GE2025: Pasukan PAP pimpinan Desmond Lee akan berdepan Tan Cheng Bock dan PSP
Atas, kiri: Pasukan PAP Ang Wei Neng, Hamid Razak, Desmond Lee, Cassandra Lee dan Shawn Huang. Bawah, kiri: Pasukan PSP Leong Mun Wai, Sani Ismail, Tan Cheng Bock, Sumarleki Amjah dan Hazel Poa. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Calon daripada kedua-dua parti berjaya memfailkan borang pencalonan mereka di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Rabu (23 Apr).
Pengerusi PSP Tan Cheng Bock, Setiausaha Agung Leong Mun Wai dan Naib Pengerusi pertama Hazel Poa – kesemua sebahagian daripada pasukan yang hampir mengalahkan PAP pada 2020 – akan kembali bertanding. Menyertai mereka ialah muka baharu Sani Ismail dan Sumarleki Amjah.
Mereka akan berdepan dengan pasukan PAP yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee. Pasukan PAP itu termasuk mantan Anggota Parlimen West Coast Ang Wei Neng, mantan AP GRC Jurong Shawn Huang dan dua calon baharu – pakar bedah ortopedik Hamid Razak dan peguam Cassandra Lee.
"Terima kasih kerana memberi kami kesempatan untuk berkhidmat kepada anda sejak lima tahun lalu," kata Encik Lee, ketika berucap kepada orang ramai di Sekolah Tinggi Nan Hua, dengan penyokong PAP bersorak dan mengibarkan bendera parti.
"Kami di sini untuk berkhidmat kepada anda dan kami memohon sokongan anda bagi tempoh lima tahun akan datang, untuk menjaga estet anda dan terus berkhidmat kepada anda selama lima tahun seterusnya."
"Kami bersedia untuk berkhidmat kepada anda sekali lagi," kata Dr Tan, memulakan ucapannya dengan sorakan daripada penyokong yang berpakaian serba merah.
Berucap kepada orang ramai dalam Bahasa Mandarin, Cik Poa menyeru pesaing PSP supaya "berdebat dengan telus".
"Kami berterima kasih atas sokongan padu anda," kata Encik Leong, sambil menyatakan bahawa sempadan kawasan undi telah berubah tetapi pasukan itu tidak patah semangat.
"Kami mempunyai manifesto yang kukuh, dengan banyak dasar untuk membantu rakyat Singapura meraih kehidupan yang lebih baik."
Pada 2020, GRC itu menyaksikan persaingan yang sengit. PAP mempertahankan GRC West Coast dengan 51.69 peratus undi, manakala PSP memperoleh dua kerusi AP Tanpa Kawasan Unid (NCMP) sebagai pasukan kalah yang mencetatkan prestasi terbaik.
Pasukan PAP telah menyaksikan perubahan ketara. Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, AP West Coast sejak 1997, meletak jawatan pada Januari 2024 selepas didakwa atas tuduhan rasuah. AP Foo Mee Har dan Rachel Ong juga tidak akan bertanding di GRC tersebut.
Sebelum 2020, GRC West Coast secara tradisinya menjadi kubu kuat PAP sejak ia ditubuhkan pada 1997. Pada Pilihan Raya Umum 2015, PAP memenangi 78.57 peratus undi menentang Parti Reform. Pasukan PAP dengan empat anggota diterajui Iswaran adalah antara pasukan PAP yang mencatatkan prestasi terbaik pada tahun itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.