Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Parti pembangkang lebih kecil SG sudah tetapkan kawasan undi untuk bertanding

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Parti pembangkang lebih kecil SG sudah tetapkan kawasan undi untuk bertanding

(Gambar: Facebook/Singapore Democratic Alliance)

Diterbitkan : 24 Feb 2025 02:19PM Dikemas Kini : 24 Feb 2025 04:27PM
SINGAPURA: Parti-parti politik lebih kecil di Singapura sudah mengenal pasti kawasan undi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, meskipun sempadan kawasan undi masih lagi dilakar dan tarikh pilihan raya belum diumumkan.

Parti-parti itu juga menyatakan barisan calon sudah dipilih, namun mereka akan hanya diumumkan menjelang Hari Penamaan Calon.

Landskap politik Singapura sudah berubah sejak GE 2020, yang menyaksikan jumlah terbanyak parti pembangkang yang bertanding, iaitu sebanyak 11.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang pilihan raya itu dan membentuk pemerintah dengan meraih 61.24 peratus undi. Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) muncul sebagai satu-satunya parti pembangkang yang menang kerusi di Parlimen, manakala Parti Demokratik Singapura (SDP) mencatat sedikit kemajuan selepas menampilkan dua pemimpin paling kanannya di kawasan undi perseorangan.

Tujuh parti lain memperoleh kurang daripada 13 peratus undi.

Pada Jun 2023, Suara Rakyat (PV), Parti Reform (RP), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP) membentuk Perikatan Rakyat (PAR), sebuah perikatan yang didaftarkan secara rasmi.

Namun, pada lewat Sabtu (22 Feb), PPP mengumumkan ia telah berundur daripada perikatan tersebut.

Setiausaha Agung perikatan itu, Lim Tean, berkata parti-parti lain tidak bersetuju dengan keputusan PPP untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Tampines dalam GE akan datang.
Sebuah lagi pakatan tidak rasmi yang dipanggil 'The Coalition' juga dibentuk pada Oktober 2023, terdiri daripada empat parti lain: Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Red Dot United (RDU) atau Titik Merah Bersatu, Parti Rakyat Singapura (SPP) dan Parti Bersatu Singapura (SUP).

PEMILIHAN KAWASAN UNDI

Setiausaha Agung SUP Andy Zhu berkata parti-parti dalam perikatan The Coalition, tidak akan bertanding dalam kawasan undi yang sama.

"Tetapi dengan parti-parti lain, ia perkara yang berbeza."

Partinya memilih GRC Ang Mo Kio dan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yio Chu Kang dan SMC Kebun Baru.

SPP pula dilihat membuat lawatan di GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir sejak 2020.

Setiausaha Agung pertama SPP, ahli politik pembangkang veteran Chiam See Tong berkhidmat sebagai Anggota Parlimen dari 1984 hingga 2011.

Sementara itu, Setiausaha Agung RDU, Ravi Philemon berkata, partinya akan meletakkan calon di GRC Jurong. Ia juga sudah menghantar pasukannya untuk menemui penduduk di kawasan lain seperti GRC Nee Soon.

"Kami akan meletakkan sekurang-kurangnya 12 calon dan bertanding di sekurang-kurangnya empat kawasan undi," katanya.

Catatan media sosial menunjukkan sukarelawan RDU juga melawat GRC Tanjong Pagar dan SMC Kebun Bahru dan SMC Radin Mas.

Dalam pada itu, NSP sedang meninjau GRC Tampines dan GRC Sembawang, menurut En Zhu.

Encik Lim, Setiausaha Agung PAR, menerusi catatan Facebook pada 12 Feb berkata bahawa pakatan itu akan bertanding di "banyak kawasan undi termasuk GRC Jalan Besar, GRC Tanjong Pagar, GRC Nee Soon, SMC Potong Pasir, SMC Mountbatten, SMC Radin Mas, SMC Yio Chu Kang dan SMC Kebun Bahru".

"Kami akan mengemukakan gabungan pasukan di kawasan undi kecuali SMC. Jadi tiada kawasan undi dikhususkan untuk mana-mana parti,” kata Encik Lim kepada Mediacorp, yang juga ketua PV.

Dia dijatuhi hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000 minggu lalu kerana menjalankan kerja-kerja guaman tanpa sijil yang sah.

Sebelum meninggalkan perikatan PAR, ketua PPP Goh Meng Seng memberitahu Mediacorp bahawa partinya sudah menetapkan GRC Tampines dan GRC Nee Soon, serta SMC Yio Chu Kang. Encik Goh mengesahkan hasrat partinya untuk bertanding di Tampines.

Selain dua perikatan terbaru tersebut, Perikatan Demokratik Singapura (SDA), yang terdiri daripada Parti Keadilan Singapura (SJP) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) meneruskan usahanya sejak 2015 untuk merebut GRC Pasir Ris-Punggol.

ELAK PERSAINGAN BERBILANG PENJURU

Berdasarkan hasrat yang kongsi parti-parti tersebut, beberapa GRC dan SMC mungkin akan menghadapi persaingan berbilang penjuru pada pilihan raya tahun ini.

Dalam pilihan raya umum 2020, pemimpin-pemimpin parti pembangkang tidak mengadakan membincangkan percaturan kawasan undi untuk menyelesaikan konflik. Sebaliknya, mereka cuba menyelesaikannya secara bersemuka atau dalam kumpulan kecil.

Ini menyebabkan persaingan tiga penjuru di GRC Pasir Ris-Punggol antara PAP, PV dan SDA.

Menurut ketua SDA Desmond Lim, tujuan parti pembangkang bekerjasama secara umumnya adalah untuk mendapatkan komitmen semua pihak bagi meletakkan calon dalam semua kawasan undi.

"Memang baik kalau dapat mengelakkan persaingan tiga penjuru, tetapi akhirnya kami tidak boleh menghalang apa yang ingin dilakukan parti lain," katanya.

Encik Zhu dari SUP berkata partinya "tidak ingin letak calon secara sembarangan dan masuk kawasan parti lain".

"Jika parti lain telah mengambil masa dan usaha bertemu penduduk di kawasan tersebut, maka anda perlu fikirkan sama ada wajar kita ke kawasan undi itu juga."

Encik Goh dari PPP akur bahawa penyokong pembangkang tidak mahu melihat berlakunya persaingan berbilang penjuru.

Namun, pada masa yang sama, beliau melihat persaingan sedemikian sebagai perkembangan "demokrasi" yang positif.

CALON SUDAH DIKENAL PASTI

Apabila ditanya tentang usaha merekrut anggota, Encik Lim Tean dari PAR berkata perikatan itu mempunyai "sejumlah besar calon baharu".

Anggota 'The Coalition' juga merancang untuk berkongsi sumber, termasuk dalam mengemukakan calon, kata Encik Zhu, dengan parti SUP mempunyai 20 anggota yang terdiri daripada golongan profesional dan pekerja kolar biru.

Ia mungkin melibatkan anggota parti terpaksa meletak jawatan untuk menyertai parti lain, yang pernah dilakukan pada pilihan raya sebelum ini.

RDU sudah menyenaraikan 20 calon pada Februari tahun lalu dan sudah melatih mereka sejak itu, kata Encik Philemon, sambil mengesahkan bahawa partinya akan memperkenalkan wajah-wajah baharu dalam persaingan akan datang.

Sementara itu, Encik Lim dari SDA berkata perikatannya kini mempunyai kira-kira 1,000 anggota.

"Kami mempunyai kumpulan yang berdedikasi melibatkan lebih 30 anggota aktif. Bagaimanapun, apabila musim pilihan raya tiba, jumlah ini meningkat kepada sekurang-kurangnya 200 anggota yang kemungkinan besar akan mengambil cuti dan mengambil bahagian secara aktif dalam kempen pilihan raya."

Encik Lim berkata SDA sedang berusaha untuk meminda perlembagaannya bagi membolehkan anggota bersekutu menyertai parti itu.

"Mereka merupakan anggota yang sudah menjadi sebahagian daripada parti lain, tetapi boleh menyertai SDA tanpa perlu meletak jawatan dari parti mereka," katanya.

Skim itu juga akan memberi tumpuan kepada calon bebas, tambah Encik Lim.

MASA DEPAN PARTI PEMBANGKANG KECIL

"Memilih awal kawasan undi untuk bertanding adalah cara mudah bagi parti-parti pembangkang untuk bekerjasama, kerana tiada parti yang mempunyai cukup calon untuk bertanding dalam semua kawasan undi," katanya.

Namun, pada masa yang sama ia boleh menyebabkan berlakunya persaingan berbilang penjuru, terutamanya di mana sokongan untuk parti-parti lebih besar adalah lebih kurang sama, dan setiap undi penting untuk meraih kemenangan, katanya.

"Beberapa parti dengan platform konservatif juga boleh mengalihkan undi daripada PAP," tambah Prof Madya Chong.

Namun, WP dan PSP mempunyai kelebihan berbanding parti-parti lebih kecil, kerana kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai kerusi di Parlimen, katanya.

"Mereka mempunyai peluang untuk menunjukkan kepada pengundi dengan lebih jelas apa yang mereka perjuangkan dan disokong pengundi. Kehadiran mereka di lapangan, terutamanya WP, menunjukkan bahawa mereka boleh mengendalikan isu dengan cekap," kata Prof Madya Chong.

Ini menjadikannya lebih sukar bagi parti-parti kecil bertanding di kawasan undi yang sama dengan PSP dan WP, kerana kedua-dua parti itu mungkin akan menjadi pilihan utama bagi pengundi yang mencari parti selain PAP, katanya.

Profesor Madya Bilveer Singh dari NUS memberitahu Mediacorp bahawa parti-parti kecil juga perlu memberi tumpuan penuh kepada usaha membentuk identiti masing-masing.

"Ini adalah perbincangan penting bagi mereka, terutamanya menjelang pilihan raya umum di mana generasi keempat PAP baru sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan, dan pengundi muda membentuk sebahagian besar pengundi," katanya.

Pakar sains politik itu menambah bahawa parti pembangkang Singapura harus menetapkan matlamat untuk membentuk salah satu daripada dua kumpulan politik utama dalam landskap politik negara - dengan satu lagi kumpulan adalah PAP.

"Mereka perlu melakukannya bersama-sama, mempunyai satu ketua, satu manifesto dan satu musuh," kata Prof Madya Singh.

"Sehingga itu berlaku, hujah PAP masih kekal bahawa mereka adalah satu-satunya yang boleh memerintah Singapura, kerana pembangkang tidak dapat mengetengahkan isu-isu dengan satu suara."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan