GE2025: Parti Rakyat Singapura sahkan barisan calon bagi GRC Bishan-Toa Payoh, tampilkan dua muka baharu
Parti Rakyat Singapura (SPP) pada Selasa (22 Apr) mengesahkan barisan calonnya bagi Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).
Parti Rakyat Singapura (SPP) perkenal calon berpotensi bagi GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir. (Dari kiri) Encik Williiamson Lee, pengerusi parti Melvyn Chiu, ketua parti Steve Chia, Encik Muhammad Norhakim dan Encik Lim Rui Xian, di Toa Payoh pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Mereka ialah: Setiausaha Agung SPP, Steve Chia; Pengerusi parti, Melvyn Chiu; serta dua muka baharu, Encik Muhammad Norhakim, seorang eksekutif operasi; dan Encik Lim Rui Xian, yang bekerja sendiri.
Encik Chia turut mengesahkan bendahari SPP, Williamson Lee, sebagai calon parti itu bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Potong Pasir.
Parti tersebut, semasa pelancaran manifestonya pada Sabtu, memperkenalkan lima calon bagi kedua-dua kawasan undi - kumpulan yang pernah mewakili parti itu dalam pilihan raya lalu - tetapi ia tidak menyatakan di mana mereka akan bertanding.
Dalam pilihan raya 2020 (GE2020), pasukan SPP yang terdiri daripada Encik Chia, 55; Encik Chiu, 46; Encik Lee, 46; dan mantan anggota parti Osman Sulaiman, meraih 32.77 peratus undi, kalah kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Pertahanan ketika itu, Dr Ng Eng Hen.
Bagi pilihan raya akan datang, barisan SPP akan menentang pasukan PAP yang tidak lagi diterajui Dr Ng, yang sudah mengumumkan persaraannya daripada politik.
Pasukan PAP itu sebaliknya akan diketuai Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat. Encik Saktiandi Supaat dan dua muka baharu, iaitu pengarah badan amal Elysa Chen dan usahawan sosial Cai Yinzhou, melengkapkan pasukan empat anggota tersebut.
GRC Bishan-Toa Payoh mempunyai 98,505 pengundi berdaftar. Ia merupakan salah satu daripada lima GRC yang mengekalkan sempadan kawasannya dalam laporan terkini Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC).
Ini merupakan kali keenam Encik Chia bertanding dalam Pilihan Raya Umum. Beliau pernah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari 2001 hingga 2006. Beliau memperoleh kerusi itu selepas bertanding di SMC Chua Chu Kang di bawah gabungan Perikatan Demokratik Singapura (SDA).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.