. Parti Pekerja telah menampilkan barisan calon yang berwibawa, agar rakyat Singapura dapat mempertimbangkan pilihan itu dengan teliti," katanya.

Encik Pritam juga menegaskan bahawa WP telah mengemukakan individu-individu yang berwibawa untuk dipertimbangkan oleh pengundi Singapura.

"Saya mengajak pengundi untuk memahami pilihan yang ada selepas membandingkan antara para Anggota Parlimen biasa. WP sudah membariskan individu-individu yang serius supaya rakyat Singapura dan mempertimbangkan pilihan itu dengan teliti."

Beliau dan partinya akan menghormati pilihan rakyat.

"Saya menghormati apa jua pilihan yang dibuat oleh rakyat Singapura; seluruh Parti Pekerja menghormatinya,"

Lantaran itu, beliau yakin barisan calon WP yang bertanding dengan kesemua GRC sama hebatnya.

PERIHAL PENDUDUK MELAYU/ISLAM DI GRC EAST COAST

Di GRC East Coast, pasukan lima anggota WP terdiri daripada mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Yee Jenn Jong, Paris V, Jasper Kuan, Nathaniel Koh, dan Sufyan Mikhail Putra.

Encik Sufyan, yang sebelum ini aktif sebagai sukarelawan WP di kawasan Kaki Bukit dan Punggol, menyatakan bahawa beliau lebih selesa bertanding di East Coast kerana membesar di bahagian timur negara.

"Saya mempunyai banyak kefahaman tentang isu-isu dihadapi para penduduk di kawasan berbanding tempat yang saya berjalan sebelum ini sebagai sukarelawan di Punggol dan di GRC Aljunied. Sejujurnya, saya lebih selesa di sini," kata Encik Sufyan.

Beliau menambah bahawa isu-isu yang dihadapi oleh penduduk Melayu/Islam di GRC East Coast secara amnya adalah serupa dengan masyarakat lain.

Namun, beliau akur bahawa mungkin ada isu tertentu yang lebih mendapat perhatian masyarakat Melayu/Islam, seperti krisis kemanusiaan di Palestin.

"Kedudukan WP jelas tentang hal-hal ini dan kami sokong memberikan suara untuk rakyat menyuarakan perasaan mereka di medan awam untuk dijadikan satu perbincangan," jelasnya.

Apabila ditanya adakah ia satu kekurangan untuk menentang calon PAP Hazlina Halim yang mungkin lebih dikenali awam, Encik Sufyan menjawab bahawa beliau yakin para pengundi akan memilih berdasarkan kekuatan pasukan secara keseluruhan.

Beliau menambah bahawa kedua-duanya, beliau dan Cik Hazlina, membawa kekuatan masing-masing untuk membantu penduduk GRC East Coast.

Lebih 150,000 orang dijangka mengundi di kawasan itu pada 3 Mei nanti.
Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita