Skip to main content

Singapura

GE2025: Pelan 5 tahun GRC Marine Parade sedang diusahakan, kata Dr Tan See Leng

Rancangan lima tahun bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade masih sedang diusahakan, menurut Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga merupakan salah seorang daripada Anggota Parlimen GRC itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Mar 2025 09:45PM Dikemas Kini : 23 Mar 2025 09:55PM
SINGAPURA: Rancangan lima tahun bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade masih sedang diusahakan, menurut Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga merupakan salah seorang daripada Anggota Parlimen GRC itu.

Pelan tersebut merangkumi rancangan bagi kawasan Joo Chiat, yang akan menjadi sebahagian daripada GRC East Coast berikutan perubahan pada sempadan kawasan undi.

Dr Tan berkata Joo Chiat akan terus meraih manfaat daripada prasarana yang dipertingkat.

Menyusuli semakan terhadap sempadan kawasan undi baru-baru ini juga,
timbul tanda tanya mengenai kawasan undi mana yang akan diwakili anggota Parlimen Joo Chiat, Encik Edwin Tong.

Bercakap kepada pihak media, Encik Tong berkata sukar bagi beliau untuk meninggalkan pasukannya setelah bekerjasama dengan mereka selama dua penggal.

"Saya sudah bertemu dengan pasukan East Coast dan kami juga sudah mula melakarkan rancangan mengenai apa yang kami akan lakukan untuk East Coast, memandangkan Joo Chiat akan menjadi sebahagian daripada East Coast," kata beliau.

Walaupun ada perubahan, Encik Tong dan Dr Tan memberi jaminan bahawa kerja-kerja peningkatan bagi kedua-dua kawasan akan terus dilaksanakan.

"Saya bayangkan bahawa semua langkah itu akan diteruskan dan dikekalkan. Dari segi ekonomi skala dan skop, kami berdua sudah bekerjasama dan memahami gaya kolektif kami dan sebagainya, akan menjadikannya lebih mudah dan lebih lancar," kata Dr Tan.

"Semoga anda boleh memikirkan Marine Parade dan East Coast berganding bahu dan benar-benar memacu sinergi, integrasi dan asimilasi yang lebih luas," tambahnya.

Pada masa yang sama, beberapa muka baharu turut dilihat bertemu penduduk bersama pasukan itu pada awal Sabtu (22 Mac).

Seorang sukarelawan, Hazlina Abdul Halim, yang juga merupakan Naib Presiden Kanan Teneo, iaitu sebuah syarikat penasihat perniagaan, berkata, "Bagi saya, sebagai seorang yang menjadikan aktiviti kesukarelawanan itu sebagai satu perkara yang penting, saya terus terdorong untuk membantu dan InsyaAllah jika diberi peluang, saya berharap untuk terus membantu keluarga, kanak-kanak mahupun wanita kerana apakah Singapura itu tanpa rakyat yang saling membantu dan saling membina."

Menurut beliau, masa depan adalah "milik kita bersama".

Dr Choo Pei Ling, yang juga Penolong Profesor Kelompok Kesihatan dan Sains Sosial pula berkata:"Perkara penting adalah kami sentiasa bersedia untuk mendengar, untuk memahami dan untuk membantu mereka apabila perlu. Jadi, itu tidak akan berubah walau apa pun."

Dalam pada itu, Dr Tan turut berkata walaupun barisan calon parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade-Braddell Heights masih belum dimuktamadkan, bakal calon mempunyai ciri serba boleh dan dapat menyesuaikan diri, tidak kira di mana mereka dikerahkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita