Skip to main content

Singapura

GE2025: Pemimpin PSP gesa hasil siasatan ganggu relawan dikeluarkan sebelum tamat kempen

Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock pada Rabu (30 Apr) menggesa agar hasil siasatan polis mengenai tuduhan berlaku gangguan - yang dibuat oleh sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan PSP pada Januari lalu - dikeluarkan kepada orang ramai dalam tempoh kempen pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2025 07:18PM Dikemas Kini : 01 May 2025 07:07PM
SINGAPURA: Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock pada Rabu (30 Apr) menggesa agar hasil siasatan polis mengenai tuduhan berlaku gangguan - yang dibuat oleh sukarelawan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan PSP pada Januari lalu - dikeluarkan kepada orang ramai dalam tempoh kempen pilihan raya.

"Kita adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat yang sangat berpendidikan. Kita mesti berkelakuan baik. Dan mereka tahu saya sangat tegas kerana saya tidak suka orang menjerit-jerit dan bergaduh antara satu sama lain," kata Dr Tan, yang bercakap di akhir lawatannya ke Jurong West Street 91.

Beliau merujuk kepada insiden antara sukarelawan PSP dan PAP semasa lawatan mereka ke SMC Bukit Gombak pada Januari lalu.

Dr Tan ditemani oleh para calon dari pasukan PSP bagi GRC West Coast-Jurong West: Setiausaha Agung parti Leong Mun Wai, Naib Pengerusi Pertama Hazel Poa serta pendatang baharu Sani Ismail dan Sumarleki Amjah.

Cik Poa berkata tuduhan bahawa seorang sukarelawan PSP telah menampar seorang relawan PAP adalah "sangat serius", sambil menambah: "Memandangkan polis telah menyelesaikan siasatan, kami menggesa agar hasil siasatan dikeluarkan kepada orang ramai supaya kita dapat mengetahui perkara sebenar."

Beliau berkata walaupun parti itu telah membangkitkan perkara tersebut sebelum ini, mereka masih belum menerima sebarang respons daripada pemerintah.

Cik Poa juga menyentuh mengenai pertelingkahan itu dalam ucapan rapatnya pada Sabtu lalu.

Mediacorp telah menghubungi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan komen.

Bercakap kepada para wartawan pada Rabu (30 Apr), calon-calon PSP juga membincangkan pelbagai topik, termasuk kebimbangan berkaitan perumahan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Encik Leong berkata bahawa dengan kempen yang hampir berakhir, ketua pasukan PAP bagi GRC West Coast-Jurong West, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, masih belum menjawab beberapa soalan dasar yang dibangkitkan oleh PSP.

Ketua PSP membangkitkan kebimbangan mengenai kenaikan kos flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan menanyakan apa yang dilakukan oleh pemerintah untuk mengawal harga perumahan awam, selain daripada meningkatkan bekalan flat.

"Di bawah sistem sedia ada, harga flat HDB - termasuk harga flat BTO (Bina Ikut Tempahan) - tidak akan berhenti meningkat, dan tidak akan berhenti meningkat pada kadar yang begitu pesat. Jadi kita perlu berbincang tentang beberapa huraian sebenar," katanya.

Beliau juga merujuk kepada Skim Rumah Dimampui - usulan dasar PSP yang dikemukakan dalam manifestonya, yang menyokong pemansuhan kos tanah daripada harga perumahan awam - sebagai huraian yang berpotensi membendung kenaikan harga flat HDB.

Encik Leong menambah bahawa pemerintah telah berulang kali "mengelak" topik tentang susut nilai pajakan HDB.

Pemerintah "perlu ada huraiannya", memandangkan Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS) dan Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS) "tidak lagi berfungsi" untuk penduduk, katanya.

"Mereka tidak boleh bersembunyi ... Saya tidak tahu apa yang Menteri Desmond Lee lakukan, mungkin beliau masih memantau keadaan. Tetapi berapa lama anda perlu memantau?" tanya Encik Leong, sambil menambah bahawa rakyat Singapura yang memiliki flat HDB sedang "menderita".

Beliau juga mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu-isu perbandaran seperti peningkatan lif.

Encik Leong berkata: "Menteri Desmond Lee suka bercakap tentang isu-isu tempatan dan sebagainya, tetapi apabila saya mula bertemu penduduk di sekitar Jurong Spring, sebagai contoh, apakah yang telah dilakukan oleh pemerintah mengenai beberapa isu yang lebih penting?"

Menambah bahawa banyak flat di kawasan itu mempunyai lif yang "sangat kecil" yang hanya membolehkan seorang pengguna berkerusi roda dan seorang lagi masuk dalam lif yang sama, beliau menggesa Encik Lee untuk memberikan "jawapan mutlak".

Kenaikan GST juga telah menjadi isu hangat sepanjang tempoh berkempen.

Mengenai perkara ini, Encik Leong berkata: "GST adalah cukai regresif. Anda tidak boleh lari daripadanya, bukan?

"Apa yang pemerintah lakukan adalah mereka memberikan Baucar GST kepada rakyat Singapura berpendapatan paling rendah. Tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa GST adalah cukai regresif."

Beliau juga menambah bahawa walaupun langkah-langkah sedemikian menjaga rakyat Singapura berpendapatan rendah, golongan pertengahan masih "tersepit" oleh kenaikan cukai tersebut.

Encik Leong berkata tidak perlu bagi pemerintah untuk mendapatkan hasil daripada GST, kerana ia mempunyai rizab yang mencukupi untuk digunakan dan juga boleh mengurangkan perbelanjaan dalam bidang-bidangh lain - seperti pembiayaan awam untuk SPH Media Trust, SkillsFuture dan Persatuan Rakyat.

Sumber-sumber Belanjawan yang berjumlah kira-kira 80 peratus daripada sumbangan pulangan pelaburan bersih (NIRC) tidak dibelanjakan pada tahun yang sama, kata Encik Leong, sambil berhujah bahawa ini "tidak digunakan untuk kebajikan rakyat Singapura" tetapi sebaliknya "dikunci melalui beberapa dana dan ... dibelanjakan dalam jangka panjang".

Memetik juga tambahan S$5 bilion kepada dana untuk membangunkan Lapangan Terbang Changi, beliau mempersoalkan: "Mengapa anda harus menggunakan wang ini - yang diperuntukkan untuk meningkatkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Singapura - ke dalam semua projek ini?

"Projek-projek ini adalah projek yang berdaya maju secara komersil. Jadi mereka harus mengumpul dana secara berasingan, bukannya menggunakan wang ini - separuh daripada pendapatan pelaburan daripada rizab - yang diperuntukkan untuk rakyat Singapura."

Selepas bercakap dengan media, pasukannya berkunjung ke kedai-kedai kopi di sekitar kawasan itu untuk berinteraksi dengan pelanggan dan penduduk.

Mereka juga bertemu dengan Anggota Parlimen PAP yang menyelia kawasan Nanyang, Encik Ang Wei Neng, yang juga sedang berkempen di Pusat Penjaja NTI di Jurong West Street 91.

Apabila kedua-dua parti saling bertemu muka, penyokong dari kedua-dua pihak mula bersorak dengan kuat "PSP!", "PAP!", "Tan Cheng Bock!", dan "Ang Wei Neng!"
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita