GE2025: Pasukan PAP West Coast–Jurong West tawar gabungan calon muda dan berpengalaman, kata Desmond Lee
Sebagai Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Tan Cheng Bock, 85 tahun, telah banyak menyumbang kepada Singapura dan kawasan Ayer Rajah yang diwakilinya selama bertahun-tahun, kata Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee, pada Ahad (20 Apr).

Muka baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Hamid Razak (tengah), dan Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee (kanan), berinteraksi bersama hadirin di acara “Bringing Jobs to Your Doorstep” anjuran e2i di Kelab Masyarakat Boon Lay pada 20 April 2025. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)
Sambil menambah bahawa beliau menghormati pencapaian Dr Tan, Encik Lee berkata beliau tetap berharap dapat menawarkan kepada penduduk yang tinggal di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast–Jurong West, gabungan calon-calon muda dan yang lebih berpengalaman “bagi menangani cabaran baharu yang bakal dihadapi dalam tahun-tahun mendatang”.
Encik Lee berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai pengasas Parti Kemajuan Singapura (PSP) itu, yang akan bertanding di GRC West Coast–Jurong West dalam pilihan raya umum pada 3 Mei, menentang pasukan yang diketuai beliau.
Dr Tan, yang pertama kali dipilih menjadi Anggota Parlimen pada 1980 sebagai anggota PAP, berkhidmat di kawasan tersebut selama 26 tahun sebelum mengundurkan diri pada 2006. Dr Tan berkata pada Ahad bahawa pilihan raya kali ini berkemungkinan besar adalah yang terakhir baginya.
“(Dr Tan) telah membawa banyak manfaat kepada penduduk, dan saya serta pasukan saya menghormati usaha dan sumbangan beliau kepada Singapura dan juga kepada Ayer Rajah,” kata Encik Lee.
Beliau bercakap kepada media di luar pelancaran pameran pekerjaan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Kelab Masyarakat Boon Lay, di mana beberapa soalan berkaitan pasukan PSP yang akan bertanding di kawasan tersebut turut dikemukakan.
Parti pembangkang itu turut mengumumkan barisan calonnya bagi GRC berkenaan pada Ahad. Selain Dr Tan, senarai tersebut juga merangkumi Setiausaha Agung Leong Mun Wai, Naib Pengerusi Hazel Poa, serta dua muka baharu – Sani Ismail dan Sumarleki Amjah.
Dr Tan, Encik Leong dan Cik Poa sebelum ini merupakan sebahagian daripada pasukan PSP yang kalah tipis kepada PAP dalam GE2020 di GRC West Coast.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan pertandingan semula antara PSP dengan PAP dalam pilihan raya kali ini, Encik Lee berkata calon-calon dari kedua-dua pihak merupakan “tokoh yang sudah dikenali” dan telah berinteraksi dengan satu sama lain sejak bertahun-tahun, sama ada di parlimen mahupun dalam masyarakat.
“Kami saling mengenali. Kami telah berinteraksi sepanjang beberapa tahun lalu di parlimen, dan juga dalam masyarakat,” kata Encik Lee.
Beliau menambah: “Perkara ini sudah pun diketahui rakyat Singapura. Jadi ini bukan isu ketidaktentuan menjelang Pilihan Raya Umum kali ini. Malah, saya rasa lebih baik beri peluang kepada rakyat untuk membuat keputusan.”
GRC tersebut, yang dahulunya dikenali sebagai West Coast, merupakan antara kawasan undi yang paling sengit dipertandingkan dalam GE2020. Ketika itu, PAP menang dengan 51.69 peratus undi, manakala PSP berjaya meraih dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) bagi Encik Leong dan Cik Poa.
Pada Ahad, Encik Lee juga diiringi muka baharu Dr Hamid Razak, yang diperkenalkan awal minggu ini sebagai sebahagian daripada pasukan PAP yang akan bertanding di GRC West Coast–Jurong West untuk Pilihan Raya Umum akan datang.
Senarai lima anggota itu turut merangkumi muka baharu, peguam Cassandra Lee, Setiausaha Parlimen Kanan Shawn Huang, serta mantan Anggota Parlimen GRC West Coast, Ang Wei Neng.
Kawasan undi berkenaan telah melalui perubahan sempadan yang ketara susulan semakan terbaru peta pilihan raya.
Ia kini merangkumi sebahagian daripada kawasan Jurong West dan Taman Jurong, bagi mewujudkan nama baharu – GRC West Coast–Jurong West. Jumlah pengundi berdaftar di kawasan itu kini meningkat kepada 158,581 orang.
TANGANI KEPRIHATINAN BERKAITAN PEKERJAAN DI WEST COAST
Di acara “Bringing Jobs to Your Doorstep” anjuran e2i, Menteri Desmond Lee bertemu pihak berkepentingan masyarakat, menandatangani memorandum untuk membantu para pekerja Singapura, dan menyantuni pencari kerja dari kawasan tersebut.
Selain Dr Hamid Razak, muka baharu PAP yang juga merupakan seorang aktivis kesatuan sekerja, Natasha Choy, turut kelihatan di acara tersebut sebagai tetamu.
Acara itu bertujuan memudahkan akses penduduk di GRC kepada sumber berkaitan pekerjaan dan peningkatan kemahiran dengan menyediakan sokongan yang diperlukan ke kawasan kejiranan itu. Lebih 3,500 jawatan kosong ditawarkan sepanjang pameran tersebut.
Berkenaan hal tersebut, Encik Lee mengatakan pasukannya komited untuk meneruskan dan mengembangkan inisiatif “Jobs @ West Coast”. Beliau menambah bahawa isu pekerjaan merupakan antara kebimbangan utama penduduk semasa Pilihan Raya Umum lalu.
Program itu diwujudkan untuk membantu pekerja pertengahan usia dan lebih tua dalam sektor-sektor yang terdedah kepada perubahan pasaran, yang bimbang tentang jaminan pekerjaan, dan juga penduduk muda yang risau akan masa depan kerjaya mereka selepas tamat pengajian di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Kecerdasan buatan (AI) turut menjadi kebimbangan yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat.
AI adalah alat yang hebat kata Encik Lee, sambil menambah bahawa teknologi itu menjanjikan "begitu banyak peluang", tetapi juga menimbulkan keresahan yang ketara.
Beliau berkata keresahan itu bukan sahaja dirasai oleh “pekerja barisan hadapan”, tetapi semakin dirasai oleh golongan profesional dan graduan muda.
Dr Hamid pula menekankan bahawa isu pekerjaan bukan sekadar soal perangkaan, tetapi berkait rapat dengan maruah, harga diri dan peluang bagi rakyat.
Kata beliau, inisiatif sedemikian boleh membawa peluang secara langsung ke tempat tinggal penduduk, agar mereka dapat mengakses peluang pekerjaan serta kemudahan bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Pada akhirnya, kata Dr Hamid, hubungan yang dibina dan “kepercayaan mendalam” yang dijalin dengan penduduk sepanjang beberapa tahun dapat membantu mereka mengenal pasti keperluan sebenar dan menggunakan sumber dengan lebih berkesan.
Selain inisiatif tersebut, Encik Lee turut mengumumkan bahawa pasukannya akan melancarkan manifesto masyarakat bagi GRC West Coast–Jurong West dalam masa terdekat, yang akan merangkumi komitmen masa lalu, usaha sedia ada dan pelan baharu.
Tanpa mendedahkan butirannya, beliau berkata manifesto itu akan merangkumi penambahbaikan estet serta usaha untuk membawa inisiatif nasional seperti ComLink dan kursus SkillsFuture dengan lebih berkesan ke peringkat akar umbi.
Encik Lee menambah bahawa PSP mungkin mempunyai idea dan saranan tersendiri di peringkat nasional dan tempatan, dan beliau tidak sabar untuk melihatnya, sambil menambah bahawa para penduduk boleh membandingkannya dengan idea serta rancangan PAP.
“Saya percaya ini akan membolehkan para pengundi membuat keputusan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.