Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Parlimen SG dibubarkan jelang Pilihan Raya Umum; Hari Penamaan Calon pada 23 Apr

Presiden Tharman Shanmugaratnam membubarkan Parlimen pada Selasa (15 Apr), membuka luan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 Singapura (GE2025).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Parlimen SG dibubarkan jelang Pilihan Raya Umum; Hari Penamaan Calon pada 23 Apr

Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 15 Apr 2025 03:28PM Dikemas Kini : 15 Apr 2025 04:40PM
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam membubarkan Parlimen pada Selasa (15 Apr), membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 Singapura (GE2025).

Hari Penamaan Calon pada 23 Apr, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Writ Pilihan Raya dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi, dengan menyatakan tarikh Hari Mengundi. Ia juga akan mengandungi maklumat untuk para bakal calon, seperti deposit pilihan raya dan dokumen yang diperlukan.

GE2025 akan menjadi pilihan raya pertama di bawah Perdana Menteri Lawrence Wong dan para pemimpin generasi keempat Singapura atau pasukan kepimpinan 4G. PM Wong mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada Mei tahun lalu.

Di bawah sistem Singapura, para menteri Kabinet tidak perlu melepaskan peranan mereka selepas Parlimen dibubarkan, dan akan meneruskan tanggungjawab mereka sehingga sidang pertama Parlimen seterusnya.

PARLIMEN KEDUA PALING PANJANG

Parlimen ke-14, yang bermula pada 24 Ogos 2020, adalah yang kedua terpanjang dalam sejarah Singapura.

Ia juga menamatkan penggalnya dengan jumlah kerusi kosong tertinggi sejak Singapura merdeka, berikutan pengunduran enam Anggota Parlimen atas pelbagai sebab.

Pilihan Raya Umum akan datang mungkin menampilkan para calon daripada 11 parti, termasuk dua perikatan pembangkang.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir Singapura berkemungkinan akan dicabar bagi kesemua 97 kerusi yang dipertandingkan di seluruh 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Parti-parti pembangkang telah bertanding bagi merebut semua kerusi yang dipertandingkan sejak Pilihan Raya Umum 2015 (GE2015). Pada GE2020, dua parti pembangkang - Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) - masuk ke Parlimen, dengan ketua WP Pritam Singh secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Kebimbangan pengundi menjelang pilihan raya kali ini termasuk kos sara hidup, serta pekerjaan dan pengangguran, menurut hasil tinjauan yang dijalankan pada Januari lalu.

GE2025 akan kembali menampilkan kempen penuh, termasuk rapat pilihan raya fizikal yang kali terakhir diadakan sedekad lalu, dengan pilihan raya kali ini akan menjadi Pilihan Raya Umum pertama Singapura sejak pandemik COVID-19.
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan