GE2025: Pelan penyegaran GRC Pasir Ris-Changi hanya boleh dilaksana dengan sokongan penduduk, kata Indranee Rajah
Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berjanji kepada para penduduk di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Changi bahawa beliau akan mennyegarkan semula bandar itu dan menambah baik ketersambungan pengangkutan, sambil menambah bahawa ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan para penduduk.

Cik Indranee Rajah, yang menerajui pasukan PAP bertanding di GRC Pasir Ris-Changi berucap di rapat pilihan raya PAP di Maktab Rendah Tampines-Meridian pada 28 Apr 2025. (Gambar:CNA/ Raj Nadarajan)
Semasa rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Isnin (28 Apr) yang diadakan di Maktab Rendah Tampines Meridian, beliau juga berkata bahawa pasukannya akan meneruskan rancangan yang dimulakan di bawah Menteri Kanan Teo Chee Hean, yang merupakan Anggota Parlimen GRC tersebut selama 28 tahun.
"Untuk melaksanakannya, kami memerlukan sokongan anda. Kami memerlukan undi anda. Dan di peringkat nasional yang lebih luas, kami memerlukan pasukan kepimpinan yang baik."
Antara rancangan lima tahun PAP untuk kawasan undi itu ialah cara untuk menangani "jurang terakhir" seperti laluan penghubung dan akses tanpa hadangan, kata Cik Indranee.
Turut diusahakan ialah pilihan ketersambungan yang lebih baik – kawasan itu akan mendapat empat stesen MRT baharu dan akan dihubungkan dengan Lapangan Terbang Changi, Punggol dan Jurong melalui MRT.
Selain itu, jejambat Loyang, yang sedang dibina, akan menghubungkan Loyang dan Changi dengan Tampines.
Walaupun PAP mempunyai rancangan untuk menangani kebimbangan seperti kos sara hidup dan pekerjaan di peringkat nasional, pasukannya juga akan meneroka dan menimbangkan pelan-pelan di peringkat tempatan, kata Cik Indranee.
Penceramah lain semasa rapat itu termasuk rakan sepasukan PAP yang bertanding di GRC tersebut. Cik Indranee mengetuai pasukan yang terdiri daripada Encik Desmond Tan, Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Sharael Taha dan muka baharu Valerie Lee.
GRC Pasir Ris-Changi, yang mempunyai 100,639 pengundi, ditubuhkan dengan menggabungkan beberapa daerah di bawah GRC Pasir Ris-Punggol dengan kawasan-kawasan yang terletak bersebelahan di GRC East Coast, selepas sempadan kawasan undi disemak semula.
PAP berdepan dengan pertarungan satu lawan satu menentang pasukan dari Perikatan Demokratik Singapura (SDA) yang terdiri daripada pengerusi parti Desmond Lim, setiausaha agung Abu Mohamed, Encik Harminder Pal Singh dan pendatang baharu Chia Yun Kai.
Semasa rapat tengah hari PAP di Raffles Place pada Isnin (28 Apr), Cik Indranee bersuara menentang idea bahawa mengundi parti pembangkang adalah perlu untuk membawa suara alternatif ke dalam Parlimen.
Beliau berkata bahawa suara-suara sedemikian sudah "terjamin", merujuk kepada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), di mana "calon pembangkang dengan prestasi terbaik" diisytiharkan sebagai NCMP jika kurang daripada 12 anggota pembangkang diundi masuk Parlimen.
MENGAMBIL ALIH DARIPADA TEO CHEE HEAN
Cik Indranee telah berpindah dari GRC Tanjong Pagar di mana beliau telah berkhidmat di sana selama 24 tahun untuk menerajui pasukan PAP di GRC Pasir Ris-Changi.
Ini selepas Encik Teo, mantan menteri utama di GRC Pasir Ris-Punggol, mengumumkan persaraannya daripada politik selepas 33 tahun berkhidmat.
Encik Teo telah menjadi Anggota Parlimen di GRC Pasir-Ris Punggol sejak 1997.
Encik Teo turut berucap di rapat PAP pada Isnin malam, begitu juga Dr Maliki Osman, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang bekas kawasan undinya di GRC East Coast telah dijadikan sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Changi menyusuli semakan pada sempadan kawasan undi baru-baru ini.
Kedua-dua Encik Teo dan Dr Maliki tidak akan dalam pilihan raya kali ini, yang akan berlangsung pada Sabtu (3 Mei).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.