Skip to main content

Singapura

GE2025: Pembangkang tidak nyatakan suara alternatif di parlimen 'sudah dijamin', kata Indranee

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Pembangkang tidak nyatakan suara alternatif di parlimen 'sudah dijamin', kata Indranee

Calon PAP bagi GRC Pasir Ris-Changi Indranee Rajah di rapat di Raffles Place, 28 Apr 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 28 Apr 2025 04:20PM Dikemas Kini : 28 Apr 2025 04:22PM
SINGAPURA: Parti-parti pembangkang seringkali menggesa para pengundi supaya menyokong mereka untuk membawa suara-suara alternatif ke parlimen - namun jarang sekali mereka mengakui bahawa suara-suara sedemikian sudahpun "dijamin".

Demikian menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada Isnin (28 Apr).

"Naratif pembangkang adalah: Undi mereka, kerana kita memerlukan suara-suara alternatif di parlimen. Mereka berkata demikian seolah-olah ia adalah pilihan antara dua perkara sahaja, seolah-olah mengundi untuk PAP bermakna tiada suara pembangkang di parlimen," kata beliau.

"Namun itu tidak benar. Apa yang tidak dinyatakan pembangkang adalah suara alternatif di parlimen sudah dijamin, dan PAP (Parti Tindakan Rakyat) yang memastikannya."

Cik Indranee - yang pertama daripada sembilan orang yang berucap rapat tengah hari PAP di Raffles Place - merujuk kepada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang diperkenalkan sebelum Pilihan Raya Umum 1984 untuk memastikan terdapat jumlah minimum anggota pembangkang di parlimen.

Jika kurang daripada 12 anggota pembangkang diundi selepas pilihan raya, "mereka yang kalah" namun dengan peratusan tertinggi dalam kalangan calon pembangkang diisytiharkan sebagai dipilih menjadi NCMP untuk menjadikan jumlah anggota pembangkang di parlimen kepada 12.

Seorang NCMP, yang tidak mewakili mana-mana kawasan undi, layak mengundi bagi semua perkara kecuali Rang Undang-Undang Perbekalan, Rang Undang-Undang Kewangan, pindaan perlembagaan, usul tidak yakin terhadap pemerintah dan usul untuk menyingkirkan presiden daripada jawatan.

"Kami meminda perlembagaan supaya tidak kira apa pun yang berlaku, kita akan sentiasa ada sekurang-kurangnya 12 anggota pembangkang di parlimen, dan parti pembangkang tidak teragak-agak untuk memanfaatkan sepenuhnya kedudukan ini untuk kepentingan mereka," kata Cik Indranee.

"Namun mereka tidak memaklumkannya kepada anda. Pada akhirnya, anda - semua anda rakyat Singapura - andalah yang boleh memutuskan siapa yang dapat ke parlimen dan siapa yang tidak layak. Andalah yang memutuskan siapa AP kawasan undi dan siapa yang bukan AP kawasan undi.

"Sekalipun demikian, penting untuk anda tahu bahawa tidak pernah berlaku keadaan di mana tiada langsung suara alternatif di parlimen. Ia bukan pilihan antara dua keadaan. Namun apa yang lebih penting daripada pembangkang memberikan suara alternatif, adalah suara anda."

TEKANAN KOS "DISEBABKAN FAKTOR LUARAN"

Cik Indranee mengakui bahawa ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai kos sara hidup, sambil menambah bahawa pemerintah PAP akan terus memberikan sokongan selagi perlu.

"Tekanan kos yang kita rasakan sekarang sebahagian besarnya disebabkan faktor luaran. Kami akan terus memberikan sokongan untuk melindungi rakyat Singapura daripada kesan penuh akibat faktor tersebut," ujar beliau, memetik baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar cukai barangan dan perkhidmatan (GST), agihan tunai dan rebat api air.

Meskipun beliau tidak menjelaskan apakah faktor-faktor luaran yang menyebabkan kenaikan kos, Cik Indranee berkata pemerintah sudah menjelaskan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu dinaikkan untuk membiayai kos jagaan kesihatan bagi penduduk yang kian menua.

"Pembangkang menjadikan GST sebagai isu," kata beliau, sambil menambah bahawa pemerintah sudah "melindungi" rakyat Singapura daripada kenaikan GST menerusi Pakej Jaminan, melengahkan kesannya selama 10 tahun bagi golongan berpendapatan rendah dan lima tahun bagi mereka yang berpendapatan pertengahan.

"Sebahagian besar GST dikutip daripada golongan berpendatan tinggi, pelancong dan warga asing, dan pendapatan ini digunakan bagi rakyat Singapura."

Cik Indranee, yang memimpin pasukan empat anggota PAP bagi GRC Pasir Ris-Changi, berkata pemerintah PAP sudahpun menurunkan yuran prasekolah, mempertingkat sokongan bagi keluarga-keluarga besar, dan memberikan "banyak" subsidi bagi pendidikan dan jagaan kesihatan.

"Kami tahu bahawa rakyat Singapura bimbang bahawa bantuan ini mungkin hanya sementara, namun bagi PAP, jaminan kami adalah kami akan memberikan sokongan selagi mana ia diperlukan," kata beliau.

"Namun kami juga faham keinginan anda bagi jaminan bahawa anda boleh mampu mendapatkan keperluan anda sendiri, tanpa sokongan, dan itulah sebabnya mengapa tumpuan utama kami yang lain adalah ekonomi - mencipta pekerjaan dan mencari cara untuk membolehkan anda meraih pendapatan lebih tinggi."

Menurut Cik Indranee pemerintah PAP akan membantu para pelajar mendapatkan latihan amali dan pekerjaan bagi mereka yang baru tamat pengajian, sementara melakukan lebih banyak lagi untuk para pekerja lebih tua, terutama sekali mereka yang kehilangan pekerjaan.

Singapura juga berada di landasan yang betul untuk membina lebih 50,000 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dalam tempoh tiga tahun mendatang, kata beliau, sambil menambah bahawa sistem klasifikasi baharu bagi flat-flat ini akan membantu memastikan ia kekal boleh dimampui.

"Ini hanya sebahagian daripada perkara-perkara yang kami mahu lakukan untuk rakyat Singapura dan untuk Singapura. Perancangan penuh sudah dibentangkan dalam manifesto kami. Dan berbeza dengan apa yang dikatakan sesetengah orang, manifesto kami tidak kurang butiran dan kandungan," ujar beliau, sekali gus menyangkal komen-komen ketua Parti Pekerja Pritam Singh.

"Manifesto kami menyatakan semua yang perlu dinyatakan.Ia menggariskan hasil yang ingin kami capai. Dan ini sudah memadai, kerana rakyat Singapura tahu bahawa jika PAP menjanjikan sesuatu, kami akan melaksanakannya."

Cik Indranee berkata parti-parti pembangkang sudah mencuba untuk meyakinkan rakyat Singapura tentang "mitos" bahawa tidak mengapa untuk mengundi bagi lebih ramai calon pembangkang dan "meraih hasil yang sama".

"itu tidak benar. Anda tidak akan meraih hasil yang sama. Saya percaya anda semua, setiap satu daripada anda yang berdiri di sini, mengetahuinya," kata beliau.

"Kebanyakan anda bekerja di syarikat yang dibangunkan oleh pasukan-pasukan. Kita semua pernah bermain sukan berpasukan. Kita semua pernah bekerja sepasukan bagi projek-projek, dan kita semua tahu jika kita terus menerus mengeluarkan anggota pasukan, anda tidak akan dapat memperoleh hasil yang sama, tidak kira sejauh mana kesungguhan anda mencuba."

Jika pembangkang benar-benar percaya bahawa ia hanyalah angka dan menggantikan mereka yang kalah kepada yang lain, kata beliau, "maka tidak kira calon mana yang dipertandingkan, dan di mana".

"Namun anda boleh lihat bagaimana mereka berhati-hati menyusun pasukan dan divisyen kawasan undi di mana mereka mahu bertanding atau sebaliknya," kata beliau.

"Mereka tahu nilai mempertaruhkan pasukan yang betul di tempat yang betul. Mereka hanya tidak mahu anda memahami sedemikian apabila ia berkait PAP."
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita