Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Parti pembangkang dijangka terus ganding bahu tentang PAP, kata penganalisis

Sudah genap sebulan sejak Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) mengeluarkan laporan dan melakarkan semula peta kawasan undi di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Apr 2025 07:35PM Dikemas Kini : 11 Apr 2025 09:41PM
SINGAPURA: Sudah genap sebulan sejak Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) mengeluarkan laporan dan melakarkan semula peta kawasan undi di Singapura.

Dalam pada itu, parti-parti pembangkang juga sudah menyuarakan hasrat untuk bertanding di kawasan-kawasan undi tertentu di merata negara.

Para penganalisis menjangkakan, parti-parti pembangkang akan terus berganding bahu bagi mengelakkan persaingan berbilang penjuru.

Di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu yang baharu dibentuk, tiga parti pembangkang termasuk Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Titik Merah Bersatu (RDU) - telah menyuarakan hasrat untuk bertanding di situ.

Situasi yang sama boleh dilihat di kawasan-kawasan lain di Singapura.

DI TENGAH SINGAPURA

Di kawasan tengah Singapura, selain Jalan Kayu, beberapa parti muncul di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir.

Kedua-dua perikatan PAR dan Parti Rakyat Singapura (SPP) menunjukkan minat terhadap kawasan undi tersebut.

PAR juga mahu bertanding di SMC Kebun Baru, Yio Chu Kang dan Marymount.

Parti Demokratik Singapura (SDP) pula sudah lama aktif di GRC Holland-Bukit Timah dan SMC Bukit Panjang. Bagaimanapun parti Titik Merah Bersatu (RDU) turut melancarkan kempennya di GRC berkenaan.

Hal itu menimbulkan kemungkinan berlakunya persaingan tiga penjuru sekiranya SDP berjaya mendapatkan calon bagi GRC tersebut.

Di GRC Ang Mo Kio pula, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Bersatu Singapura (SUP) sudah mengeluarkan isyarat bahawa parti mereka mahu bertanding di kawasan berkenaan.

Setakat ini, SUP dan PPP gagal mencapai kesepakatan tentang pihak yang mana yang seharusnya mengundur diri.

"Saya rasa apa yang dilakukan oleh parti-parti berbeza sekarang adalah untuk menyatakan hasrat mereka dahulu, dan ia boleh membantu mereka mendapat idea tentang apa yang difikirkan satu sama lain dari segi kawasan di mana mereka ingin bertanding dalam strategi mereka," kata Dr Teo Kay Key, Zamil Kajian di Institut Kajian Dasar (IPS).

DI TIMUR SINGAPURA

Di kawasan timur pula, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijangka berdepan dengan Parti Pekerja (WP) di beberapa kawasan undi.

Ini termasuk kawasan WP seperti Sengkang, Aljunied dan Hougang.

WP turut aktif di GRC East Coast, Punggol, Tampines dan Marine Parade-Braddell Heights, di mana persaingan berbilang penjuru dijangkakan bagi kebanyakan kerusi.

Bagi Tampines, persaingan empat penjuru berpotensi berlaku antara PAP, WP, PPP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP).

NSP dan PPP juga berhasrat untuk bertanding di SMC baharu - Tampines-Changkat.

Perikatan Demokratik Singapura (SDA) pula ingin bertanding di GRC Punggol dan Pasir-Ris Changi, manakala persaingan tiga penjuru dijangkakan di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa, Solaris Strategies SG, Dr Mustafa Izzudin berkata, "Mereka mungkin mempunyai sedikit sebanyak perbezaan dalam dasar mereka, tetapi persamaan antara parti-parti pembangkang adalah mahu memeriksa parti memerintah. Dan saya rasa, kerjasama pihak pembangkang ke arah matlamat yang sama mungkin mendorong mereka berganding bahu dan mengelakkan persaingan pelbagai penjuru."

Setakat ini, beberapa parti sudah mula bekerjasama, dengan PPP berundur dari GRC Nee Soon bagi memberi laluan kepada RDU bersaing dengan PAP.

DI UTARA SINGAPURA

Di kawasan utara, SDP sudahpun melancarkan 'strategi utara' bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ini mungkin menimbulkan persaingan tiga penjuru di SMC Sembawang West, GRC Sembawang dan GRC Marsiling-Yew Tee antara SDP, NSP dan PAP.

DI BARAT SINGAPURA

Di barat Singapura pula, Parti Kemajuan Singapura (PSP) cukup aktif di GRC West Coast-Jurong West, dan sudahpun menyuarakan hasrat bertanding di GRC Choa Chu Kang.

Pertembungan antara relawan PSP dengan PAP tercetus di Bukit Gombak sebelum ini, namun tidak pasti sama ada PSP akan akhirnya bertanding di situ.

PAP dijangka bersaing dengan RDU di SMC Jurong Central dan GRC Jurong East-Bukit Batok.

Belum ada petanda jelas berkenaan parti pembangkang mana yang akan bertanding di SMC Pioneer sejauh ini.

SMC itu pernah menyaksikan persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

DI SELATAN SINGAPURA

Di kawasan selatan pula, PAR menyatakan hasratnya untuk bertanding di beberapa kawasan undi, termasuk SMC Mountbatten dan Queenstown.

Situasinya agak berbeza di kawasan lain.

PAR mungkin berdepan dengan RDU di GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas.

PAR dan NSP juga ingin bertanding di GRC Jalan Besar.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan