GE2025: Pengasas PSP, Tan Cheng Bock, mengenai kemungkinan bertanding dalam pilihan raya terakhirnya, serta peranan sebagai mentor jika dipilih
Pilihan raya umum akan datang mungkin yang terakhir bagi pengasas dan pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock.

Pengasas Parti Kemajuan Singapura (PSP), Tan Cheng Bock, semasa sesi temu bual bersama Mediacorp di Pasar dan Pusat Penjaja Taman Jurong pada 20 April 2025. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)
“Jika kami menang, akan ada pasukan muda yang akan menyelia, dan kami sudahpun menetapkan langkah-langkah yang perlu diambil, contohnya memulakan majlis bandaran… semua ini sudah dikenal pasti,” kata Dr Tan kepada Mediacorp pada Ahad (20 Apr).
“Saya mungkin akan mengurus dengan cara yang sedikit berbeza, tetapi saya rasa ia tidak akan menjadi masalah. Seperti yang saya selalu katakan, saya mahu membimbing seramai mungkin golongan muda,” tambah beliau.
Dr Tan, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-85 pada Sabtu, berkata demikian di luar acara lawatan partinya ke Pasar dan Pusat Penjaja Taman Jurong.
Beliau akan mengetuai pasukan lima anggota untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast–Jurong West yang juga termasuk Setiausaha Agung parti Leong Mun Wai, Naib Pengerusi Hazel Poa serta dua muka baharu Sani Ismail dan Sumarleki Amjah.
Apabila ditanya apakah yang mendorongnya untuk terus menceburi politik selama hampir 45 tahun, Dr Tan tanpa teragak-agak menjawab: “Saya rasa, kerana cinta kepada negara.”
“Kerana saya juga mahu memastikan… saya mahu cucu-cucu saya, anak-anak saya, dan anda semua golongan muda, menikmati kehidupan yang baik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa “bukanlah kehidupan sekarang ini teruk”, tetapi terdapat isu-isu seperti tekanan hidup dan kadar kelahiran yang rendah yang membuat beliau “sangat bimbang”.
Bercakap kepada media pada Ahad, Encik Leong berkata pilihan raya ini berkemungkinan besar menjadi yang terakhir bagi Dr Tan.
“Kami masih perlukan (Dr Tan) bersama kami di parlimen, untuk membimbing kami menjadi Anggota Parlimen yang cemerlang seperti beliau, yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan penduduk,” katanya.
45 TAHUN DI KEDUA-DUA BELAH ARENA POLITIK
Dr Tan pertama kali dipilih sebagai Anggota Parlimen di bawah bendera Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1980 bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Ayer Rajah ketika itu. Beliau berkhidmat di kawasan undi itu selama 26 tahun sebelum mengundurkan diri pada 2006.
Beliau kemudian bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2011, tetapi kalah tipis kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Tony Tan.
Dr Tan menyatakan hasrat untuk bertanding semula dalam pilihan raya presiden pada 2016, tetapi kriteria kelayakan bagi pilihan raya tersebut diubah untuk menjadikannya "pilihan raya yang diperuntukkan" bagi calon Melayu, sekali gus menghalangnya daripada bertanding.
Beliau melancarkan PSP pada 2019 dan bertanding di bawah parti tersebut bagi GRC West Coast dalam Pilihan Raya Umum 2020 tetapi kalah. Persaingan tersebut merupakan yang paling sengit dalam pilihan raya itu, dengan PSP meraih 48.32 peratus undi.

“Ia adalah satu perjalanan yang bermakna bagi saya, bermakna kerana pada setiap kali pilihan raya umum, anda belajar perkara baharu, belajar cara baharu untuk mengurus sesuatu, bertemu orang ramai, orang yang baharu... ia satu pengalaman yang sangat memperkayakan,” katanya.
Beliau menambah bahawa beliau tidak pernah menyesali sebarang keputusan yang dibuat berkenaan PSP, tetapi akur “banyak lagi yang boleh dilakukan” dari segi pengurusan parti.
“Saya sedang menarik para anggota baharu daripada pelbagai latar belakang, dengan idea berbeza, cara kerja berbeza. Jadi sebagai ketua, saya perlu faham... ia melibatkan banyak pengurusan,” katanya.
Encik Tan menambah bahawa beliau juga sedang melihat kepada usaha pembaharuan, bukan hanya bermula dengan Encik Leong dan Cik Poa, tetapi juga melibatkan anggota-anggota lain dalam parti yang masih belum tampil secara terbuka.
“Mereka berada di belakang, sedang belajar, dan saya beritahu mereka, pada akhirnya apabila anda ceburi arena politik, faktor keyakinan itu sangat penting,” katanya.
“Anda mesti benar-benar yakin bahawa anda datang ke sini untuk berkhidmat, bukan untuk mengejar gelaran atau penghargaan semata-mata.”
RANCANGAN PSP BAGI BARAT SINGAPURA
Pada Ahad, Encik Leong mengetengahkan pelan umum parti itu bagi kawasan barat Singapura.
Salah satunya adalah untuk menambah baik kemudahan di kawasan barat, seperti sistem pengangkutan awam, supaya nilai hartanah di kawasan tersebut dapat “meningkat dengan lebih cepat”.
Encik Leong juga mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan barat.
“Kita boleh kembangkan kelompok industri berteknologi tinggi di one-north. Sebahagiannya boleh dipindahkan lebih jauh ke kawasan barat Singapura,” tambahnya.
Akhir sekali, membangunkan "satu persekitaran kehidupan yang selesa" di kawasan barat, memandangkan kawasan itu mempunyai lebih banyak kawasan tanah berbanding kawasan timur Singapura, katanya.
Apabila ditanya tentang rancangan yang diumumkan pemerintah baru-baru ini untuk menambah baik kawasan barat, seperti laluan kereta api baharu yang sedang dikaji dan Sambungan West Coast, Encik Leong berkata bahawa merangka rancangan untuk membangunkan masyarakat “sentiasa menjadi tanggungjawab pemerintah”.
“Kami mahu pembangkang yang lebih kuat untuk mendorong pemerintah, supaya mereka menepati jadual perancangan mereka, dan kami boleh berbahas di parlimen untuk memastikan rancangan tersebut lebih baik lagi bagi para penduduk,” katanya.
MENGIMBAS KEMBALI DASAR-DASAR YANG PERNAH DIUTARAKAN
Mengimbas kembali pengalamannya sepanjang lima tahun lalu di parlimen, Encik Leong berkata isu utama yang dibahaskan beliau dan Cik Poa adalah isu-isu asas seperti pekerjaan, harga rumah dan kos sara hidup.
Tiada satu pun dasar-dasar yang disyorkan PSP di parlimen merupakan “dasar ekstremis”, kata Encik Leong.
“Semuanya boleh dilaksanakan… kami telah membahaskannya di parlimen, pemerintah mengelak perbahasan terperinci, tetapi kami telah kemukakan pendirian kami dengan jelas,” katanya.
Beliau menambah bahawa semua dasar yang diutarakan mengambil kira sumber fiskal yang tersedia bagi negara.
“Kehematan fiskal juga merupakan prinsip PSP,” katanya.
Tempoh perkhidmatan Encik Leong dan Cik Poa di parlimen juga telah membantu menarik calon-calon yang lebih berkaliber bagi pilihan raya kali ini, kata pasangan itu. Ini termasuk mantan Setiausaha Agung Persekutuan Pengilangan Singapura, Lawrence Pek, yang diumumkan sebagai calon yang berpotensi bertanding di GRC Chua Chu Kang pada Sabtu lalu.
Cik Poa berkata kehadiran mereka di parlimen telah menonjolkan parti itu dan “membolehkan orang ramai lebih mengenali dasar-dasar kami, pemikiran kami tentang pelbagai isu, supaya mereka berasa lebih selesa untuk menyertai kami”.
Encik Leong berkata: “Kami harap kini para penduduk dan pengundi Singapura lebih memahami apa yang diperjuangkan oleh PSP.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.