Skip to main content

Singapura

GE2025: Pemerintah tidak jadi lemah selepas kehilangan beberapa GRC, kata Leong Mun Wai

Pemerintah tidak menunjukkan tanda-tanda ia semakin lemah walaupun kehilangan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dengan menteri-menteri Kabinet dalam beberapa pilihan raya yang lalu, kata setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai pada Khamis (1 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Pemerintah tidak jadi lemah selepas kehilangan beberapa GRC, kata Leong Mun Wai

Leong Mun Wai dari PSP bercakap kepada media di luar Pasar dan Pusat Makanan Boon Lay pada 1 Mei 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)

SINGAPURA: Pemerintah tidak menunjukkan tanda-tanda ia semakin lemah walaupun kehilangan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dengan menteri-menteri Kabinet dalam beberapa pilihan raya yang lalu, kata setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai pada Khamis (1 Mei).

"Adakah pemerintah yang lemah mampu meluluskan atau memaksa pelaksanaan GST pada 2022?" soal beliau, sambil merujuk kepada kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 7 kepada 9 peratus yang diumumkan semasa Belanjawan 2022.

Encik Leong berkata demikian semasa lawatan ke Pasar Boon Lay Place bersama pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast-Jurong West pada hari terakhir berkempen sebelum Hari Mengundi.

Komen beliau adalah sebagai memberi respons kepada Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang berkata semasa rapat pada hari Rabu bahawa kehilangan lebih banyak GRC bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) boleh mencetus keadaan tidak stabil bagi Singapura dan berisiko menyebabkan negara ini "runtuh".

Encik Leong berkata: "PAP telah kehilangan menteri-menteri dan GRC sebelum ini. Adakah itu melemahkan pemerintah dalam beberapa tahun kebelakangan ini atau 10 tahun yang lalu?

"Pemerintah yang kukuh dengan kuasa untuk meminda Perlembagaan - hanya pemerintah sedemikian yang boleh memaksa pelaksanaan GST melalui parlimen," tambahnya.

"Jadi, hujah menteri itu tentang kehilangan beberapa menteri GRC untuk melemahkan pemerintah tidak begitu tepat."

PAP BAWA KEMBALI ONG YE KUNG

Calon PSP dan mantan NCMP Hazel Poa juga memberi respons terhadap kenyataan Encik Ong, sambil menarik perhatian, bahawa Encik Ong kalah dalam pilihan raya 2011 di GRC Aljunied sebagai sebahagian daripada pasukan PAP yang diketuai oleh mantan Menteri Luar George Yeo.

"Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Beliau dibawa kembali dalam pilihan raya seterusnya, di GRC lain," katanya.

Encik Ong dicalonkan di GRC Sembawang pada 2015, di mana beliau dipilih dan kemudian dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Related article image
Tan Cheng Bock dari PSP dalam lawatan ke Pasar dan Pusat Makanan Boon Lay pada 1 Mei 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)
Pasukan PSP untuk GRC West Coast-Jurong West diketuai oleh pengasas parti Tan Cheng Bock, dan dianggotai Encik Leong, Cik Poa dan calon-calon baharu Cik Sumarleki Amjah dan Encik Sani Ismail.

Mereka bertanding menentang pasukan PAP yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, bersama mantan Anggota-Anggota Parlimen Shawn Huang dan Ang Wei Neng, serta calon-calon baharu Cik Cassandra Lee dan Encik Hamid Razak.

Apabila ditanya mengapa Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Lee Hsien Loong memberi lebih banyak tumpuan untuk membidas Parti Pekerja (WP) berbanding PSP, Dr Tan berkata ia menunjukkan kredibiliti partinya.

"Saya fikir mereka mendapati bahawa asas yang kami bina untuk parti ini cukup kukuh," katanya.

Dr Tan menambah bahawa pertembungan langsung yang terhad dengan pemimpin-pemimpin utama PAP adalah "bukti bahawa kami mahu mempunyai persaingan yang adil".

Beliau berkata PSP tidak perlu berteriak untuk menyampaikan pandangannya, walaupun beliau akur berlaku "sedikit" keghairahan yang berlebihan selepas penyokong PSP dan PAP saling berbalas sorakan di sebuah kedai kopi di Jurong West pada Rabu.

Parti itu, katanya, telah membuktikan bahawa ia pembangkang yang "sangat bertanggungjawab" di parlimen, dan Encik Leong serta Cik Poa telah membuktikannya melalui peranan mereka sebagai NCMP sepanjang lima tahun yang lalu.

SAMBUTAN MERIAH DI TAMAN JURONG

Selepas berhenti di Pasar Boon Lay Place, pasukan PSP melawat Pasar dan Pusat Makanan Taman Jurong, di mana sambutan daripada orang ramai jelas lebih meriah.

Pasar itu terletak di Taman Jurong - sebelum ini kawasan itu di bawah penyeliaan mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam sebelum beliau meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Pasukan PSP hampir tidak sempat menghabiskan kopi mereka kerana ramai penduduk mendekati mereka untuk berbual dan bergambar.

Beberapa penduduk menyapa Dr Tan, 85 tahun, manakala yang lain bersalaman dan mengambil swafoto dengan Encik Leong dan Cik Poa.

Dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020, PSP bertanding di GRC West Coast dan hampir menang dengan 48.31 peratus undi, sekali gus memperoleh dua kerusi NCMP sebagai pasukan yang kalah dengan prestasi terbaik.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita