Skip to main content

Singapura

GE2025: Pelan penyegaran S$212j diumumkan bagi Majlis Bandaran Chua Chu Kang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Apr 2025 07:19PM Dikemas Kini : 05 Apr 2025 09:48PM
SINGAPURA: Sebuah pelan penyegaran bernilai S$212 juta bagi bandar Chua Chu Kang diumumkan di satu acara kemasyarakatan pada Sabtu (5 Apr), di mana pegawai awam kanan yang baru bersara, Jeffrey Siow, juga dilihat di kawasan tersebut bersama beberapa Anggota Parlimen.

Encik Siow, 46 tahun, mantan setiausaha tetap kedua di Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan adalah pegawai awam berpangkat paling tinggi yang meletak jawatan sejauh ini menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau bersara berkuat kuasa mulai 2 April selepas 24 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
 
Pelan penyegaran bernilai S$212 juta bagi bandar Chua Chu Kang itu termasuk laluan penghubung berbumbung baharu dan tempat berteduh di sekitar kawasan kejiranan.

Selain itu, kira-kira 400 blok perumahan awam terdiri daripada sekitar 40,000 isi rumah akan dicat semula.

Kerja-kerja naik taraf itu dijangka memberi manfaat kepada 8,800 isi rumah di bawah Program Pembaharuan Kejiranan.

Di acara yang sama, para Anggota Parlimen juga menarik perhatian kepada beberapa pembangunan baharu yang dijangka menambah ruang-ruang masyarakat dan meningkatkan ketersambungan bagi para penduduk.

Ini termasuk enam stesen MRT yang baharu di Laluan Daerah Jurong dan pusat penjaja makanan yang mempunyai 700 tempat duduk di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang baharu di Bukit Gombak.

Stesen-stesen MRT baharu di Laluan Daerah Jurong dijadual dibuka mengikut tiga fasa mulai 2027 hingga 2029, manakala CMPB dijangka dibuka secara berfasa mulai tahun ini.

Bercakap kepada media selepas pelancaran pelan induk itu, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata: "Pada masa yang sama, ia bukan sekadar tentang perkakasan, kemudahan dan prasarana, ia juga mengenai sofwe, khidmat sosial serta program.

"Ini sebab mengapa kami juga akan melancarkan banyak program sosial untuk terus membantu penduduk kita, terutama sekali mereka yang mudah terjejas," kata Encik Gan yang juga AP GRC Chua Chu Kang.

Majlis Bandaran Chua Chu Kang mengendalikan lima kawasan di bawah GRC Chua Chu Kang dan SMC Hong Kah North.

Kesemua lima Anggota Parlimen dari dua kawasan undi - Encik Gan, Menteri Negara Kanan Amy Khor dan Low Yen Ling serta Encik Don Wee dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim - turut hadir di acara pelancaran pada Sabtu.

Di bawah sempadan kawasan undi baharu yang diumumkan pada bulan lalu, sebahagian SMC Hong Kah North akan diserapkan ke dalam GRC Chua Chu Kang.

Turut hadir di acara itu adalah ahli akademik universiti, Dr Choo Pei Ling yang dilihat sejak Mac tahun lalu di beberapa acara kemasyarakatan di Marine Parade tetapi baru-baru ini juga dilihat di Chua Chu Kang.

Acara kemasyarakatan pada Sabtu di Keat Hong, di mana Encik Siow dilihat menghadirinya, merupakan acara pertama yang mendapat liputan media sejak beliau bersara.

Bercakap kepada media selepas pelancaran pelan induk itu, Encik Gan berkata rancangan tersebut dilakarkan oleh pasukan Majlis Bandaran Chua Chu Kang, mengambil kira maklum balas oleh para penduduk di sana.

Apabila ditanya oleh Mediacorp jika pelaksanaan pelan itu bergantung kepada kemungkinan anggota PAP sedia ada dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum seterusnya, Encik Gan menekankan sekali lagi bahawa pelan itu dilakarkan oleh pasukan Majlis Bandaran Chua Chu Kang yang sedia ada.

"Jadi ia bergantung kepada siapa... yang bertanggungjawab atas bandar tersebut," kata Encik Gan.

"Dan jika terdapat pasukan yang baharu, pasukan baharu itu mungkin mempunyai idea lain, mereka mempunyai perkara lain yang ingin dilakukan."

MUKA-MUKA BAHARU DI ACARA PELANCARAN

Apabila ditanya oleh pihak media pada Sabtu mengenai motivasi di sebalik kemasukannya yang disebut-sebut ke dalam bidang politik, Encik Siow berkata beliau "hadir pada hari ini hanya untuk melakukan beberapa kerja kemasyarakatan bersama DPM Gan".

"Seperti yang diketahui oleh sesetengah orang, saya baru sahaja bersara daripada perkhidmatan awam.

"Tetapi perkhidmatan awam tetap penting bagi saya. Ia adalah peluang untuk saya terus melakukan perkhidmatan awam dengan cara yang lebih langsung dan secara peribadi," katanya.

Apabila ditanya mengapa beliau memilih Chua Chu Kang khususnya untuk melakukan kerja-kerja kemasyarakatan, beliau berkata beliau lakukan demikian atas undangan Encik Gan.

Beliau juga berkata bahawa beliau dan Dr Choo akan "lakukannya selangkah demi selangkah", dalam jawapan kepada soalan tentang sama ada kedua-duanya akan menjawat sebarang peranan sebagai penasihat akar umbi di kawasan undi itu.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita