Skip to main content

Singapura

GE2025: Parti Bersatu Singapura mahu bertanding di GRC Ang Mo Kio

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Parti Bersatu Singapura mahu bertanding di GRC Ang Mo Kio

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 06 Apr 2025 03:51PM Dikemas Kini : 06 Apr 2025 03:52PM
  • Parti Bersatu Singapura (SUP) menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio pada Pilihan Raya Umum akan datang.
  • Selepas berunding dengan beberapa parti pembangkang lain, termasuk parti yang menganggotai 'The Coalition', SUP memutuskan untuk hanya bertanding di GRC Ang Mo Kio.
  • Parti Bersatu Singapura sudah pun berbincang dengan bendahara Parti Reform Mahaboob Baatsha, yang mengesahkan bahawa Parti Reform tidak akan bertanding di GRC Ang Mo Kio sekali lagi tahun ini.
  • Pada Ahad, setiausaha agung Parti Bersatu Singapura mendedahkan slogan kempen SUP bagi Pilihan Raya Umum akan datang: "Maju ke hadapan bersama".
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Parti Bersatu Singapura (SUP) menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung SUP, Andy Zhu, pada Ahad (6 Apr).

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Parti Kuasa Rakyat (PPP) menyatakan ia mahu bertanding di Ang Mo Kio, yang diketuai bendahari parti, William Lim.
Parti Bersatu Singapura adalah sebahagian daripada pakatan tidak rasmi bernama 'The Coalition' yang ditubuhkan pada 2023 bersama tiga parti pembangkang lain: Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Titik Merah Bersatu (RDU) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Sebelum ini, SUP menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio dan dua SMC.

Selepas berunding dengan beberapa parti pembangkang lain, termasuk parti yang menganggotai 'The Coalition', SUP memutuskan untuk hanya bertanding di GRC Ang Mo Kio.

"Memandangkan kami adalah sebuah pakatan, kami tidak mahu cetuskan konflik antara satu sama lain, dan sebelum kami bercakap dengan sesiapa di luar sana, kami perlu menghuraikan konflik sesama kita," kata Encik Zhu, 43 tahun kepada wartawan semasa lawatan bertemu penduduk di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon pada Ahad (6 Apr).

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Ang Mo Kio kini dipimpin oleh Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

Dalam Pilihan Raya Umum 2020, PAP meraih 71.91 peratus undi di GRC Ang Mo Kio menentang Parti Reform (RP).

Parti Bersatu Singapura sudah pun berbincang dengan bendahara Parti Reform Mahaboob Baatsha, yang mengesahkan bahawa Parti Reform tidak akan bertanding di GRC Ang Mo Kio sekali lagi tahun ini.

"Untuk itu, kami berbesar hati atas usaha mereka bagi mengelakkan persaingan tiga penjuru," kata ketua parti SUP.

Apabila ditanya tentang kemungkinan mengelak persaingan tiga penjuru bersama PPP, Encik Zhu maklum bahawa parti pembangkang itu mahu bertanding di GRC Ang Mo Kio.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan sekarang adalah kami akan menghubungi mereka dan berbincang dengan mereka untuk mengelak persaingan tiga penjuru," katanya.

"Kami telah berunding sebelum ini. Kami belum mencapai kesimpulan," kata Encik Zhu, sambil menambah bahawa kali terakhir SUP bercakap dengan pasukan PPP adalah pada minggu lalu.

Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan penyelesaian baik antara kedua-dua parti pembangkang, Encik Zhu berkata: "Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka, tetapi sudah tentu saya berharap mereka akan mengelak persaingan tiga penjuru sebaik mungkin, kerana ia tidak memanfaatkan mana-mana pihak."

Pasukan SUP sudah berada di Ang Mo Kio sejak parti itu ditubuhkan pada 2020.

"Saya tidak mahu melihat usaha mereka menjadi sia-sia begitu sahaja," kata Setiausaha Agung SUP.

Sekitar 10 anggota dan sukarelawan SUP berinteraksi dengan orang awam pada Ahad di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon.

Timbalan setiausaha agung Darren Soh dan bendahari Noraini Yunus juga dilihat bersama Encik Zhu.

Pada Ahad, setiausaha agung Parti Bersatu Singapura mendedahkan slogan kempen SUP bagi Pilihan Raya Umum akan datang: "Maju ke hadapan bersama".

Encik Zhu turut mengesahkan hasrat beliau bertanding dalam pilihan raya umum di GRC Ang Mo Kio.

"Wajah-wajah lama" seperti Encik Soh, 55 tahun dan Cik Noraini, 56 tahun berkemungkinan membentuk barisan anggota yang lain, bersama beberapa muka baharu.

"Namun, keadaan masih tidak menentu pada masa ini. Apabila kami sudah bersedia dan kami mengesahkan barisan calon, kami akan mengumumkannya bersama dengan manifesto kami untuk pilihan raya umum yang akan datang," kata Encik Zhu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita