GE2025: Pembangkang yang kukuh boleh tawar pandangan dan idea lebih pelbagai, kata PSP
Para pemimpin Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata kehadiran pembangkang yang kukuh boleh menawarkan pandangan dan idea yang lebih pelbagai.
Tambahan itu, mereka juga menyatakan bahawa rakyat Singapura tidak harus gentar untuk berdebat kerana ia boleh membantu menimbulkan isu-isu yang mungkin tidak dibincangkan sebelum itu.
PSP menyatakan sedemikian semasa mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang mendakwa, Pemerintah boleh menjadi kurang berkesan sekiranya parti pemerintah kehilangan lebih banyak Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
"Saya rasa retorik seperti itu sudah lapuk. Norma baharu (ialah) berdepan dengan rakyat. Berdepan dengan pembangkang. Jawab soalan daripada pihak pembangkang kerana anda menjawab kepada rakyat Singapura. Kami hanya mewakili rakyat yang mengundi kami, iaitu rakyat Singapura. Jadi pihak pemerintah harus menjawab dan jangan menepisnya dengan alasan, "Oh mereka terlalu ramai, kami akan menjadi lemah," kata Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock.
Beliau juga merupakan calon PSP bagi GRC West Coast-Jurong West.
Dr Tan turut menekankan bahawa PSP adalah sebuah parti yang berisi dan sudah melakukan kajian.
PSP tambahnya mahu persaingan yang adil dengan berdebat tentang dasar-dasar.
Menurut calon-calon PSP, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menolak undangannya untuk berdebat mengenai dasar perumahan seperti soal harga, masa menunggu dan pelupusan tempoh pajakan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
"Sebuah pilihan raya tidak boleh dianggap baik jika tiada perbahasan meluas mengenai dasar-dasar. Pemerintah semasa pilihan raya mesti kotakan janji-janjinya kepada rakyat Singapura tentang apa yang akan mereka lakukan dalam tempoh lima tahun akan datang. Huraian yang konkrit," kata Setiausaha Agung PSP, Leong Mun Wai, yang juga merupakan calon parti tersebut bagi GRC West Coast - Jurong West.
"Pemerintah sejauh ini masih berpegang kepada cara-caranya, membuat kenyataan-kenyataan tertentu, tetapi kami dapat lihat bahawa banyak masalah masih belum selesai," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.