Skip to main content

Singapura

GE2025: Peluang belia, kesejahteraan warga emas fokus calon baharu PAP di GRC Jurong East–Bukit Batok

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Apr 2025 07:16PM Dikemas Kini : 01 May 2025 01:02AM

SINGAPURA: Pasukan PAP bagi GRC Jurong East–Bukit Batok meneruskan kempen mereka pagi tadi (29 Apr) dengan melakukan lawatan ke Pusat Penjaja Bukit Batok West.

Pasukan lima anggota yang diketuai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu, itu berdepan cabaran daripada Parti Titik Merah Bersatu (RDU).

Dua muka baharunya, David Hoe dan Lee Hong Chuang, memanfaatkan pengalaman rakan sepasukan untuk lebih mendekati dan memahami keprihatinan penduduk.

Mengulas pengalamannya berkempen sejak enam hari lalu, Encik Lee meluahkan rasa terharu dapat bertemu para penduduk yang menyambut baik kehadirannya.

Related article image
Muka baharu PAP GRC Jurong East–Bukit Batok, Lee Hong Chuang. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

“Saya rasa sangat terharu dapat berkhidmat di sini. Yang penting, kami mempunyai satu pasukan yang saling memanfaatkan pengalaman masing-masing, bekerjasama dan berkongsi sumber. Kami juga saling mengingatkan peranan dan sumbangan terbaik yang boleh diberikan demi penduduk di GRC Jurong East–Bukit Batok,” kongsi Encik Lee kepada BERITA Mediacorp.

Encik Lee, 55 tahun, sebelum ini bertanding di kawasan undi perseorangan Hougang mewakili PAP dalam dua pilihan raya umum yang lalu, namun tewas.

BANTU WARGA EMAS MENUA DENGAN BAIK, PERBANDARAN, PELUANG UNTUK BELIA

Related article image
Muka baharu PAP GRC Jurong East–Bukit Batok, David Hoe (sebelah kanan Cik Rahayu). (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Sementara itu, Encik David Hoe, 37 tahun, yang merupakan Pengarah Kedermawanan di badan amal berdaftar The Majurity Trust, berkata kempen pilihan raya bukan sekadar bertemu penduduk, tetapi turut menjadi ruang untuk memahami keperluan sebenar masyarakat.

"Semasa berkempen ini, sekurang-kurangnya bagi saya, saya dapat mendengar dari penduduk, kegembiraan mereka, pencapaian mereka, dan juga memahami keperitan mereka setakat ini," ujar beliau.

Beliau menambah bahawa hasil perbualan bersama penduduk menunjukkan perlunya perhatian terhadap pelbagai isu setempat.

"Beberapa penduduk telah menghubungi saya untuk mengatakan bahawa, sama ada kita boleh melakukan lebih banyak dari segi isu-isu perbandaran, contohnya membina lif di jambatan, dan juga apa yang boleh kita lakukan untuk menyokong keluarga," katanya lagi.

Related article image
Pasukan PAP di GRC Jurong East–Bukit Batok di Pusat Penjaja Bukit Batok West. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Encik Hoe yang menjaga kawasan undi Clementi turut menyuarakan harapannya untuk membina komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain.

"Clementi akan menjadi tempat di mana keluarga dan masyarakat berbeza boleh berkembang maju. Dan jika mereka mereka memberi saya mandat untuk lima tahun akan datang, saya tidak sabar untuk membina Clementi untuk menjadi satu tempat di mana semua boleh menjaga dan mengambil berat antara satu sama lain," tambahnya.

Beliau menambah bahawa lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk membantu belia meneroka minat mereka, termasuk melalui laluan bukan akademik.

"Bagaimana kita boleh mewujudkan peluang untuk belia kita di Singapura untuk menemui minat mereka, yang mungkin dalam laluan bukan akademik. Dan kerana saya benar-benar percaya bahawa jika kita dapat membangkitkan minat mereka, mereka akan mengejarnya dan bersemangat," kata beliau.

Lebih 142,000 pengundi dijangka akan mengundi di kawasan GRC itu pada 3 Mei ini.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, PAP memperoleh 74.61 peratus undi di GRC Jurong, yang dilihat sebagai kubu kuatnya dan mencatat prestasi terbaik antara semua GRC ketika itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita