Skip to main content

Singapura

GE2025: Parti Kuasa Rakyat berundur daripada Perikatan Rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Parti Kuasa Rakyat berundur daripada Perikatan Rakyat

(Gambar: CNA/ Anne-Marie Lim)

Diterbitkan : 23 Feb 2025 10:40AM Dikemas Kini : 23 Feb 2025 10:42AM
SINGAPURA: Parti Kuasa Rakyat (PPP) telah berundur daripada Perikatan Rakyat (PAR), iaitu satu perikatan yang merangkumi empat parti pembangkang, menurut Setiausaha Agung PPP Goh Meng Seng pada Sabtu (22 Feb).

Empat parti itu adalah Suara Rakyat (PV), Parti Reform (RP), Parti Kuasa Rakyat dan Parti Progresif Demokratik (DPP).

Dalam satu catatan Facebook, Encik Goh berkata keputusan itu dibuat disebabkan oleh "perbezaan strategik yang tidak dapat dihuraikan" menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

"Keputusan ini diambil untuk memastikan PAR dapat terus berfungsi sebagai sebuah kuasa politik yang berkesan dalam Pilihan Raya Umum akan datang, tanpa sebarang gangguan yang mungkin timbul akibat perbezaan strategi kami," tambahnya.

Ditubuhkan pada 2023, Perikatan Rakyat merupakan perkongsian yang berdaftar secara rasmi.

Setiausaha Agung Suara Rakyat Lim Tean bertindak sebagai Setiausaha Agung Perikatan Rakyat.
Berhubung keputusan PPP keluar daripada perikatan tersebut, Encik Lim berkata dalam satu catatan Facebook pada Ahad (23 Feb) bahawa PPP berkeras ingin bertanding di GRC Tampines dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Namun, parti pembangkang lain dalam Perikatan Rakyat tidak bersetuju kerana ia boleh mencetuskan persaingan empat penjuru.

"Kami juga tidak bersetuju dengan pendirian PPP berhubung vaksin COVID-19," tambahnya.

Pada Mei tahun lalu, PPP menggesa supaya pemberian vaksinasi COVID-19 digantung, sambil memetik "kajian dan analisis oleh beberapa pakar perubatan terkemuka'"

Namun "tuntutan palsu dan melampau" itu ditolak oleh Kementerian Kesihatan.

Encik Lim menekankan Perikatan Rakyat adalah "gabungan sebenar" parti-parti dengan manifesto yang sama menjelang Pilihan Raya Umum, dan bukan sekadar "perhimpunan suka-suka".

"Disebabkan ini, kami telah bersetuju untuk berpisah secara baik dengan PPP, yang akan berundur daripada perikatan ini," katanya.

"Kami mengucapkan yang terbaik kepada PPP bagi Pilihan Raya Umum 2025."

Pada 2015, Encik Goh menubuhkan PPP dan bertanding di GRC Chua Chu Kang disusuli dengan SMC MacPherson pada 2020.

Sebelum PPP ditubuhkan, Encik Goh bertanding di GRC Tampines di bawah Parti Perpaduan Nasional (NSP) pada 2011 dan di GRC Aljunied dengan Parti Pekerja (WP) pada 2006.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita