GE2025: PAP umumkan pasukan bagi GRC Chua Chu Kang, Amy Khor dari Hong Kah North undur diri
Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Isnin (14 Apr) memperkenalkan barisan calonnya bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Chua Chu Kang, diketuai Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.

Barisan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Chua Chu Kang — (dari kiri) Encik Jeffrey Siow, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, Cik Choo Pei Ling dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Turut menyertai beliau termasuk Anggota Parlimen sedia ada, Zhulkarnain Abdul Rahim, serta dua calon baharu – mantan pegawai kanan perkhidmatan awam Jeffrey Siow dan Penolong Profesor Choo Pei Ling dari kluster kesihatan dan sains sosial di Institut Teknologi Singapura.
Anggota Parlimen semasa Don Wee, yang menyertai politik sebagai calon kali pertama dalam Pilihan Raya Umum 2020, tidak akan bertanding tahun ini. Perkara tersebut disahkan Encik Gan semasa pengumuman calon yang diadakan di pejabat cawangan PAP di Blok 10 Teck Whye Avenue.
Menteri Negara Kanan Amy Khor, yang kini merupakan Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hong Kah North, juga akan mengundurkan diri.
Menteri Negara Kanan Low Yen Ling, yang sebelum ini berkhidmat di GRC Chua Chu Kang, akan bertanding di SMC Bukit Gombak yang baru dibentuk berikutan semakan sempadan kawasan undi baru-baru ini. Sebelum ini, beliau mewakili kawasan Bukit Gombak di bawah GRC tersebut.
MUKA BAHARU
Encik Siow, 47 tahun, merupakan mantan setiausaha tetap kedua di Kementerian Tenaga Manusia dan Perdagangan dan Perusahaan. Beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada 2 April selepas 24 tahun berkhidmat, termasuk sebagai ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dari 2017 hingga 2021.
“Berkhidmat dalam perkhidmatan awam mempunyai makna yang istimewa bagi saya. Saya bukan daripada keluarga yang senang. Ibu bapa saya, seperti ramai dalam generasi mereka, tidak mendapat pendidikan formal yang tinggi,” katanya semasa sidang media pada Isnin.
“Saya bukan berkongsi kisah hidup saya untuk meraih simpati. Saya berkongsi kerana inilah kisah saya. Inilah diri saya yang sebenar, dan ini menjelaskan mengapa saya memilih kerjaya dalam perkhidmatan awam, dan kini menyertai dunia politik.”
Dr Choo, seorang ahli sains saraf dan fisioterapi, sudah bergiat aktif di kawasan Marine Parade di bawah pimpinan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng sejak Mac tahun lalu. Beliau pernah menjadi penasihat akar umbi GRC tersebut dan merupakan relawan bagi masyarakat selama lebih 20 tahun.
"Sejak kecil lagi, saya menemui makna dalam membantu orang, terutamanya mereka yang tidak dapat membantu dirinya sendiri," katanya.
GRC Chua Chu Kang, yang mempunyai 93,368 pengundi, akan menjalani perubahan sempadan pada GE2025. Ia kini merangkumi sebahagian dari kawasan Hong Kah North – termasuk estet Tengah – serta beberapa kawasan dari Holland-Bukit Timah.
Perubahan tersebut dibuat berdasarkan cadangan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi, yang merujuk kepada pembangunan perumahan di kawasan seperti Tengah dan Bukit Batok West.

SMC Hong Kah North, yang sebelum ini diterajui Dr Khor, sudah dibubarkan. Kawasan-kawasan yang tinggal – termasuk Bukit Batok West – telah dimasukkan ke dalam GRC baharu Jurong East–Bukit Batok.
Dr Khor membuat keputusan untuk mengundurkan diri atas “sebab peribadi”, kata Encik Gan, sambil menambah bahawa para wartawan boleh bertanyakan sendiri kepada beliau mengenai perancangannya selepas ini.
“Tetapi saya rasa beliau telah berkhidmat selama bertahun-tahun bagi membina dan merapatkan masyarakat di Hong Kah North, dan beliau telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” tambah beliau, sambil menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Dr Khor.
Dr Khor menyertai politik sebagai sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Hong Kah dalam Pilihan Raya Umum 2001. Pada pilihan raya 2011 itu, Hong Kah North diwujudkan sebagai sebuah SMC, di mana Dr Khor bertanding dan memenangi kerusi tersebut.
Beliau kini merupakan Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan serta Kemampanan dan Alam Sekitar.
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, pasukan PAP bagi GRC Chua Chu Kang memenangi 58.64 peratus undi, mengalahkan pasukan yang dicalonkan Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.